Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

18/11/2013

Makaroni Bakar dengan Sos Putih Nestle Yogurt

Lagi menu ringkas, lazat dan berkhasiat - Makaroni Daging Bakar dengan Sos Putih Nestle Yogurt.


Bahan-Bahan


Perap semua
Daging cincang - semangkuk kecil
2 sudu kecil serbuk kari
3 sudu kecil paprika
1 sudu kecil oregano
1 sudu kecil thyme

3 sudu kecil minyak zaiton
Cendawan butang - potong
Carrot - potong dadu

1 ulas bawang besar - dihiris
Makaroni - direbus hingga lembut dan kembang
Daging cincang - semangkuk kecil
Keju 
Nestle Yogurt 
Susu segar
Mentega



Langkah 1

Panaskan kuali. 
Masukkan minyak zaiton.
Tumis bawang putih.


Bila dah nampak layu, masukkan carrot dan diikuti cendawan.



Bila dah nampak macam dah nak masak, masukkan daging yang telah diperap.


Goreng sehingga sebati dan masak.

Langkah 2

Penyediaan sos putih dengan menggunakan Nestle Yogurt


Panaskan susu segar.
Kacau perlahan-lahan.
Masukkan mentega.
Kacau sehingga larut.
Kemudian, masukkan keju & Nestle Yogurt.
Kacau sehingga larut.

Langkah 3

Gaul makaroni (yang sudah direbus) dengan daging yang telah dimasak. 


Kemudian, pecahkan 2 biji telur.
Gaul sebati.

Ambil loyang, sapukan sedikit dengan mentega (tak kasi melekat).
Masukkan makaroni yang telah digaul.
Tuang sos putih.
Taburkan dengan keju & sedikit thyme di atasnya.
Bakar dalam pan-serbaguna untuk 10 minit.

Hasilnya,


Yippie.
Sesuai untuk makan petang atau pun bila-bila korang nak makan.
Makaroni rasa moist dengan sos putih Nestle Yogurt.

Selamat mencuba :)

Ayam Panggang Lemon dengan Nestle Yogurt

Last week dapat email dari Nuffnang - jemputan untuk menyertai Nestle Natural Set Yogurt Recipe Challenge. Yeay! Dah lama tak join mana-mana contest/challenge - jemputan dari Nuffnang ni memang mengujakan.

Ayam Panggang Lemon dengan Nestle Yogurt

Anggaran Harga kos: RM25.00 
Anggaran masa penyediaan: 20 minit
Hidangan untuk: 2 orang


Ayam 4 Ketul



Bahan A
1 sudu kecil Italian herbs 
1 sudu kecil oregano+pepper
2 sudu kecil paprika
4 biji bawang putih ditumbuk kasar
1 susu kecil lada hitam ditumbuk kasar
4 susu minyak zaitun
5 sudu besar Nestle Natural Yogurt
 

Ambil lemon dan parutkan dengan kulit.


Campur ke semua Ayam dan Bahan A. 


Gaulkan sebati dengan Nestle Yogurt & masukkan 3 sudu kecil minyak zaiton.





Panaskan pan-serbaguna dan bakar sehingga masak.

Sementara itu, gravvynya seperti berikut.

 Campurkan sos cili, yogurt dan sedikit perahan lemon. kacau sebati.

Hasilnya,



Mudah dan cepat. Hidangan ini sesuai untuk orang nak diet. Lemon mempunyai banyak khasiat antaranya sebagai agen anti oksidan dan pencegah kanser.

Selamat mencuba :)

24/10/2013

Disney Princess Film Festival

Wow!

Mula-mula nak tanya, sape ada anak perempuan kecik-kecik yang comel-comel?
Saya *sambil-angkat-tangan*

Diaorang minat princess-kaler-pink tak?
Minatttt sangattt!

Kalau ya dan minat, sila klik link kat bawah ini:


Cerita kat atas ni semua pun saya minat. Heheheh. Jadi tak jadi masalah untuk luangkan sedikit masa nak pergi dengan Sophia!

Aladdin
Mulan
Pacahontas
Tangled
Princess Frog
Cinderella

Tiket pulak RM8 or below!

Berminat? Ni haa... showing kat cinema berikut.


Lagi best, ada roadshow! Memang seronok la - boleh photoshoot, mewarna & ada aktiviti main puzzle!


 For more details - klik website Golden Screen Cinema.

17/10/2013

Musim makan daging. Burppp!


Cor WA gambar ni semalam.

Sekarang ni kan musim daging yang fresh-fresh dapat dari orang korban. Macam-macam orang masak daging tu, sup, goreng, bakar. Bukan aje daging, kaki, gear box, tulang, ekor semua sekali orang pulun. Itu tak masuk lagi jadi makanan exotic lidah, ekor, kulit bagai.
 
 Ini pulak Ateef Aizat yang WA. Aqeel Adeeb dengan sup gear box. Haishhhh! Korang memang awesome la bab bakar line orang tak balik raya! Ini main kasar ni. >.<

Orang tak balik raya haji memang macam nilah. Tengok aje gambar-gambar orang pesta melapah lembu, makan-makan daging, kenduri daging etc. Orang kelantan memang havoc raya hajinya. Saya ni meleleh je lah tengok Cik, Cor dan Nyoh dok share gambar-gambar daging. Haishhhh. Menci! 

So, bagi saya daging goreng, sup tulang/ekor semua tu terlalu mainstream untuk raya haji. Apa kata korang try buat meatballs? I did last night for dinner :) Kejap je pun. Tak sampai sejam, semua dah ready untuk makan.

Homemade-Grilled-Meatballs with Fries & Arabian-Salad

Bahan untuk Meatballs.
1 kg daging - dibersihkan, dibuang semua lemak-lemak. (kalau takde guna daging cincang)
2 biji telur - diambil kuning telur sahaja.
3 ulas bawang putih - ditumbuk lumat.
1/2 sudu kecil lada hitam - ditumbuk kasar.
1 sudu kecil italian herbs.
1 sudu kecil serbuk jintan manis.
1 sudu kecil serbuk lada sulah.
1 sudu kecil serbuk ketumbar.
Garam.

Cara Membuatnya
- Daging yang telah dibersih dimasukkan ke dalam food processor.
- Gaul sebati dengan telur kuning dan kesemua bahan-bahan di atas.
- Bentukkan daging tadi bulat-bulat (saya buat panjang-panjang sebab nak senang masak)
- Panaskan magic pan, susun aje daging-daging tadi sehingga masak.

Buruk benor rupanya. Orang amatur masak memang macam ni.

Bahan untuk Fries.
3 biji kentang - dibersih dan dibuang kulitnya.
Garam

Cara Membuatnya
- Potong ubi kentang mengikut size yang korang suka
- Rendam seketika didalam air yang bercampur garam
- Goreng sehingga masak.

Bahan untuk Arabian-Salad
- Daun salad (ikut suka berapa banyak)
- Tomato
- Timun
- Lemon
- 2 sudu besar minyak zaitun

Cara membuatnya
- Potong nipis daun salad
- Potong dadu tomato dan timun.
- Perah sedikit lemon.
- Gaulkan 2 sudu minyak zaitun.

Hasilnya - ready to eat!
Easy-peasy-lemon-squeezy, kan? ;)

Homemade-Grilled-Meatballs with Fries & Arabian-Salad

Saya pilih nak makan dengan sos cili thai + mayo. 
Encik Bubu makan dengan yellow mustard + mayo.
FIL saya makan dengan black pepper sauce.
Ikut kesesuaian tekak korang.

Selamat mencuba!

11/10/2013

Video yang buat saya rasa "go-Lope-go"

Atok Lope kongsikan video ini di FB saya. Saya dah pernah tengok dulu, tapi tidak begitu terkesan sehinggalah pagi semalam, bila Lope menyebut "go-bai-bai-mma" barulah ada rasa keajaiban dalam hati ini. Memang, dia ada gambaran Lope - menggoyangkan badan, menghentak kepala, kaki, tantrum dan banyak lagi. Saya tahu, perjalanan dengan Lope bukan mudah. Berliku, tapi itulah yang akan saya tempuh.


"I can't give-up on my child" 

"I spent every penny to hear that" 

2 ayat itu adalah perkara yang sama saya dan semua ibubapa anak istimewa buat. Duit boleh dicari, anak mana kita nak cari. In sha Allah, satu hari nanti, saya akan buat video macam ni. Perjalanan hidup Lope. Terasnya, jangan sesekali mengalah dengan Lope. Istiqamah dan saya tak letakkan sebarang target sebab bila saya tak mencapai target, emotional break down tu yang susah nak handle :')

AUTISM
It's not a processing error.
It's a different operating system.

10/10/2013

Kejutan yang membahagiakan.

I am the happiest mother in the universe!

Drama sangat, kan? Semuanya sebab Lope. Semenjak dua menjak ini. memang saya perhatikan banyak perkembangan Lope. Melalui pengamatan saya, sekiranya saya komited ikut jadual bawa Lope ke Pusat Kesihatan Stimulaterapi (Klang) maka, Lope akan berterusan memberikan signal positif walaupun sedikit dari segi emosi, pergerakan fizikal, mengatur langkah dan pertuturan.

Terbaru, dengan penuh rasa bersyukur dan gembiranya hati seorang ibu, Lope menunjukkan pelbagai bentuk emosi. Jangan terkejut jika tiada lagi Lope yang dahulu, yang diam dan orang kata baiknya budak ni duduk diam-diam aje. Kalau dahulu, Lope cuma menunjukkan 2 emosi sahaja - OK dan marah (menangis, tantrum). Lope sekarang ni sudah pandai menunjukkan emosinya - marah, gembira, demanding, merengek dan "membuli" Mama. 

Emosi

Sekarang ni setiap kali saya pulang dari pejabat, saya akan dihidangkan dengan "rengekan" dari Lope. Saya pada mulanya pun hairan, asal saya melangkah masuk aje ke rumah, dia akan konon-kononnya menangis, merengek. Rengek itu akan diam bila saya datang kepadanya, peluk sikit, borak-borak sikit. Kata Bibik, terdengar sahaja kereta masuk kat porch kereta, seiring itulah rengeknya bermula. Nampak sangat sebab nak tarik perhatian Mama eh? Itu yang Mama cakap "membuli" Mama.

Begitu juga bila demanding moodnya datang. Kalau mahukan Mama yang mendodoikannya, perlulah Mama berada disebelahnya sehingga lelap matanya. Bila Sophia berebut, sudah pandai menarik rambut adik. Yeah! Fight for your right, kekdahnya. :p Nasib baik adik sangat memahami, adik setakat ni selalu mengalah. Kalau terjaga tengah malam, Mama tak ada, jam tu juga dia boleh menangis cranky sampai Mama pujuk balik. Selalunya, diantara jam 4.30 pagi - 5.30 pagi. Perfect timing kejut Mama solat subuh.

Satu lagi, sekarang ni untuk tidur tengahari, saya sediakan tilam kekabu dan bantal tidur kekabu untuknya. Memang tilam dan bantal ini akan Lope gunakan bila mahu tidur. Kadang-kadang, ada masanya saya pun tumpang guling-guling juga kat tilam Lope ni - tapi sekarang, kalau dia rasa nak tidur, dia akan datang himpit Mama. Sikit demi sikit sebenarnya dia menolak kita ke tepi. Last sekali, tinggallah dia elok je terbaring kat tilam dan kepala kat bantal tu.

Pergerakan fizikal

Gambar ini diambil oleh Along Min semalam jam 8.00 malam + semasa saya sedang sibuk-sibuk di dapur menyiapkan dinner.


Bila saya tengok gambar ini, saya memandangnya tanpa prejudis. Sama seperti saya melihat anak-anak tipikal yang lain. Berumur 6 tahun.

Budak lelaki = memanjat = nakal!

Boy will always be boy, kan? Sebelum ini, bila nak tengok TV, Lope akan duduk di atas kerusi ini. Semalam adalah kali pertama dia berdiri atas kerusi sambil tengok TV. Mak aihhh. Idea baru ni. Kalau sebelum ini, aktiviti memanjat ni kat kabinet TV sebab nak sentuh screen TV. Tak pun, kalau Abah/Mamanya berbaring kat dia, dia akan panjat dan minta kita beri sedikit support untuk dia berpegang, dan kemudian dia berdiri.

Mengatur langkah
 
Bermula minggu lepas, saya mengajak Lope untuk mengatur langkah, bertatih untuk berjalan. Saya menghulurkan tangan kanan dan dia gapai berpaut. Dari dalam posisi duduk, dia bangkit berdiri. Tangan saya tidak terasa terbebannya bererti Lope sendiri mengawal beratnya semasa berdiri.

Kemudian, saya paut tangan saya dibawah ketiaknya disebelah kanan sahaja. Lope mengimbangi sendiri badannya. Saya sedikit membongkok tapi tidak terbeban dengan berat badannya. Saya memberi arahan "left, right, left" dan seterusnya. Lope menggerakkan kakinya. Seiring dgn arahan saya. Bila saya berhenti menyebut, dia juga berhenti melangkah.

Saya yakin, Lope sudah bersedia untuk berjalan. Neuro specialist - Dr. Khoo pun berpendapat begitu. Stimulatherapist - Kak Ija juga bersependapat. Mungkin masalah balancing dan keyakinan diri sahaja yang menjadi faktor penghalang untuk Lope. 


Pertuturan

Status saya pagi tadi di FB. 
 


 

Memang saya sampai lewat ke office. Sampai detik saya tulis entry ni, saya masih lagi di awan-awangan. Saya tak pasti sama ada orang lain faham ke tak macam mana "the feeling" bila Lope tunjukkan sedikit perkembangan pun, saya akan ada rasa ni. Rasa puas hati. Rasa best. Rasa macam berbaloi. Mungkin saya seorang sahaja yang tahu rasanya.

For sure, masih terlalu banyak saya perlu buat untuk Lope terutamanya mengenai masalah sensorinya dan suprisingly, bila saya gunakan sensory brush ini padanya, Lope tidak mengelak, tidak seperti jika saya menggosokkan tangan/kaki/lengan/badan dengan kapas. Oh, kalau ada sesiapa nak dapatkan sensory brush ni boleh tengok-tengok kat Moms & Tots Shoppe di FB. Rawatan stimulaterapi perlu diteruskan kerana bagi Lope, ianya sesuai dan serasi serta ianya holistik.


Terima kasih di atas doa, ucapan yang membakar semangat Lope dan saya untuk terus-terus berterapi, istiqamah dan bersabar. Kata-kata itu adalah doa, saya sangat hargai setiap komen di status FB saya dan di page puterism - terima kasih. Hanya Allah yang dapat membalasnya.

:')

03/10/2013

SPAM!

Kalau korang dapat email ni atau seumpamanya...


Abaikan aje. Ini adalah spam tau. Refer kat sini for details.

Daging oh daging.

Start your day with NESCAFE!

Saya memang suka daging. Semalam, sebelum pulang dari pejabat, bukan main lagi call Encik Bubu tanya nak dinner apa kat rumah. Kononnya, terasa nak makan Keow Teow Kerang tapi memandangkan Encik Bubu tak boleh makan, saya sendiri hilang idea nak masak apa semalam. Sehinggalah, saya ternampak si cantik ini.


Daging ni nampak fresh.
RM19 untuk 1.2kg.

Bila congak-congak balik, dah lama tak masak daging goreng kunyit. Selalunya musim raya qurban la kami banyak goreng daging, makan daging kan. Tapi, sebab nampak cantik sangat daging merah ni, saya pun potonglah nipis-nipis. Gaulkan dengan kunyit dan garam. Lepas tu, biarkan seketika. Potong 2 labu bawang besar (dipotong bulat), sebiji tomato dan 4 batang cili serta asam jawa.

Pastu, keringkan daging ini dalam kuali. Panaskan kuali. Masukkan daging. Kecilkan api. Biar keluar semua air-air dalam daging yang dah diperap ni. Bila dah nampak kering, baru masukkan sedikit minyak. Goreng lagi. Gaul lagi sampai nampak kering. Lepas tu masukkan asam jawa. Gaul rata. Last sekali, baru masuk tomato buah diikuti dengan cili dan bawang.Tunggu sampai semua bahan dan garing, mengikut citarasa selera masing-masing.

Tadaaaaa! Dah siap.


Kita kasi close-up sikit.


Menu makan malam kami semalam simple je.

Daging goreng kunyit | Sup cendawan dan bebola ikan | Ulam timun & sambal

Ini muka 2 beranak yang kenyang selepas makan. Alhamdulillah :)

Si Sophia ni memang photostat muka Encik Bubu sungguh. Seketul eh.



24/09/2013

Abang Nan dalam kenangan.

Entri ni sepatutnya saya tulis pada 15 September 2013 - genap 17 tahun pemergian abang saya. Namanya Megat Aznan bin Megat Ramli, semasa saya kecil, saya panggil dia Abang Nan. Bila kami semua menerima anak buah pertama, namanya menjadi Ayah Uda. Selepas itu, kami masing-masing panggil dia Uda.

Dalam memori saya, kenangan bersama Abang Nan bermula semasa kami sekeluarga tinggal di Alor Setar. Waktu itu, Abang Nan di tingkatan 1. Dalam memori saya, masih ada "gambar" Abang Nan berpakaian blazer - uniform Kolej Sultan Abdul Hamid. Segak. Masih ada juga cerita dan kenangan saya lihat Abang Nan bermain-main "gocoh" dengan Abang Ni dan masih teringat macam mana Abang Nan yang rajin mengangkat dumbbells dan berpeluh menyakat saya. Itu semua cerita yang saya ingat semasa di Alor Setar.

Suatu hari di hari raya yang kami sambut semasa di Alor Setar. Saya tidak tahu tahun berapakah ini. Abang Nan adalah yang paling tinggi berdiri disamping Abang Ni dan Abang Khas yang paling kecil.

Waktu itu sekitar tahun 1985 - 1986. 

Kemudian, arwah Aboh bertukar ke Kelantan. Saya baru berusia 4 tahun ketika itu. Waktu itu, saya tidak tahu apa terjadi pada Abang Nan. Apa yang saya tahu, arwah Ummi cakap, balik dari sekolah Abang Nan cakap letih. Kemudian, dia tidur sekejap dan selepas itu, dia sudah lumpuh seluruh badan kecuali kepalanya sahaja yang berfungsi dengan baik.

Menurut Cor, Abang Nan collapse untuk kali pertama pada 30 April 1986. Aboh dan Cik sibuk menguruskan Abang Nan di hospital. Saya sendiri tidak mengerti apa yang terjadi melainkan Abang Nan sakit. Saya masih ingat bagaimana adventurous hidup saya selepas itu - paling saya ingat, saya tinggal di rumah Cik Mah (terima kasih Cik Mah) untuk tempoh yang panjang. Mungkin 6 bulan kot. Saya cuma bertemu Cik di waktu malam sahaja. Cik keluar ke hospital menunggu Abang Nan di sebelah pagi macam orang nak masuk office dan kembali ke rumah pada waktu Maghrib. 7 hari seminggu selama 7 bulan. Tanpa hari rehat.

Kemudian, Abang Nan discharge dan berselang, setiap 2 bulan, Abang Nan pasti dimasukkan ke wad sebab akan ada bermacam masalah yang timbul.  Apalah sangat yang difahami oleh kanak-kanak berusia 6 tahun. Tidak banyak yang saya faham mengenai Abang Nan melainkan satu perkataan yang merangkul segalanya = sakit.

Mengikut diagnosis doktor, Abang Nan menghidap Transverse myelitis. Abang Nan lumpuh. Tangan dan kakinya tidak boleh diangkat sendiri. Jika saya menyentuh kakinya, dia langsung tidak memandang kerana tiada deria rasa. Segala urusan keperluan diri, perlu bergantung kepada orang lain. Waktu itu, kami sekeluarga mengambil peranan sama-sama menjaga Abang Nan. Saya masih kecil, jadi peranan saya juga tidak sebesar orang lain.

Apa yang saya ingat, saya perlu menyuapkan Abang Nan makan (makan nasi 5 sudu aje katanya sebab nak diet), gosok gigi, tolong belekkan surat khabar/page quran untuk dia baca, tukar channel TV. Waktu itu, peranan Abang Ni sangat besar. Boleh saya katakan, Abang Ni adalah adik yang sangat setia dengan Abang Nan. Hampir sepanjang masa dia bersama Abang Nan. Balik sahaja dari sekolah, dia memandikan Abang Nan, ada harinya, dialah yang membawa Abang Nan ke physiotherapy dengan Aboh.



Sehinggalah selepas seorang demi seorang abang dan kakak saya menjejakkan kaki ke universiti, tugas membantu Cik dan Aboh menguruskan Abang Nan jatuh ke bahu saya. Saya masih ingat, bagaimana Cik mengunci jam loceng setiap 2 jam untuk bangun dan menukar posisi Abang Nan yang terlantar sahaja di katil. Perlu bertukar posisi, jika tidak kulit Abang Nan akan melecit nanti jika seharian berbaring tanpa terbuka kepada udara.Itu tidak dikira lagi jika Abang Nan dimasukkan ke wad atas pelbagai masalah kesihatan. Jika terkena pada hari hujung minggu/cuti sekolah - saya juga 'bertugas' menemankan Abang Nan di hospital pada waktu siang. Cik cuma datang pada waktu melawat tengahari dan petang. Pada sebelah malamnya, jika bukan Abang Ni atau Abang Khas, ada masanya sepupu-sepupu lelaki juga menemani Abang Nan. Salah seorang yang masih saya ingat adalah arwah Yeop Megat Rustam. 

10 tahun kami sekeluarga diberi peluang menjaga Abang Nan. Terdetik juga didalam hati saya - sampai bila?

Abang Nan akhirnya pergi tanggal 15 September 1996, di waktu maghrib setelah 3 hari dimasukkan ke wad. Saya disisinya. Saya lihat segalanya apabila Abang Nan terlucut nyawanya. Waktu itu saya berusia 14 tahun. Sebelah paginya, doktor yang merawat Abang Nan sudah menjangkakan perkara seumpama itu akan berlaku. Saya masih ingat Aboh kata "Let him go, doctor" apabila ditanya sama ada ingin diberi bantuan pernafasan atau tidak untuk Abang Nan. Sampai ke hari ini, saya sering terkenang perkataan itu. Berat. Bagi saya, 15 September 1996 itu mengakhiri segala penderitaan Abang Nan selama 10 tahun terdampar di rumah kami. Abang Nan ibarat bayi yang dewasa. Bayi yang boleh bercakap. Bayi yang boleh berfikir dan seorang bayi yang memiliki wajah yang tampan. Selama 10 tahun itu juga saya dilatih menjaga orang OKU.

Rupanya, percaturan dan perancangan Allah itu cukup indah dan sempurna.

Tempoh 10 tahun itu, Allah berikan untuk saya belajar dan menerima kehadiran insan istimewa ini kerana dia tahu dari rahim saya akan lahir seorang yang hampir sama dengan Abang Nan. Selepas 11 tahun Abang Nan kembali ke rahmatuallah, Allah gantikan Lope pula. Wajah Lope saling tak tumpah macam Ayah Udanya.

Cantiknya perancangan Allah.



Lagi gambar di hari raya. Sebab zaman dulu, hari raya je amik gambar. Hahahah :p Gambar ni diambil di rumah Cik Rah. Aboh dan Abang Nan. Dua-dua dah tak ada. Ironinya, ada nampak budak perempuan kat belakang tu - thats was me! Saya tunjukkan gambar ini pada Encik Bubu beberapa hari lepas. Saya cakap, bila tengok kepada gambar ini, saya rasa cakap macam keadaan kita sekarang - Aboh itu Encik Bubu, Abang Nan itu Lope dan saya itu Sophia.

Sering juga, setiap kali saya menguruskan Lope - memandikannya, menyuapnya makan dan memandang sahaja wajahnya terasa sebuah dejavu. Seperti saya pernah melaluinya sebelum ini. 

:')

Abang Nan, berehatlah sepuas-puasnya disana. Kadang-kadang, datanglah jenguk kami disini. Ayah Uda ada anak sedara yang sama macam Ayah Uda.

 Alfatihah Abang Nan.

17/09/2013

Kronologi cerita Lope sakit.

Saya sebenarnya paling tak suka nak update cerita bila Lope/Sophia sakit. Tapi, saya tetap akan buat entry sebab blog ini dah macam diari saya.

31/08/13 (Sabtu)
Cerita sakit bermula pada 31/08/13 - Lope terhantuk, tergigit gigi. Akibatnya, gigi 'rabbit' goyang. Bibirnya pecah. Saya bawa dia ke klinik, doktor tidak berani mencuci luka dan kesan darah di gigi. Doktor juga nasihatkan agar saya membawanya berjumpa doktor gigi paeds.

Ini gambar Lope semasa gigi mula-mula patah. Bibir pecah. Gigi goyang. Gusi bleeding non-stop.




Ini sahaja gambar yang mampu saya ambil. Bila saya angkat aje handphone, terus dia melarikan wajahnya. Enggan membiarkan gambarnya di ambil. Saya tidak memaksa, kesian melimpah ruah. Sepanjang hari Ahad, Lope bertahan sahaja dari sakitnya. Kanak-kanak seperti Lope tidak boleh dibawa ke sebarang klinik gigi sebaliknya perlu dirujuk ke Klinik Pergigian Paediatrik.


02/09/13 (Isnin)

Lope ada temujanji di Klinik Neurologi berjumpa dengan Dr. Khoo. Sedikit hasil follow-up dengan pakar neurologi mendapati masalah Lope tidak berjalan bukan disebabkan oleh saraf atau tulang kaki atau badan yang masih belum bersedia, tetapi dia tidak merasakan tiada keperluan padanya untuk bangun berjalan sendiri. Seperti pandangan Mak Ija juga, Lope mempunyai masalah untuk mengatur keseimbangannya. Saya juga meminta agar Lope dirujuk ke Klinik Pergigian Paediatrik.


Bila berjumpa dengan Dr. Aiman (rasanya nama dia Dr. Aiman sebab dalam kad appointment tulis macam tu) terus dia buat keputusan untuk cabut gigi yang bergoyang tu. Pengalaman pertama untuk Lope dan mama. Hehehe. Bila giginya dicabut, Lope steady je tapi bila doktor tekan-tekan, baru dia tunjuk rasa marah. Alkisahnya, bermula hari itu, Lope digelar "Lope tak ada gigi" oleh si adiknya.

Setiap kali tengok gambar ni, hati saya rasa macam disiat-siat. Sedihnya.

Seminggu kemudian..

09/09/13 (Isnin)

Saya dapati mata Lope bengkak @jam 1.00 pagi!
 

Semasa gambar ni diambil, bila saya bertanyakan kepada Encik Bubu "nampak bengkak tak?" dia jawab "mana ada". Bila saya tanya pada Bibik "tak adalah, puan"  "___________"

7 jam kemudian..


I'VE TOLD YOU SO!

Instinct seorang ibu memang jarang-jarang tersasar!
Saya tak tahu apa jadi pada Lope. Sangka saya, mungkin infection sebab nak tumbuh gigi baru. Jadi, saya bawa lagi dia ke Klinik Gigi Paedtrik, HKL. 


Masa ni saya sangat panik. Dalam perjalanan ke HKL. Dalam hati tertanya-tanya kenapakah?

Jatuh?
Tak mungkin. Jika jatuh, dia akan sakit. Bila disentuh, tiada respon dari Lope.

Alergik?
Tiada tanda gatal, berair atau demam.

Apakah sakitnya? Doktor juga hairan. Bukan jangkitan kuman. Kalau sebab tumbuh gigi pun, bukan membengkak macam tu. Doktor hanya berikan dose 3 hari antibiotik dan datang semula 3 hari kemudian untuk tengok bengkak itu berkurangan atau tidak. Jika tak berkurangan, XRay la jawabnya. Sepulang dari HKL, saya terus membawa Lope ke Darussyifa, Bangi. Alhamdulillah, "tiada gangguan luar".

10/09/13 (Selasa)

Mata sudah kurang sedikit bengkaknya.


Macam-macam andaian yang datang di kepala saya. Semalam, FIL juga ada cakap, dia juga ada allergic pada bau (cempedak/nangka). Cukup sahaja terhidu baunya, matanya akan bengkak, gatal dan berair. Saya tiba-tiba rasa - oh! mungkin alergik bau? Maka saya membawanya ke klinik lagi. Menurut doktor, sekiranya tidak ada gatal dan berair mata, itu bukan petanda alahan. Walau bagaimanapun, doktor tetap memberikan ubat alahan kepada Lope.



Bila saya pulang ke rumah, kakak ipar saya Kak Ala - doktor homeopathy bertauliah membekalkan ubat homeopathy untuk Lope - Apis Mel.  Saya beri Lope kesemua ubat yang saya ada. Ajaibnya, Lope tidak menunjukkan sebarang tanda sakit. Aktif, cuma selera makannya sedikit terjejas. Namun, saya beranggapan itu adalah kesan dia takde gigi - mungkin susah nak makan?

11/09/13 (Rabu)


Bengkaknya surut, Namun, kesan lebam/darah beku masih ada. Darah beku, kah? Saya masih tertanya-tanya. Sudah 2 hari saya tidak ke pejabat, menjaga Lope yang tidak sihat tanpa sebab musababnya.

12/09/13 (Khamis)


Ini gambar yang saya ambil sebelum berangkat ke pejabat. Sangka saya, semuanya baik-baik sahaja. Bengkak semakin surut tetapi kesan lebam masih ketara. Lope juga sudah mulai semakin merengek. Pantang silap sedikit, dia merengek. Makannya cuma 2-3 suap sahaja. 

13/09/2013 (Jumaat)

Jam 4.50 petang, Bibik menghubungi saya di pejabat memberitahu Lope muntah dan tiba-tiba badannya panas. Saya panik. Lope tidak pernah muntah walaupun demamnya teruk. Saya selesaikan kerja yang perlu dan minta izin pulang awal daripada Boss. Saya tiba di rumah jam 5.40 petang. Lope terbaring lesu. Dadanya berombak - tanda serangan asma kembali. Tangis rengeknya mengiringi. Saya memberitahu Bibik untuk bersiap dan perlu berangkat ke Klang bagi mendapatkan rawatan stimulaterapi dengan Kak Ija. Saya memang gamble saja bawa pakaian untuk 2 malam, in case kami perlu bermalam di sana.

Baru 2 malam lepas saya memberitahu Encik Bubu, saya rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena pada Lope. Pada perangainya, rengeknya. Saya yakin, dia sedang menahan sakit. Saya memang tidak berpuas hati selagi saya tidak mendapat alasan yang konkrit - mengapa bengkak dan lebam di pipi Lope terjadi. 

Jam 6.30 petang, saya menjemput Encik Bubu di pejabat. Encik Bubu yang sepatutnya ke Ipoh menunda perjalanannya ke sana kerana bimbang dengan Lope. Kami tiba di Klang jam 8.00 malam. Terkejut Kak Ija melihat Lope yang kelihatan seperti nyawa-nyawa ikan. Menurut Kak Ija, sakit dibawah pipinya adalah akibat hentakan kuat sehingga tercabut gigi. 

Jam 9.00 malam, selesai sesi pertama stimulaterapi Lope. Setiap kali tangan Kak Ija menyentuh badannya, Lope tidak melawan. Nampak sangat dia kelegaan apabila Kak Ija memicitnya. Menurut Kak Ija, separuh wajahnya affected. Kepalanya sakit. Selepas stimula, Lope tertidur. Mungkin sedikit lega.

Selepas itu, barulah saya dan Encik Bubu berfikir macam mana nak hantar dia ke Ipoh. Dengan berat hati, saya tinggalkan seketika Lope dan Bibik di klinik Kak Ija. Sophia saya bawa bersama. Menjelajah Klang dan Shah Alam kami mencari tiket bas untuk Encik Bubu berangkat ke Ipoh, malangnya tiada. Mungkin kerana cuti panjang pada minggu ini, maka kesemua tiket sold out.

Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk pulang dahulu ke Putrajaya dan Encik Bubu akan bangkit awal esoknya untuk menaiki train ekspress ke Ipoh di KL Sentral. Saya harus kembali ke Klang untuk menemani Lope tetapi ditegah oleh Yong kerana khuatir akan keselamatan saya memandu sendirian ke Klang. Kak Ija juga menegah. Keadaan Lope juga OK. Maka, malam itu buat pertama kalinya saya membiarkan Lope sendirian bersama Bibik di klinik Kak Ija, ditemani Kak Ija dan suami.

14/09/2013 (Sabtu)

Tak tidur lena dibuatnya. Hampir setiap jam saya terjaga memandang jam. Cepatlah subuh. Bawa saya pergi ke Klang. Setiba di Klang, leganya tengok Lope semakin OK. Cuaknya dengar bila Atok Jalil cakap Lope demam teruk malam semalam. Rasa bersalah bertimpa-timpa. Hari sabtu, klinik Kak Ija full house. Lagi best, Kak Ija buat makan-makan. Sedap sungguh nasi ayam & yong tau foo hasil air tangan Kak Ija. 2 hari berkampung di Klang, Lope sempatlah buat lebih dari 6 kali sesi stimulaterapi dan diikuti 1 sesi pada keesokkan harinya. Lebih istimewa, pada hari Ahad tu saya juga membawa Yong untuk berstimula dan dia akui, "enjoying the pain" tu memang tepat menggambarkan stimulaterapi. Hehehe.

Kesimpulannya, saya berterima kasih kepada Kak Ija. Doktor pakar juga gagal mengesan mana sakitnya si Lope, tapi selepas jumpa Kak Ija dan ber-stimulaterapi sebanyak 3 kali, kesan lebam bawah mata Lope hilang. Kesan lebam di pipi juga hilang.  Bagi saya sendiri, saya akui rawatan alternatif stimulaterapi mengagumkan (dengan izin Allah). Saya berdoa agar Kak Ija diberikan kesihatan yang baik untuk terus menabur budi buat anak-anak syurga seangkatan dengan Lope. Budi yang ditabur mungkin tak mampu dibalas dan akan dikenang sehingga ke akhir usia.

Terima kasih.