Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

23/02/2011

Cerita 8 hari kami berkampung di Hospital Putrajaya - Part 1

Sehingga ke hari ini, masih ada yang bertanya kenapa Lope dimasukkan ke wad. Sejujurnya saya sangat berbesar hati kerana ramai yang prihatin dengan Lope. Tak terucap rasa syukur dan terima kasih saya untuk semua yang datang menziarahi, bertanya khabar dan mendoakan kesihatan Lope kembali semula seperti mana adanya dia serta yang tidak putus menitipkan doa buatnya.

Segalanya bermula apabila minggu sebelumnya kami berkelah di Port Dickson di hari ulangtahun perkahwinan kami. Bukan keluarga saya sahaja, malah bersama 3 buah keluarga abang saya juga. Pulang dari sana, Obiya mula muntah dan cirit birit. Selepas minum susu atau makan juga, dia muntah dan kemudian disertai dengan cirit birit. Namun segalanya tidak berpanjangan kerana Obiya mampu melawan. Apabila perut terasa lapar, dia akan makan. Apabila mulut terasa haus dia akan minum.

Dua hari selepas itu, Lope pula begitu. Apabila makan dan minum, dia mulalah muntah dan cirit-birit. Bezanya Lope berbanding Obiya, dia cepat serik. Mungkin perit tatkala muntah berpanjangan, Lope menolak untuk makan dan minum. Seharian Lope muntah-muntah, saya berjaga sepanjang malam. Keesokkannya, pada 9 Februari, Lope hanya minum 40ml susu dan tanpa makan. Malah, saya ke pejabat juga pada hari itu membawa simptom yang sama. Sepulangnya saya dari pejabat, saya terlena kepenatan kerana malam sebelumnya saya berjaga menemani Lope yang muntah-muntah.

Melihat teruknya keadaan Lope, dalam tanpa daya, saya gagahkan juga diri membawa Lope ke Hospital Putrajaya. Nasib saya baik kerana Cik menemani saya. Malah, Cik jugalah yang memasak untuk kami sekeluarga. Malamnya, Cik sekali lagi menemani saya membawa Lope.

Lope yang tidak berdaya. Malah, tiada tangisan dan suara juga.

Seperti biasanya Unit Kecemasan, kes Lope dikelaskan kepada keadaan sederhana. Lope didaftarkan pada jam 9.50 malam dan hanya mendapat rawatan pada jam 11.00 malam. Seterusnya apabila Lope perlu di drip dan diambil darahnya, dia tidak menangis. Tidak berdaya untuk menangis kerana badannya dehydrated. Kesian saya melihat sekujur badan itu makin meninggi, matanya cengkung, tulang temulangnya jelas kelihatan.

Tiada tangisan sewaktu tangan kecil itu dicucuk.

Menahan diri dan berserah. Kesian anak mama :(

Selepas dimasukkan air, Lope terlelap. Kepenatan. Saya sendiri tidak mampu untuk menunggu lalu saya minta Cik menemani Lope di Bilik Pemantauan dan saya kembali ke kereta dan tidur seketika.

Jam 12 malam, saya menerima email memaklumkan bahawa Ayah Amin telah kembali ke rahmatuallah sebentar tadi. Semoga Allah meletakkan arwah disamping insan-insan yang disayangiNya. Arwah Ayah Amin adalah seorang yang disenangi dan sangat baik orangnya.
.
Al-Fatihah untuk Haji Aminuddin bin Haji Kushairi
picture taken from Amar's FB - thank you

Selepas mendapat berita duka itu, saya sudah tidak mampu tidur lagi. Saya terus menghubungi Encik Bubu dan kami berdua sangat terkejut dengan berita ini. Saya terus menjenguk Lope di Bilik Pemantauan. Masih terlena. Jam 3.30 pagi Lope terpaksa diwadkan kerana keadaannya terlalu lemah. Saya agak terkilan dengan kakitangan di Unit Kecemasan kerana saya terpaksa menunggu selama itu.

Saya difahamkan oleh jururawat bertugas bahawa kakitangannya terlepas pandang akan sampel darah Lope dan ianya tidak dihantar ke makmal menyebabkan kami terpaksa menunggu lebih lama disitu. Cemerlang sungguh kakitangan Unit Kecemasan pada malam 10 Februari 2011 yang mana pada pemerhatian saya hanya gelak, berborak dan ketawa sahaja sehingga terlepas pandang akan 2 botol kecil yang dilabelkan nama anak saya itu.

Akhirnya terlena kepenatan.

Sewaktu Lope diberitahu terpaksa ditahan di wad, memang saya sudah jangkakan memandangkan keadaan dirinya yang tidak berupaya. Saya menghantarnya ke wad dan housemen bertugas bertanya mengenai latar belakang Lope dan segalanya mengenai dia. Doktor berbangsa India ini sangat peramah orangnya dan saya gemar apabila doktor yang ditugaskan di wad kanak-kanak ramah dengan senyuman dan mesra pesakit. Bukan seperti sesetengah doktor yang masam dan tidak tahu memujuk pesakitnya.

Malam pertama di HPJ

Selesai urusan Lope di wad, saya meminta diri pulang. Sekali lagi saya beruntung kerana mempunyai Cik yang sanggup menunggu cucunya yang seorang ini. Saya pulang untuk mengambil pakaian dan peralatan untuk saya dan Lope. Saya jangkakan mungkin 2-3 hari juga kami berkampung disini. Pelbagai perkara timbul didalam kepala saya, bagaimana dengan kerja, bagaimana dengan Obiya dan bagaimana Lope sendiri. Gusarnya bersarang didalam hati. Pulang ke rumah, saya letakkan kepala sahaja disisi Obiya dan saya terlena.

Paginya saya datang ke wad pada jam 11 pagi dengan 3 buah beg besar. Beg pakaian, peralatan dan bantal-bantal Lope. Apabila sebotol air sahaja sudah dimasukkan ke badan Lope, dia tampak kembali aktif.

Lope @ hari pertama.

Namun sayangnya dia tidak boleh dibenarkan pulang lagi kerana Lope menolak untuk makan dan minum. Dia terlalu bergantung pada drip yang dimasukkan ke badannya. Mahu tidak mahu, Lope terpaksa ditahan disini.

Tengok macam mana berputarnya wayar drip ini, bukti Lope sedang sengap :P

... bersambung

No comments: