Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

17/09/2013

Kronologi cerita Lope sakit.

Saya sebenarnya paling tak suka nak update cerita bila Lope/Sophia sakit. Tapi, saya tetap akan buat entry sebab blog ini dah macam diari saya.

31/08/13 (Sabtu)
Cerita sakit bermula pada 31/08/13 - Lope terhantuk, tergigit gigi. Akibatnya, gigi 'rabbit' goyang. Bibirnya pecah. Saya bawa dia ke klinik, doktor tidak berani mencuci luka dan kesan darah di gigi. Doktor juga nasihatkan agar saya membawanya berjumpa doktor gigi paeds.

Ini gambar Lope semasa gigi mula-mula patah. Bibir pecah. Gigi goyang. Gusi bleeding non-stop.




Ini sahaja gambar yang mampu saya ambil. Bila saya angkat aje handphone, terus dia melarikan wajahnya. Enggan membiarkan gambarnya di ambil. Saya tidak memaksa, kesian melimpah ruah. Sepanjang hari Ahad, Lope bertahan sahaja dari sakitnya. Kanak-kanak seperti Lope tidak boleh dibawa ke sebarang klinik gigi sebaliknya perlu dirujuk ke Klinik Pergigian Paediatrik.


02/09/13 (Isnin)

Lope ada temujanji di Klinik Neurologi berjumpa dengan Dr. Khoo. Sedikit hasil follow-up dengan pakar neurologi mendapati masalah Lope tidak berjalan bukan disebabkan oleh saraf atau tulang kaki atau badan yang masih belum bersedia, tetapi dia tidak merasakan tiada keperluan padanya untuk bangun berjalan sendiri. Seperti pandangan Mak Ija juga, Lope mempunyai masalah untuk mengatur keseimbangannya. Saya juga meminta agar Lope dirujuk ke Klinik Pergigian Paediatrik.


Bila berjumpa dengan Dr. Aiman (rasanya nama dia Dr. Aiman sebab dalam kad appointment tulis macam tu) terus dia buat keputusan untuk cabut gigi yang bergoyang tu. Pengalaman pertama untuk Lope dan mama. Hehehe. Bila giginya dicabut, Lope steady je tapi bila doktor tekan-tekan, baru dia tunjuk rasa marah. Alkisahnya, bermula hari itu, Lope digelar "Lope tak ada gigi" oleh si adiknya.

Setiap kali tengok gambar ni, hati saya rasa macam disiat-siat. Sedihnya.

Seminggu kemudian..

09/09/13 (Isnin)

Saya dapati mata Lope bengkak @jam 1.00 pagi!
 

Semasa gambar ni diambil, bila saya bertanyakan kepada Encik Bubu "nampak bengkak tak?" dia jawab "mana ada". Bila saya tanya pada Bibik "tak adalah, puan"  "___________"

7 jam kemudian..


I'VE TOLD YOU SO!

Instinct seorang ibu memang jarang-jarang tersasar!
Saya tak tahu apa jadi pada Lope. Sangka saya, mungkin infection sebab nak tumbuh gigi baru. Jadi, saya bawa lagi dia ke Klinik Gigi Paedtrik, HKL. 


Masa ni saya sangat panik. Dalam perjalanan ke HKL. Dalam hati tertanya-tanya kenapakah?

Jatuh?
Tak mungkin. Jika jatuh, dia akan sakit. Bila disentuh, tiada respon dari Lope.

Alergik?
Tiada tanda gatal, berair atau demam.

Apakah sakitnya? Doktor juga hairan. Bukan jangkitan kuman. Kalau sebab tumbuh gigi pun, bukan membengkak macam tu. Doktor hanya berikan dose 3 hari antibiotik dan datang semula 3 hari kemudian untuk tengok bengkak itu berkurangan atau tidak. Jika tak berkurangan, XRay la jawabnya. Sepulang dari HKL, saya terus membawa Lope ke Darussyifa, Bangi. Alhamdulillah, "tiada gangguan luar".

10/09/13 (Selasa)

Mata sudah kurang sedikit bengkaknya.


Macam-macam andaian yang datang di kepala saya. Semalam, FIL juga ada cakap, dia juga ada allergic pada bau (cempedak/nangka). Cukup sahaja terhidu baunya, matanya akan bengkak, gatal dan berair. Saya tiba-tiba rasa - oh! mungkin alergik bau? Maka saya membawanya ke klinik lagi. Menurut doktor, sekiranya tidak ada gatal dan berair mata, itu bukan petanda alahan. Walau bagaimanapun, doktor tetap memberikan ubat alahan kepada Lope.



Bila saya pulang ke rumah, kakak ipar saya Kak Ala - doktor homeopathy bertauliah membekalkan ubat homeopathy untuk Lope - Apis Mel.  Saya beri Lope kesemua ubat yang saya ada. Ajaibnya, Lope tidak menunjukkan sebarang tanda sakit. Aktif, cuma selera makannya sedikit terjejas. Namun, saya beranggapan itu adalah kesan dia takde gigi - mungkin susah nak makan?

11/09/13 (Rabu)


Bengkaknya surut, Namun, kesan lebam/darah beku masih ada. Darah beku, kah? Saya masih tertanya-tanya. Sudah 2 hari saya tidak ke pejabat, menjaga Lope yang tidak sihat tanpa sebab musababnya.

12/09/13 (Khamis)


Ini gambar yang saya ambil sebelum berangkat ke pejabat. Sangka saya, semuanya baik-baik sahaja. Bengkak semakin surut tetapi kesan lebam masih ketara. Lope juga sudah mulai semakin merengek. Pantang silap sedikit, dia merengek. Makannya cuma 2-3 suap sahaja. 

13/09/2013 (Jumaat)

Jam 4.50 petang, Bibik menghubungi saya di pejabat memberitahu Lope muntah dan tiba-tiba badannya panas. Saya panik. Lope tidak pernah muntah walaupun demamnya teruk. Saya selesaikan kerja yang perlu dan minta izin pulang awal daripada Boss. Saya tiba di rumah jam 5.40 petang. Lope terbaring lesu. Dadanya berombak - tanda serangan asma kembali. Tangis rengeknya mengiringi. Saya memberitahu Bibik untuk bersiap dan perlu berangkat ke Klang bagi mendapatkan rawatan stimulaterapi dengan Kak Ija. Saya memang gamble saja bawa pakaian untuk 2 malam, in case kami perlu bermalam di sana.

Baru 2 malam lepas saya memberitahu Encik Bubu, saya rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena pada Lope. Pada perangainya, rengeknya. Saya yakin, dia sedang menahan sakit. Saya memang tidak berpuas hati selagi saya tidak mendapat alasan yang konkrit - mengapa bengkak dan lebam di pipi Lope terjadi. 

Jam 6.30 petang, saya menjemput Encik Bubu di pejabat. Encik Bubu yang sepatutnya ke Ipoh menunda perjalanannya ke sana kerana bimbang dengan Lope. Kami tiba di Klang jam 8.00 malam. Terkejut Kak Ija melihat Lope yang kelihatan seperti nyawa-nyawa ikan. Menurut Kak Ija, sakit dibawah pipinya adalah akibat hentakan kuat sehingga tercabut gigi. 

Jam 9.00 malam, selesai sesi pertama stimulaterapi Lope. Setiap kali tangan Kak Ija menyentuh badannya, Lope tidak melawan. Nampak sangat dia kelegaan apabila Kak Ija memicitnya. Menurut Kak Ija, separuh wajahnya affected. Kepalanya sakit. Selepas stimula, Lope tertidur. Mungkin sedikit lega.

Selepas itu, barulah saya dan Encik Bubu berfikir macam mana nak hantar dia ke Ipoh. Dengan berat hati, saya tinggalkan seketika Lope dan Bibik di klinik Kak Ija. Sophia saya bawa bersama. Menjelajah Klang dan Shah Alam kami mencari tiket bas untuk Encik Bubu berangkat ke Ipoh, malangnya tiada. Mungkin kerana cuti panjang pada minggu ini, maka kesemua tiket sold out.

Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk pulang dahulu ke Putrajaya dan Encik Bubu akan bangkit awal esoknya untuk menaiki train ekspress ke Ipoh di KL Sentral. Saya harus kembali ke Klang untuk menemani Lope tetapi ditegah oleh Yong kerana khuatir akan keselamatan saya memandu sendirian ke Klang. Kak Ija juga menegah. Keadaan Lope juga OK. Maka, malam itu buat pertama kalinya saya membiarkan Lope sendirian bersama Bibik di klinik Kak Ija, ditemani Kak Ija dan suami.

14/09/2013 (Sabtu)

Tak tidur lena dibuatnya. Hampir setiap jam saya terjaga memandang jam. Cepatlah subuh. Bawa saya pergi ke Klang. Setiba di Klang, leganya tengok Lope semakin OK. Cuaknya dengar bila Atok Jalil cakap Lope demam teruk malam semalam. Rasa bersalah bertimpa-timpa. Hari sabtu, klinik Kak Ija full house. Lagi best, Kak Ija buat makan-makan. Sedap sungguh nasi ayam & yong tau foo hasil air tangan Kak Ija. 2 hari berkampung di Klang, Lope sempatlah buat lebih dari 6 kali sesi stimulaterapi dan diikuti 1 sesi pada keesokkan harinya. Lebih istimewa, pada hari Ahad tu saya juga membawa Yong untuk berstimula dan dia akui, "enjoying the pain" tu memang tepat menggambarkan stimulaterapi. Hehehe.

Kesimpulannya, saya berterima kasih kepada Kak Ija. Doktor pakar juga gagal mengesan mana sakitnya si Lope, tapi selepas jumpa Kak Ija dan ber-stimulaterapi sebanyak 3 kali, kesan lebam bawah mata Lope hilang. Kesan lebam di pipi juga hilang.  Bagi saya sendiri, saya akui rawatan alternatif stimulaterapi mengagumkan (dengan izin Allah). Saya berdoa agar Kak Ija diberikan kesihatan yang baik untuk terus menabur budi buat anak-anak syurga seangkatan dengan Lope. Budi yang ditabur mungkin tak mampu dibalas dan akan dikenang sehingga ke akhir usia.

Terima kasih.

2 comments:

damiamikhaila areesyasofea said...

SALAM... NAK TANYA, KLINIK KAK IJA TU DEKAT MANA? BUDAK2 CP OK KE DEKAT SITU

Hayati Sulaiman said...

Allah..Allah...runtun jiwa tgk gambar Lope. Alhamdulillah Lope dah sembuh..Tak pernah dapat jumpa Lope..Ingat dapat jumpa di Mjalis Raya AM, rupanya Put tak dapat datang. Suatu hari nanti InsyaAllah...masa tu saya nak usap kepala Lope anak syurga ni.:)