Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

10/08/2011

Kemeja usang itu...

Hujung minggu lalu, saya mengambil masa mengemas almari pakaian Encik Bubu. Sambil saya leka melipat dan menyusun pakaian mengikut tone warnanya, mata saya tertancap kepada sehelai kemeja lengan pendek berwarna coklat. Kemeja itu sudah lusuh, malah sedikit reput di lengan kirinya. Terpandangkan sahaja kemeja coklat itu, satu perasaan rindu menyelinap masuk ke seluruh tangkai hati saya.


Memandang kemeja lengan pendek ini saja dah membuatkan saya sayu. Walau hanya sehelai kemeja lengan pendek yang telah lusuh dimamah usia, kemeja itu ada nilai sentimentalnya yang tersendiri buat saya. Saya masih ingat bagaimana baju kemeja lengan pendek ini boleh berada di rumah saya. Waktu itu saya tinggal di Terengganu, sewaktu 7 bulan mengandungkan Lope. Arwah Aboh dan Cik datang ke rumah dihujung minggu memandangkan jarak di antara Kota Bharu dan Terengganu hanya 2 jam memandu. Waktu itu, saya masih ingat bagaimana prihatinnya seorang ayah terhadap anak bongsunya yang berbadan dua.

Hujung minggu itu, mereka berdua menemani saya. Tambahan pula, sewaktu itu Encik Bubu selalu kena out-station. Mungkin kerana bimbang akan saya yang sering ditinggalkan sendiri, arwah Aboh akhirnya berjanji, bulan hadapannya apabila kandungan saya mencecah usia 8 bulan, arwah Aboh dan Cik akan menemani saya di Terengganu sehingga sampai masanya saya pulang bersalin di Kota Bharu. Waktu itu sayalah yang paling gembira kerana arwah Aboh juga bimbang melihat saya memandu sendiri dari rumah ke pejabat walaupun berulang kali saya cakap saya OK.

Baju kemeja lengan pendek ini juga adalah baju terakhir yang arwah Aboh pakai dirumah saya. Waktu ingin pulang ke Kota Bharu, Aboh minta baju kemeja ini dibasuh dan disimpan di rumah saya. Kata Aboh, senang lain kali datang tak perlu bawa baju banyak-banyak. Aboh juga dengan sengaja meninggalkan bekalan ubat-ubatannya didalam friedge rumah saya.

Rupanya, itulah kali terakhir arwah bertandang ke rumah saya.

Arwah Aboh tidak sempat mengotakan janjinya untuk menemani saya sewaktu saya sedang sarat kerana Aboh jatuh sakit dan selepas 10 bulan menderita menahan sakitnya, tanggal 26 Disember 2007, Aboh kembali ke rahmatuallah. Perginya tiada ganti dan sampai bila-bila saya akan merindukan arwah.

Walau sudah reput, kemeja ini adalah harta peninggalan yang berharga untuk saya

Hingga hari ini, walau sudah 3 kali berpindah rumah dari Kuala Terengganu ke Seri Kembangan dan kemudiannya ke Putrajaya, kemeja lengan pendek ini masih saya simpan dan gantung di dalam almari pakaian. Sesekali, apabila rindu datang menyapa, kemeja lengan pendek ini tidak pernah gagal mendamaikan hati saya. Kelak, akan saya ceritakan kepada Lope dan Obiya, bahawa arwah Aboh adalah seorang ayah yang terbaik untuk mamanya.

Al-Fatihah untuk ayahanda kesayangan
Tuan Haji Megat Ramli bin Megat Adnan
12 Oktober 1941 - 26 Disember 2007

Aidilfitri terakhir bersama arwah Aboh


... dan, saya rindu lagi! :'(



No comments: