Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

06/06/2011

Hidup dan mati - itu perancangan Allah.

Semalam sepanjang berada di pejabat, saya tak menang tangan menguruskan tuntutan pejabat yang datang mencurah-curah. Boss saya yang seorang itu bercuti, maka hampir 90% kerjanya saya terpaksa uruskan. Lebih kurang jam 11 pagi, saya terima SMS dari Cik. Saya cuma baca sepintas lalu, sambil dalam hati berharap 'sekejap lagi nak call Cik' dan terus mengadap kerja-kerja segera yang perlu disiapkan.

Diam tak diam, saya tersedar apabila saya menerima SMS Cik buat kali kedua pada jam 5.20 petang. Jujurnya, SMS yang Cik sampaikan kepada saya membuatkan saya sedikit terusik. Abang ipar saya kini berada di CCU. Keadaannya untuk lebih saya faham sekadar bergantung pada mesin dan bantuan ubat sahaja. CC (Kakak saya) menerima ketentuan ini dengan hati yang tenang, namun setenang manapun dia, jauh disudut hati siapa yang tahu.

Semalam juga, selepas saya berbincang dengan Kak Yan, akhirnya saya mengambil keputusan untuk pulang ke Bukit Marak hujung minggu ini. Pulang secara solo bersama Kak Yan dengan menaiki bas. Kami tidak pulang bersama suami dan anak-anak kerana kali ini kami pulang sebagai seorang adik yang ingin bersama-sama berada disisi kakaknya. Mungkin dengan hadirnya kami secara fizikal disisi CC akan memberi kekuatan padanya. Selama ini, CC sahajalah yang banyak menjaga dan menolong kami di kala kami dihimpit kesusahan.

CC punya dua anak teruna, yang bongsunya berusia 7 tahun. Namanya Aus, wajahnya persis wajah Lope, cuma dalam formulasi yang berbeza. Jika dibandingkan, kalau mengaku Aus itu abang pada Lope juga orang percaya. Pagi tadi, saya menelefon Cik sekali lagi, selepas yakin 2 keping tiket pergi dan pulang berada di tangan. Mula-mula, saya bertanya keadaan CC. Semak fikiran saya memikirkan CC, namun Allah pasti punya perancangan terbaik untuk seorang isteri yang tabah sepertinya. Untuk wanita secekal CC, saya yakin dia mampu menempuhnya.

Aus miliki wajah persis Lope

Seterusnya, soalan saya terus bertanya tentang Aus. "Aus macam mana Cik? Dia tahu Abah dia sakit?" Cik menarik nafas panjang, dan mungkin juga mencari perkataan yang sesuai untuk memberitahu saya. "Dah dua-tiga hari Cik terangkan pada Aus tentang ketentuan Allah. Allah boleh buat apa yang dia mahu, tapi semuanya dengan sebab, begitu juga dengan kehidupan - hidup dan mati." Saya terdiam. Sampai ke topik ini, itulah satu yang susah untuk dirungkaikan dengan kata-kata. Tentang sebuah kematian.

Menurut Cik, penceritaannya untuk Aus agak terperinci. Bagaimana arwah Aboh (ayah saya) kembali ke rahmatuallah, Aboh sakit kemudian bagaimana kami sekeluarga menjaganya didalam tempoh 8 bulan sebelum arwah Aboh dijemput pulang kepadaNya, juga bagaimana Allah berkehendakkan arwah Mak (nenek saya) yang meninggal dunia secara mengejut. Itu semua rahsia Allah, ketentuannya. Cik kata, mata bulat Aus tenang mendengar hujahan Cik. Saya tahu, anak kedua CC ini tersangat pintar orangnya. Tenang sahaja dia mendengar sang nenek bercerita sampailah kepada satu masa, dia menyampuk ..

"Aus tahu, nanti Abah akan mati"

Waktu itu, Cik sendiri kaku. Kehilangan kata. Saya membayangkan keadaan anak kecil berusia 7 tahun itu. Tiada perasaan untuk digambarkan. Aus memberitahu Cik, sudah banyak kali Abahnya berpesan tentang sebuah pemergian yang tidak akan kembali ini.

"Nanti tanamlah Abah dekat Umi, senang Aus nak pergi tengok" bila Cik bercerita sehingga ke tahap ini, mata saya berat bergenang air mata. Ya Allah, ibarat pecah hati saya kesayuan mendengar bait itu keluar dari mulut anak kecil ini. Saya sendiri, selepas 25 tahun mengecap kasih sayang sang ayah juga masih kehausan mendambakannya, inikan pula anak kecil seperti Aus.

Bila difikirkan semula, saya akhirnya pasrah dengan semua ketentuan yang Allah simpan untuk CC. Allah itu adalah perancang yang terbaik. Saya sendiri tidak tahu, apakah pengakhiran yang Allah akan tertulis disini untuk Abang CC (suami CC) tetapi hanya satu yang saya minta, agar Abang CC diberi kesejahteraan. Saya akui, saya tidak pandai mnguruskan emosi sendiri apabilanya ianya melibatkan tentang sebuah kehilangan seperti ini. Saya mengharapkan Allah menyimpan suatu rancangan yang paling baik buat CC sekeluarga.

CC dan suami sewaktu di hari ulangtahun perkahwinan mereka tahun lalu
*gambar ini sengaja diblurkan bagi menghormati CC dan suami*

1 comment:

Shasha said...

Salam puteri, akak berdoa semoga ayah Aus di CCU berada dalam keadaan tenang dan aman, kita tidak tahu ketentuan Allah. Apa-apa pun didoakan yang tebaik untuk beliau. Mak akan kembali ke rahmatullah pada 1 Jun lalu di CCU HUKM...jadi akak masih lagi terkenang akan apa saja yang ada kaitan dengan CCU...masih ingat segala mesin dan peralatan yang melingkari arwah emak dan akak melihat mesin berkenaan menunjukkan angka sifar, tanpa bacaan dan faham itu tanda emak akak sudah menuju negeri abadi..semoga Aus membesar jadi anak yang tabah.