[Resepi] Nasi Berlauk Mokcik Aji
ujung minggu lepas, tiba-tiba tekak terasa nak makan Nasi Berlauk Mokcik Aji. Nasi Berlauk adalah nasi yang dimakan oleh orang Kelantan untuk sarapan yang mana gulainya adalah daripada ikan tongkol dimasak lemak dengan kunyit dan lengkuas. Nasi Berlauk Mokcik Aji pula adalah nasi berlauk yang dimasak oleh ibu saudara saya pada masa saya kecil-kecil dahulu. Waktu itu, saya sekeluarga tinggal di Kota Bharu, dan saya setiap hari Jumaat (hujung minggu) kami akan pulang ke kampung Cik di Bukit Marak.
Mokcik Aji memang terkenal di kawasan setempat kami dengan trademark Nasi Berlauk Kawin. Kawin disini bererti dicampurkan dengan bihun goreng yang simple dan sedap dimakan. Sewaktu saya mengandungkan Obiya, saya pernah mengada-ngada minta Cik masakkan Nasi Berlauk Mokcik Aji siap dibungkus dengan daun pisang untuk saya :P Bila saya tengok semula entri di tahun 2009 itu kat SINI macam tak percaya dah hampir 3 tahun ianya berlalu.
Inilah rupa Nasi Berlauk Mokcik Aji. Hari ini, sebab saya sukakannya, saya nak berkongsi resepi Nasi Berlauk ini. Caranya sangat mudah dan sesiapa yang nak mencuba makan makanan breakfast orang kelantan, bolehlah nak cuba.
Gulai Nasi Berlauk Lengkuas
Bahan-bahan
2 ekor ikan tongkol (dipotong 4-5)
1.5 cawan santan
2 cm kunyit (guna serbuk kunyit pun boleh)
2 cm lengkuas muda
3 biji cili kering (cili boh pun boleh)
5 ulas bawang merah
Timun (dipotong serong)
Kacang panjang
Garam dan gula
Sebelum memasak
1. Rebus ikan tongkol dengan garam dan asam keping - simpan air rebusan
2. Kisar lengkuas dan bawang merah
Cara membuatnya
1. Masak santan sehingga mendidih
2. Kemudian, masukkan bahan yang telah dikisar
3. Masukkan 2 sudu teh serbuk kunyit
4. Kacau perlahan-lahan sehingga likat dan sebati
5. Masukkan air rebusan ikan tadi (pastikan asam keping dibawa keluar)
6. Masukkan ikan tongkol yang telah direbus
7. Masukkan timun dan kacang panjang
8. Garam dan gula secukup rasa
Kalau nak complete lagi, Nasi Berlauk ini juga yang dikenali dengan Nasi Berlauk Lengkuas haruslah dimakan dengan sambalnya. Cara nak buat sambal juga sangat mudah.
Bahan-bahannya
Cili merah 5 batang
Cili api (hijau) 5 batang
0.5cm belacan
2 biji bawang merah
5 biji limau
Garam dan Gula
Sebelum
1. Potong cili merah dan cili api kecil-kecil
2. Bakar belacan dan bawang merah
Cara membuatnya
1. Tumbuk kesemua cili, bawang dan belacan
2. Perahkan limau
3. Garam dan gula
Kalau korang nak feeling-feeling makan Nasi Berlauk Mokcik Aji, maka silalah goreng meehoon yang simple.
Meehoon Simple Ala-ala Mokcik Aji
Bahan-bahannya
1/2 paket meehoom
8 ulas bawang putih
2 sudu cili boh
5 sudu udang baring
Kubis
Garam dan gula
Sebelum
1. Tumbuk bawang putih
2. kubis dipotong kecil-kecil
Cara membuatnya
1. Tumis bawang putih sehingga naik bau
2. Masukkan cili boh
3. Kemudian, udang baring - masak sehingga sebati
4. Masukkan meehon
5. Garam dan gula
Bila semuanya dah ready, inilah rupa Nasi Berlauk Mokcik Aji :-)
Sebelum masak Nasi Berlauk Mokcik Aji ni, sempat pergi 'pekik' kat Twitter dan Sara ada bertanya, sebab feeling the more the merrier ajak Sara datang tapi dia nun jauh di kampung - maybe next time, dik. Sara tak dapat tapi Kak Eja sudi datang makan-makan kat rumah (dan tak amik gambar pun!). Malamnya pulak, Yong datang sebab nak menuntut ilmu dengan Encik Bubu. Maka, Nasi Berlauk ni almost habislah.



Comments
Jom buat. kalau nak rasa Put masak, meh singgah rumah kat Putrajaya nanti eh.
Tradisional kot sebab dari dulu-dulu lagi Put makan macam ni :P Ikan tongkol memang sedap!
Terima kasih