Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

26/05/2014

MAKAN DALAM.

(with CAPITAL LETTERS!)

Kadang-kadang, orang ni tak berapa cerdik bila nak menyampaikan sesuatu hasrat hati. Tak sensitif. Tak fikir apa yang orang lain rasa. Tak guna kepala otak sebelum membiarkan perkataan itu laju keluar dari mulut. 

Kelahiran.
Jodoh.
Rezeki.
Kematian.

Empat perkara yang ditentukan oleh sang Pencipta. Sebelum saya dikurniakan Lope, saya meminta kepadanya untuk dikurniakan zuriat. Saya berjanji padaNya, saya akan membesarkan zuriat yang diberi tanpa bersyarat. Alhamdulillah, selepas 2 tahun berkahwin, Allah meniupkan satu nyawa ke dalam rahim saya. Hadirnya setelah saya benar-benar tawakal kepadaNya setelah semua usaha dijalankan untuk dikurniakan anak.

Selepas 3 tahun, kami dikurniakan seorang zuriat. Lelaki seperti yang kami idamkan. Waktu itu, rasanya kebahagiaan adalah milik kami berdua. Rasa lengkap bila kami dikurniakan sang anak. Kami mengesan kelainan upaya pada Lope selepas 6 bulan usianya dan disahkan Autisme dan Lewat Perkembangan setahun kemudiannya. Seperti dalam cerita-cerita saya yang lepas, kami menerima Lope. Sayang tanpa syarat - seperti mana ibubapa lain menyayangi darah daging mereka.



Satu pinta saya, walau sebagaimana rasa aneh dimata anda melihat Lope, atau terbit rasa kasihan kepadanya atau kepada saya kerana saya dianugerahkan anak kelainan upaya - yang tidak mampu mengurus diri, tidak mampu menutur kata, tidak mampu mengatur langkah, berkelakuan aneh, menangis dan tantrum di khalayak ramai, satu pinta saya -- simpan segalanya didalam hati anda. Tidak perlu dituturkan kata-kata kasihan kepada saya. Tidak perlu berfikir bagi pihak saya berapa lama lagi "penderitaan" di mata anda ini untuk saya harungi ini akan berakhir.

Jika anda rasa kasihan kepada Lope, titipkan doa buat Lope. Pohon segala urusan kehidupannya didunia ini dimudahkan, dipelihara hidupnya dari segala kejahatan manusia terhadapnya.

Jika anda rasa kasihan kepada saya, titipkan doa buat saya, doakan saya dikurniakan kesihatan tubuh badan yang berpanjangan untuk saya menguruskan Lope.

Ayat seperti "Budak macam ni selalunya usia tak panjang.." adalah satu struktur ayat yang membuatkan saya tidak mampu menelan untuk menterjemahkannya ke dalam maksudnya yang tersendiri. 3 hari ayat ini masih melekat didalam otak saya. Makan dalam! Membayangkannya saya ngeri, saya sering minta dijauhkan, dilambatkan keadaan yang dimaksudkan itu untuk hadir.
.
Tahukah anda, setiap pagi perkara pertama yang saya lihat dahulu apabila saya membuka mata adalah melihat Lope? Memastikan dia bernafas adalah satu kelegaan buat saya. Begitu juga setiap malam, tiap kali saya terjaga, saya akan memerhatikan Lope. Bernafaskah dia? Jika Lope diserang asma, tahukah anda saya berjaga sepanjang malam menemaninya. Tahukah anda betapa takutnya saya dengan sebuah kehilangan?
.
Saya tahu, suatu hari nanti, saat itu pasti akan tiba. Pasti. 
.
Buat masa ini, izinkan saya menikmati betapa indahnya dikurniakan seorang anak bernama Lope. Doakan Lope, doakan saya, doakan kami. Apa yang disebut itu adalah doa. Doakan saya panjang usia & kesihatan yang baik untuk saya menjaga Lope ke hujung usianya.