Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

29/09/2011

Mati itu pasti..

Hidup itu, insya-Allah - Ramlee Awang Mursyid.

Dinihari 28 Syawal, telefon rumah saya berdering tepat jam 5.30 pagi. Saya yang waktu itu sudah bangkit dari tidur agak teragak-agak. Betul ke telefon rumah yang berbunyi? Namun saya berlari juga mengangkat telefon.

"Sue, dah ada orang telefon ke belom?" suara Yong kedengaran di hujung talian. Saya seperti boleh mengagak kenapa panggilan itu dibuat pada waktu ini."Abang CC ke?" tanya saya sepatah. Yong mengiyakannya. Kami sama-sama melepaskan nafas panjang. "Innalillahiwainna Ilaihirojiun" Kami sama-sama diam seketika. "Pukul berapa Abg CC takde?" tanya saya seterusnya. Jawab Yong jam 4.50 pagi tadi.

Saya ingat semula perbualan terakhir saya dengan CC semalam. Waktu itu jam 10.30 malam, sewaktu Rancangan F.Y.I ke udara. Dia menyatakan kesalnya tidak dapat menonton memandangkan pada waktu itu dia masih berada di Hospital menemani Abang CC. Bila bertanyakan bagaimana mengenai keadaannya, CC hanya menjawab stabil. Saya faham, istilah 'stabil' untuk seseorang berada di CCU adalah bererti 'dia tak sakit sekarang'.

Seterusnya, saya mengejutkan Encik Bubu dari tidurnya. Memberitahu akan kepulangan Abang CC kepadaNya. Perkataan yang keluar dari mulutnya selepas itu adalah "Abang kesian kat Aus". Saya sendiri seperti tidak mahu berfikir akan hakikat itu. Memang perpisahan ini menyakitkan terutamanya kepada anak arwah yang paling bongsu yang baru mencecah usia 7 tahun.

Saya pernah menulis mengenai perkara ini dalam entri Hidup & Mati Itu Perancangan Allah sebelum ini.  Dalam entri itu, saya sendiri telah menyatakan akan kemungkinan akan terjadi sekiranya Abang CC dijemput pulang kepadaNya. Kini, selepas hampir 4 bulan entri berkenaan ditulis, kejadiaan yang paling tidak mahu saya bayangkan terjadi jua di atas ketentuan Allah yang maha mengetahui kebaikan dan keburukan setiap perkara itu terjadi.

Saya pada mulanya teragak-agak untuk pulang atau tidak menghadiri pengebumian Abang CC. Waktu itu, seribu satu perkara berlegar di kepala saya. Encik Bubu memberikan keizinan untuk saya pulang sendiri bersama-sama Yong, Kak Yan dan Andak serta keluarga dalam penerbangan jam 11 pagi itu. Saya tiba di rumah pada jam 12.30 tengahari. Saya lihat rumah saya dipenuhi dengan saudara mara dekat dan jauh yang mengetahui akan khabar ini. Apabila saya temui CC, saya sendiri tak tahu perkataan apa yang  sesuai diucapkan untuknya kecuali satu pelukan sahaja. Saat dia membalas pelukan saya juga, saya tahu bahawa kehadiran kami adik-beradik disampingnya adalah sesuatu yang amat diperlukan oleh CC di saat-saat getir ini.

Seterusnya, saya mencari kelibat Aus. Saya lihat dia kegembiraan bertemu sepupu-sepupunya yang baru pulang. Saya hampiri budak kecil itu, dalam dada saya seperti sarat dengan perasaan kasihan akan anak bertuah yang masih mentah itu. Saat dia terpandangkan sahaja saya, dia terus menjerit kegembiraan. "Semalam Aus nampak WanSue kat TV" dan saya terus memeluk Aus. Dia kemudian meronta minta dilepaskan kerana ingin menyertai sepupu-sepupunya yang lain.

Saat paling syahdu adalah sewaktu Aus mengucup wajah Abahnya buat kali terakhir. Saya sendiri pernah melaluinya. Mengucup dahi seorang ayah untuk kali terakhirnya sudah mampu meremukkan hati dan perasaan. Mungkin anak sekecil Aus masih belum jelas dan faham akan 'perpisahan' ini.

Aus sewaktu menyaksikan Ayah Sue menutup seraut wajah Abahnya


Apabila jenazah diusung ke dalam van, Aus dengan sopannya meminta izin dari CC untuk sama-sama berada didalam van berkenaan. CC mengizinkan. Siapa kata Aus tidak mengerti? Dia baru sahaja menzahirkan hatinya yang berat melepaskan Abahnya pulang. Tapi, siapalah kita. Manusia hanya mampu merancang, Allah jua mempunyai perancangan yang terbaik. Selesai acara pengebumian diuruskan, sewaktu bacaan talkin dibacakan, saya sekadar memerhati Aus dari jauh. Dia waktu itu duduk di atas ribaan Ayah Ngah. Matanya tidak berkelip dari memandang beberapa orang lelaki yang secara perlahan-lahan menutupi liang lahad Abahnya.






Alhamdulillah, urusan pengebumian berjalan dengan lancar. Saya mewakili CC ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas iringan doa dan jasa baik saudara mara dan sahabat handai yang datang menziarahi arwah semasa di hospital mahupun di rumah. Malah, saudara mara Abang CC yang jauh serta dekat juga tidak putus-putus membanjiri rumah kami. Salah seorang anak saudara arwah yang tinggal di Taiping walaupun tidak berkesempatan datang melihat arwah buat kali terakhir, tetap datang menemui CC. Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik kalian semua, besar atau kecil. 

Sewaktu saya bertemu CC, saya tidak mampu menuturkan sebarang kata melainkan satu pelukan ikhlas dari si adik buat kakaknya sahaja. Hari ini, saya ingin menulis disini. Saya harap, CC akan membacanya kelak. (Oh please, janganlah jadikan 'bahan' kat adik plak ye nanti).

Kakak saya CC,


Walaupun CC ni seorang kakak yang garang dengan adik-adiknya, tapi jauh disudut hati, CC adalah seorang kakak yang sangat penyayang dan mengambil berat akan orang-orang disekelilingnya. Sesungguhnya Abang CC adalah sangat bertuah memiliki seorang isteri yang sanggup bersamanya di saat senang, susah, sakit dan segalanya bersama. Pengorbanan CC menjaga Abang CC sepanjang terlantar di hospital, sanggup mengambil cuti tanpa gaji demi seorang suami adalah sesuatu yang agung. Tidak semua orang mampu berbuat begitu. Tanpa gagal, CC sentiasa ada disisi Abang CC.


Pernah sekali Cik menegah, minta CC memberi 'cuti' kepada dirinya sendiri agar tidak menjenguk Abang CC di hospital. Cik sendiri bimbang akan kesihatan CC yang tak cukup rehat. "Kalau Aboh di hospital pun, Cik akan buat perkara yang sama, kan?" selepas itu Cik tidak lagi bertanya akan hal ini. Sesungguhnya, suami adalah syurga seorang isteri yang solehah.


Saya tahu kakak saya seorang kuat. Saya tahu, dia redha dengan pemergian Abang CC. Malah, saya juga tahu, CC sudah melakukan yang terbaik untuk suaminya. Saya sendiri berterima kasih kepada CC kerana menjadi contoh teladan yang baik buat saya. Insya Allah, saya juga mahu menjadi sekuat dan sesetia CC kepada Abang CC.

 CC dan Abang CC di Aidilfitri dua tahun yang lalu

 CC and family

 Tinggal kenangan :-(

 Cik bersama anak-anak dan menantu-menantu lelakinya

Hanya cangkul dan tanah sahaja yang memisahkan mereka

Al-Fatihah buat Abang CC saya
Mohd Farid bin Haji Abu Bakar

28/09/2011

Wordless Wednesday

Thanks Yong for the crazy experience :P

21/09/2011

Temubual dengan Bernama TV.

 
 *sila berjakun*
Pertama kalinya saya menerima pelawaan untuk ditemuramah di atas kapasiti sebagai seorang ibu kepada anak autistik. Sebelum ini, bukan saya tidak sudi, namun saya masih belum bersedia. Sebelum ini, terdapat beberapa individu dan akhbar menghantar emel kepada saya untuk ditemuramah. Ada yang ingin menyiapkan thesis dan ada juga untuk assignment akhbar mereka. Semuanya saya tolak dengan baik.


Kali ini, pelawaan dari Bernama TV pula. Saya dihubungi oleh Nik, wartawan penyiaran Rancangan F.Y.I 2 minggu sudah. Sebelum saya memberi kata putus, saya dan Encik Bubu berbincang terlebih dahulu. Jika dahulu saya menolak, kali ini di atas nasihat Encik Bubu yang berharap dengan temubual ini dapat mendidik dan memberi gambaran jelas kepada masyarakat mengenai golongan autistik, maka apa salahnya.


Akhirnya, pada 18 September yang lalu, Nik & Pak Taufiq datang ke teratak kecil saya bagi mengendalikan satu sesi temubual ringkas. Seperti lazimnya, soalan yang diutarakan oleh Nik sama juga seperti soalan-soalan kebanyakan orang bertanya kepada saya mengenai Lope. Sewaktu temubual diadakan, Lope sendiri sedang tidur di depan saya. Dia yang berulang kali dipesan oleh Mamanya agar behave memang menepati janjinya.

 *confirm penuh screen TV :P*

Selepas bangun dari tidur, mood baik Lope terus datang. Ini antara scene yang melibatkan Lope. Tak sure la yang mana satu nanti yang akan masuk TV. Tapi, rasanya nanti Kasroha jadi gelemer kuar TV :P



Ini plak antara gambar-gambar yang saya forwardkan pada Nik. Saya sendiri tak tahu mana gambar yang akan keluar. 




So korang, kalau ada kelapangan, jomlah menonton Rancangan F.Y.I yang mana topik pada kali ini adalah Autism. Siarannya adalah pada 25 September 2011 jam 10.30 malam di Bernama TV di saluran Astro 502. Kalau korang takde Astro, kat HyppTV pun ada (sesapa yang pakai UniFi la).

Anda boleh buat reminder di Facebook kat Rancangan FYI .

20/09/2011

Sekiranya anda adalah ibubapa kepada anak OKU...

Sudahkan anda mendaftarkan anak OKU anda dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat? 

Sekiranya belum, anda patut berbuat demikian bagi menjamin masa depan yang lebih baik untuk anak-anak OKU anda.

Mengapa perlu mendaftar?

Ianya adalah untuk memudahkan Kerajaan mengetahui bilangan, taburan dan Kategori OKU bagi merancang program berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, rehabilitasi, latihan serta perkhidmatan. Apabila mendaftar juga, ianya membolehkan OKU mendapat perkhidmatan yang berseseuaian menurut keperluan berdasarkan tahap kefungsian/ketidakupayaan mereka.
Bagaimana mahu mendaftar?

Dahulu, sewaktu saya mendaftarkan Lope-semuanya dibuat secara manual. Kini, untuk pendaftaran OKU, kita boleh buat secara online. Sebagai ibubapa kepada anak OKU, saya cadangkan agar anda membaca terlebih dahulu Cara-Cara Pendaftaran OKU dan Kemudahan dan Keistimewaan Bagi OKU

Untuk mendaftar, anda hanya perlu mengikuti langkah-langkah yang mudah ini di Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya.

1) Klik Login kali pertama.


 2) Pilih jenis pengenalan diri. 



3) Lengkapkan butiran diri anak anda dan hantar.



4) Pendaftaran berjaya.


5) Klik ikon "Muka Utama" dan paparan masukkan kata laluan yang telah anda daftarkan.


6) Log-in & pilih Pendaftaran OKU Online.


7) Lengkapkan butiran diri penjaga / ibubapa kemudian tekan butang "Hantar"


8) Muat naik gambar anak anda yang paling kacak/cantik :-)


9) Cetak muka surat ini.


10) Bahagian B - G  perlu dikemukakan kepada Pakar Perubatan untuk diisi.


Bahagian C & D


Bahagian E & F


Bahagian G


11) Bahagian F pula perlu diisi oleh Jabatan Pelajaran Negeri/Daerah.


Apabila borang berkenaan dah lengkap isi sampai Bahagian F, barulah anda ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dengan membawa anak OKU anda bersama-sama. Tak lupa juga, bawa bersama 2 salinan Kad Pengenalan/Sijil Kelahiran mereka berserta dengan 3 keping gambar anak berukuran Kad Pengenalan. Selepas sebulan, sekiranya tak terima lagi kad OKU anda, sila complain :P

Sebelum hantar borang tu, make sure buat beberapa copy terlebih dahulu untuk simpanan sebab dengan menggunakan borang yang sama, banyak urusan yang boleh kita gunakan. Kalau anak anda dah berumur dibawah 5 tahun semasa pendaftaran dibuat, maka semasa dia mencecah umur 5 tahun, sila hubungi Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pelajaran Negeri.

Sekiranya sudah mendaftar dan dah ada Kad Pengenalan OKU macam yang Lope ni, anda diwajibkan bertukar kepada kad baru. Sila datang ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan membawa kad lama & 3 keping gambar anak OKU untuk dibuat kad baharu. Nanti dapat kad baharu, baru saya tunjuk kat sini plak.

Kepada yang belum mendaftar - silalah berdaftar sekarang. 
Kepada yang sudah mendaftar - silalah bertukar kad anda kepada yang baharu.

Like us on Facebook :-)

Kami kini di Facebook :-)

15/09/2011

Saya menulis kerana Lope...

Sewaktu saya mula menulis 3 tahun lalu, saya bertanya kepada diri saya, untuk apa My.Little.Secret ditulis untuk tatapan umum. Namanya juga sudah My.Little.Secret maka, sepatutnya ia tidak perlu dikongsi lagi dengan umum. Jika dikongsi, makanya tidak dipanggil nama secret lagi :p


Ini alasan saya mengapa saya masih menulis mengenai kehidupan saya yang mana berkisar mengenai Lope & Obiya. Ada masanya, bercerita mengenai Encik Bubu & saya dan kehidupan kami.

Saya menulis kerana Lope. 

Pada mulanya, ia adalah sesuatu terapi minda untuk saya menyalurkan seribu satu rasa saya ada pada anak kecil ini yang pada masa itu baru disahkan mengidap Global Developmental Delay dan Mild Autism. Sewaktu itu, saya yakin tiada sesiapa memahami apa yang saya rasa, saya rasa saya jatuh dan terduduk kerana apa yang Allah anugerahkan kepada saya adalah sesuatu yang diluar jangkaan. 

Melalui menulis, saya terasa sedikit tenang. Melalui menulis juga, saya kenali beberapa keluarga yang jauh lebih hebat ujian yang Allah berikan kepada mereka dan mereka masih berdiri teguh menyokong anak yang lahir dari rahim mereka. Sewaktu saya bergelar Mama kepada Lope, saya masih mentah. Setelah memiliki Lope, barulah saya sedar, kehidupan ini sungguh indah untuk diterokai. Hidup jika dibentangkan jalan kehidupan yang lurus, tidak akan seronok untuk kita melaluinya.

Maka, disepanjang kehidupan saya, Allah serikan dengan kehadiran Lope untuk mengajar saya konsep kesyukuran yang tidak akan saya dapat dari mana-mana pembelajaran di sekolah. Saya yakin dan saya tahu, jalan untuk saya membesarkan Lope tidaklah semudah jalan untuk saya membesarkan Obiya. Contohnya mudah, saya cuma perlu mengajar sekali sahaja untuk Obiya bertatih, dan sekarang anak perempuan kecil saya sudah mampu berlari ke sana ke mari. Tetapi, bersama Lope, saya masih lagi menunggu saat keajaiban itu berlaku.

Saya menulis kerana Lope.

Saya menulis hampir 70% mengenai Lope di dalam My.Little.Secret dengan harapan, andai suatu hari nanti, Lope boleh membaca semula catatan ini. Saya tidak mahu Lope membalasnya, cukup jika suatu masa nanti, Lope akan menjadi anak soleh yang mendoakan kesejahteraan saya di akhirat. Itu sahaja yang saya minta.


Saya menulis kerana Lope.

Apabila saya menulis mengenai Lope, ianya merupakan sesuatu yang baru untuk saya. Saya membuat terapi cara kerja, fisioterapi, belajar mengenai Autism dan ada masanya bersengkang mata mencari perkataan-perkataan medical di internet sehingga lewat malam. Ada masanya juga, saya menyelusuri blog-blog ibu/bapa yang kental serta tidak jemu memberikan yang terbaik kepada anak mereka. Dari pembacaan itu, saya yakin secara tidak langsung Lope mengajar saya mempelajari perkara-perkara yang berada di luar dari skop kehidupan saya. Bukankah itu ilmu yang tidak ternilai? :-)


Saya menulis kerana Lope.

Apabila saya menerima pelbagai komen dari rakan taulan yang banyak memberikan sokongan, galakan dan semangat untuk saya terus ada untuk anak autistik saya. Untuk entry kali ini, saya ingin berkongsi 2 buah komen/mesej yang saya terima. Kedua-duanya merangsang saya untuk terus berusaha demi Lope. Saya berterima kasih kerana adanya My.Little.Secret menjadikan saya lebih kuat.


FarahFafa : Terima kasih di atas komen ini. Sesungguhnya, saya sangat teruja untuk mengenali Aiman. Kalau FarahFafa terbaca entry ini, maka silalah berikan email/no.phone.


Nik Khartina Nik Man pula adalah kawan saya yang tidak pernah putus memberi kata semangat. Mungkin, pujiannya melambung tetapi saya berterima kasih kerana sama-sama berkongsi tips dan merasai apa yang saya rasa.


Terima kasih semua. Saya tahu dan saya yakin, menulis dan berkongsi rasa serta pengalaman mengenai Lope tidak pernah merugikan saya. Seperti dalam entri-entri terdahulu, jauh disudut hati saya berharap dengan cerita Lope ini akan lebih mendidik masyarakat dalam mengenali individu autistik.  Saya harap, suatu hari nanti impian saya akan tercapai.

12/09/2011

Kisah hujung minggu bersama Lope & Obiya saya :-)



Hujung minggu lepas, saya dan Encik Bubu ke hulu ke hilir menghadiri open house teman taulan. Ada yang tak open house pun saya bantai jugak, jumpa bukan sebab orang buat makan je kita sampai, tapi sebab nak eratkan hubungan silarurahim sesama kita. Salah satu open house yang saya singgah, saya nak selitkan satu cerita disebaliknya mengenai Lope saya, sebagai catatan untuk saya kenang di hari tua nanti.

Gambar ini adalah gambar yang saya ambil di open house Zaid. Memandangkan agak ramai orang yang datang berkunjung, maka saya memutuskan untuk mendukung sahaja Lope. Tambahan pula, awan yang mendung menandakan akan hujan sebentar lagi. Selepas berjumpa dan bersalam dengan tuan rumah, kami dipersilakan untuk duduk dan menjamu selera. Orang putih cakap help yourself. Maka, saya mencari tempat kosong dan kami 5 beranak pun duduklah.

Sementara mengunggu Encik Bubu & Bibik mengambil minuman, saya duduk di meja bersama Lope. Lope saya dudukkan di salah sebuah kerusi disamping saya. Dalam hati sedikit gusar, bimbang sekiranya imbangan badan Lope apabila dia duduk, Lope gemar menunduk dan mungkin akan terjatuh kelak. Maka, mulut saya berpesanlah pada anak teruna saya yang sorang ini.

" Lope, jaga diri tau. Mama letak Lope duduk sini, Lope kena careful dengan kiri kanan tu, nanti Lope jatuh. Kalau jatuh, Lope sakit" si anak sekadar memandang sambil mulutnya tak putus menyebut nama "ab-bah". Dia kemudian menyentuh permukaan kerusi sebelum tangan kecilnya menyelit lengan disitu. Selepas dia berbuat begitu, dia memandang ke arah saya sambil memanggil "ma-ma".

Kena pegang kerusi ni, Mama cakap kalau jatuh nanti sakit - Lope

Saya yang menyaksikan setiap perlakuan Lope tersenyum sendiri. Cepat-cepat tangan ini mengambil gambar di atas. Sepanjang makan-makan di rumah Zaid, Lope duduk sendiri. Saya yang berada disampingnya tetap masih ada perasaan tidak harap, khuatir Lope jatuh. Maka, sepanjang masa, tangan kiri saya diletakkan di atas peha Lope dijadikan seat belt untuknya. Saya juga arif dengan Lope yang agak 'tidak senang' bila berada didalam kelompok orang-orang yang tidak dikenali, maka dengan lingkaran tangan mama di pehanya diharapkan dapat mententeramkan hati anak teruna saya ini.

Open house di waktu weekend adalah sangat memenatkan, terutamanya dengan keadaan trafik yang majoritinya semuanya adalah sesak. Orang yang pakai gown kaler pink ni sangatlah boring dalam kereta. Dia bebel, dia pekik, dia menyanyi & ada masanya dia tido :P





Malamnya, Minmin datang lepak-lepak kat rumah. Tak sangka, ada peminat Minmin yang follow Minmin ke hulu kehilir.


 
 Aksi orang yang saling merindui :P

Malamnya juga, sempat makan Mee Sup kat rumah Ayu & jumpa Zura serta family. Gambar-gambar lain semua tak sempat selit kecuali dengan budak handsome ni sorang je sempat ambil gambar :) Esoknya plak, teman Encik Bubu pergi makan-makan kat rumah Encik Bodent kat Wangsa Melawati. Encik Bubu cakap, kalau Bodent ajak pegi open house, wajib datang sebab dia memang tabik spring dengan Char Kuew Teow yang ada which is soo true. Sayangnya, tak boleh duduk lama-lama sangat sebab keadaan Lope kurang selesa. Apapun, terima kasih Encik Bodent sebab ajak kami sekeluarga :-)

Minggu ni pulak, bersusun jemputan ke kenduri kahwin. Insya Allah, kami akan sedaya upaya memenuhi semua jemputan yang di ajak. Tak lupa juga, tahniah untuk sepupu kesayangan saya Husnil yang selamat melahirkan anak kedua hari ini melalui c-section. Insya Allah, nanti Wansue akan sampailah nak jenguk anak buah terbaru ni.

Selamat datang ke dunia, sayang!

08/09/2011

"Nampak macam dah besar..."

Mood raya masih terasa. Hujung minggu ini juga, sudah beberapa jemputan rumah terbuka yang dilayangkan menerusi SMS dan Facebook, minta dihadiri. Semuanya saya jawab 'ok'. Insya-Allah, akan sampailah bagi mengikat tali ukhwah. Baru sempat melihat-lihat gambar-gambar raya teman-teman dan sanak saudara. Baru saya terperasan, kami sekeluarga tak ada gambar yang pun. Kamera kesayangan kami 'disampuk' hantu agaknya sehinggakan kami tak bergambar tahun ini. Masih lagi bercerita mengenai raya, saya ingin menulis catatan ini di My.Little.Secret. Cerita yang bakal saya  kongsi adalah sesuatu yang membakar semangat saya untuk Lope.

Sepanjang berada di rumah Cik, ada masanya saya letakkan Lope di dalam stroller meskipun berada di dalam rumah. Dengan stroller itu yang saya feeling-feeling jadikan dia ibarat wheel chair, maka saya tolak anak kesayangan saya tu menerokai rumah setingkat Cik. Dengan adanya stroller itu, maka Lope dapat menjelajah ke ruang tamu, ruang keluarga dan ada masanya di dapur. Lope nampak selesa begitu berbanding apabila saya 'lepaskan' sahaja dia sendirian di depan TV kerana kebanyakan masanya Lope akan duduk dan kemudiannya terguling-guling kemalasan. Saya amati, dia masih belum selesa lagi dengan persekitaran rumah Cik. Lazimnya, Lope memerlukan tempoh 5-10 hari untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Tambahan pula, kali ini sengaja saya tidak membawa pulang beberapa kelengkapan Lope atas alasan ingin mencuba sesuatu yang baru.

Makanya, apabila tetamu datang beraya sekalipun,  ada masanya Lope masih didudukkan didalam stroller. Saya mengerti mungkin ada mata-mata yang kehairanan melihat budak sebesar Lope yang didudukkan didalam stroller ditengah-tengah rumah. Tambahan pula, dia yang bersendirian didalam stroller sambil merenung tapak tangannya seraya menyebut "Ab-bah" berulang kali tanpa menghiraukan orang sekeliling agak ganjil. Kalau tahun-tahun sudah, ada yang bermulut 'prihatin' dengan mengungkap "Kesian, tuannya handsome tapi sayang..." atau "Dah besar-besar macam ni nak lagi duduk dalam kerusi ni (sambil referring to stroller)". Kalau 2 tahun yang lepas saya berendam air mata, dan tahun berikutnya saya sedikit kental, tahun ini saya sudah complete tak rasa apa-apa dah.

Lope boleh!
 Tahun ini, tanggapan yang sama masih ada. Masih ada mata yang memandang ke arah Lope. Buat saudara mara yang rapat, mengetahui tentang keistimewaan yang ada pada Lope, saya bersyukur kerana mereka semuanya prihatin dan bertanyakan perkembangan terbaru Lope walau ada beberapa di antara mereka yang masih belum faham apa sebenarnya 'penyakit' Lope. Sedikit cuma yang saya minta - terima Lope sebagaimana orang-orang lain tanpa pandangan yang prejudis atau mulut yang terlebih ringan bercakap. Rasanya tidak banyak saya minta, kan?

Dalam saya bersiap siaga (ceh!) secara mentalnya dengan tak kisah pertanyaan serta pandangan mata orang, hati saya tersentuh tatkala anak sepupu saya berumur lebih kurang Lope datang bertandang ke rumah. Namanya Ilham, berusia 3-4 tahun dan mempunyai 2 orang adik. Tatkala dia datang ke rumah Cik, Lope baru sahaja selesai makan malam. Makannya bersuap oleh Mama dan minumnya dengan menggunakan syringe. Matanya tak lepas memandang Lope, kemudian memandang stroller yang berada di tengah rumah ini. Tatkala mulut Lope berbual mesra dengan mamanya menyebut "Ab-bah" dan kemudian "Mam-ma" saya perasan akan lirikan mata Ilham yang tak putus memandang Lope.

"Nampak macam dah besar..." akhirnya itu yang terluah diulas Ilham.

Ilham tidak menyambung ayat seterusnya. Saya juga tidak bertanya kenapa dia berkata begitu. Jujurnya, saya juga kehilangan kata. Saya sedang memahami apakah yang ditafsirkan oleh Ilham tatkala memandang Lope yang mempunyai ketinggian lebih tinggi darinya. Saya pasti, dia teringin mengajak Lope bermain bersama-samanya, malah Lope langsung tidak menjeling ke arahnya. Jauh sudut hati, saya tenangkan diri. Saya tidak terasa hati dengan ayat yang Ilham luahkan, sekadar terasa jurang antara Lope dan anak-anak lain semakin jauh sedari usianya bertambah.

Banyak perancangan yang saya ada untuk Lope, namun terpaksa ditangguhkan atas faktor masa dan kewangan yang mendesak. Membesarkan anak seistimewa Lope, bukan sedikit perbelanjaan diperlukan. Saya merencanakan, bermula tahun hadapan, saya perlu menghantarnya ke sekolah walau yuran pengajiannya sebulan sama taraf dengan yuran pengajian peringkat ijazah. Saya harus berkorban masa, tenaga dan memohon pelepasan waktu bekerja dari majikan dalam menguruskan Lope, menghantar dan mengambilnya pulang dari sekolah. Tambahan pula, perkhidmatan Bibik mungkin tiada lagi di tahun berikutnya.

Bila difikirkan semula, saya sendiri takut dan bimbang sekiranya perancangan yang saya ada pada Lope tidak dapat dilaksanakan. Sekiranya saya tidak mampu, saya mohon agar Allah menyediakan perancangan yang jauh lebih baik untuk Lope saya.

One of my fave. pic with Lope : on his 16 moths old @ Dubai International Airport