Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

28/12/2010

Kisah keakraban si adik dan Lope

Hari ini merupakan acara mingguan untuk saya membawa Megat Jr. ke Hospital Putrajaya bagi menghadiri Terapi Cara Kerja sebagaimana rutinnya. Seperti biasa juga, saya akan membawa Bibik dan secara pakejnya terpaksa membawa si Puteri Jr. bersama. Jika masalah parking di Hospital Putrajaya bukanlah satu masalah bagi saya, rasanya saya mampu sahaja datang berdua dengan Megat Jr. tetapi memandangkan kawasan parking tidak menentu di mana, maka saya terpaksa menurunkan Megat Jr. dan Bibik terlebih dahulu di depan kaunter Pendaftaran. Seterusnya saya akan mencari parking dan datang bersama Puteri Jr. selepas itu.

Jika hari hujan atau terlalu panas, saya tidak membawa Puteri Jr. bersama. Namun, hari ini memandangkan cuaca redup sahaja, maka saya memilih untuk menurunkan Megat Jr. dan Bibik terlebih dahulu. Tambahan pula, hari ini kami terlewat dan saya meminta Bibik selesai sahaja urusan pendaftaran agar terus menuju ke Jabatan Rehabilitasi. Saya dan Puteri Jr. akan menyusul terus ke situ. Saya yakin Bibik tahu bagaimana untuk melakukannya, kerana telah banyak kali saya ajarkan kepadanya serta membuat latihan amal.

Nasib saya baik, saya mendapat parking tidak berapa jauh dari kawasan pendaftaran, maka seharusnya saya memasuki kawasan itu terlebih dahulu dan merentasi klinik-klinik pakar sebelum tiba di Jabatan Rehabilitasi. Itu juga adalah rutin bagi saya dan Puteri Jr. Namun, mungkin tidak pada hari ini untuknya. Semenjak keluar dari kereta, sewaktu memegang tangannya, saya sudah berkata "Jom Phia, kita pergi tempat Lope" dan mungkin kerana itu dan rutinnya dia akan bertemu dengan si abang di kaunter Pendaftaran, maka setibanya disana, Puteri Jr. seperti panik dan tercari-cari. "Mama, Lope.. Lope," katanya sambil matanya melilau mencari si abang. Saya perhatikan dia memandang hampir semua stroller yang berada disitu. Lantas saya bertanya "Mana Lope ni? Lope tak ada la kat sini la" dan dia terus-terusan menyebut "Mama, Lope.. Lope.." wajahnya nampak runsing dan kehairanan kerana si abang tiada disitu. Saya membiarkan sahaja dia berjalan sendiri sambil meminpinnya sehinggalah hampir di penghujung klinik pakar disitu, dia terhenti dan memandang belakang.

Wajahnya runsing. Dia memandang ke arah saya dengan dahi yang berkerut serta suara yang agak meninggi "Mama, Lope! Lope!" jelas terpancar di wajahnya riak bimbang. Lantas saya mendukungnya dan berkata "Jom! Kita cari Lope kat depan" dia menurut. Tapi matanya tetap melilau. Mencari. Setibanya di Jabatan Rehabilitasi, dia melompat gembira apabila memandang stroller Lope walaupun si abang tiada disitu. Dia terpekik Yeay! Yeay! di atas pangkuan saya. Apabila saya menurunkan dia, dia segera meluru ke arah Bibik dan memukul Bibik beberapa kali. "Be-bik! Be-bik!" katanya. Memarahi Bibik barangkali kerana membawa abangnya ke sini tanpa seperti selalu menantinya di kaunter Pendaftaran.

Apa yang saya terjemahkan disini, Puteri Jr. seorang adik yang prihatin. Mungkin kerana tidak pernah berenggang dengan Megat Jr. maka dia terlebih bonding dengan si abang. Hati saya tersentuh tatkala melihat wajah kerunsingannya mencari si abang dan air muka gembiranya apabila terpandangkan stroller Megat Jr. walaupun tiada si abang di atas stroller itu. Saya bersyukur dan berharap agar kasih sayang si adik ini berterusan sehingga bila-bila, saya harapkan agar si adik tahu bahawa dialah yang perlu menjaga dan melindungi si abangnya di masa hadapan.

Keseluruhan terapi hari ini berjalan lancar seperti yang diharapkan. Cikgu Diana mendirikan Megat Jr. di standing frame dan ini tidak memberikan peluang buatnya untuk tidur. Sewaktu berdiri juga, si adik seperti biasa melilau di sekitar Jabatan Rehabilitasi, lagaknya seperti seorang YB melawat kawasan dan bersalam dan mencium tangan dengan semua orang tak kira siapa pun disitu.

Megat Jr. yang sedang didirikan

Berdiri di standing frame

Cermin sengaja diletak didepannya.
Lihat Megat Jr. sedang menggeliat sebelum terapi dilakukan.

Apabila terapi dimulakan - yawnnnnnn!

Pasif apabila diminta mengambil kiub-kiub berwarna itu

Bermula episod air mata tatkala Cikgu Diana memaksa mengambil kiub-kiub :P

Bila task selesai, mana ada muka menangis pun :P

Apabila si adik hilang dari pandangan mata, si abang akan memanggil "Obiya" dan apabila si adik muncul, senyum meleret menghiasi wajahnya. Namun, masih lagi menangis apabila terpaksa membuat pelbagai task, namun adakalanya melemparkan senyuman untuk saya dan si adik apabila sesekali terdengar si adik manja menyanyi-nyanyi untuknya.

Kegembiraan bila si adik datang sambil menyanyi-nyanyi kecil buatnya :)

Dalam cubaan memujuk Lope, si adik duduk disampingnya dengan mulut kecil yang tak henti-henti menyanyi dalam bahasa mereka berdua sahaja fahami :)

Itulah anak-anak saya. Megat Jr. akan terus menjadi istimewa kerana kelainan yang ada padanya dan Puteri Jr. juga menjadi anak dara saya yang paling istimewa kerana dalam umurnya yang muda, dia tahu bagaimana menghargai keistimewaan yang ada pada abangnya.

26/12/2010

Kakak

Saya bermalas-malasan dirumah hari ini. Selepas menidurkan Megat Jr. yang kekenyangan, saya cuba menidurkan si adiknya pula yang tengah asyik bermain dengan Pinky. Lagaknya seperti seorang ibu yang cuba mendodoikan si anak, lalu saya datang dekat padanya dan berkata "Jom Pinky, tidur dengan Mama dan Sophia," Puteri Jr. yang sedang bermain itu memandang ke arah saya sambil menunjukkan ke dadanya sambil berkata "Kakak-Kakak"

Terkejut saya. Haish, ini yang saya bimbang ni apabila Puteri Jr. dah bersedia menjadi kakak tapi tidak Mamanya :P Saya belum bersedia kerana Megat Jr. masih belum upaya berjalan sendiri. Saya tak mahu bila ada yang ketiga, saya terpaksa mengurangkan masa dan tumpuan untuk Lope. Sekurang-kurangnya, biarlah Lope bisa bertatih dahulu, barulah saya fikir pasal family planning. Lagipun, umur belum mencecah 3 series. Insya Allah, andai ada rezeki, 2 tahun lagi barulah Puteri Jr. betul-betul menjadi kakak :)
Sent from my BlackBerry® Smartphone

1095 hari tanpanya disisi...

Setiap kali saya dilanda resah, disini saya akan bertapa. Disini akan saya menulis, meluahkan apa sahaja perasaan yang saya rasa namun tidak semuanya cerita yang saya tulis dari hati itu di akhirnya akan saya tekan "publish post". Kadang kala ada baiknya terapi penulisan saya ini saya simpankan sahaja didalam ruangan posting di my.little.secret.

Saya masih ingat dengan jelas, bagaimana hari-hari terakhir saya bersama arwah Aboh saya. Semuanya masih jelas, seperti baharu sahaja semalam saya kehilangannya. Waktu itu, saya sudah bertukar ke Putrajaya. Berkhidmat di sini. Sangat baru, baharu seminggu. Kali terakhir saya melawatnya adalah semasa Hari Krismas 2007. Waktu itu, semua adik beradik saya ada. Termasuklah bakal menantu waktu itu. Detik itu juga menemukan saya dengan Kak Suzie, isteri kepada Alang.

Saya masih ingat, sewaktu saya melangkah ke Hospital Putrajaya sebelah petangnya, saya melihat Aboh seperti tidak mahu berenggang dari Cik. Pantang Cik ghaib dari pandangan matanya, maka mulut Aboh akan bising mencari. Saya lihat Cik agak lesu, kerana seharian dia sendiri membersihkan diri Aboh. Padanya saya bertanya "bersihkan Aboh?" dan jawabnya Cik, hari ini dia mengelap seluruh badan tua Aboh, rambut Aboh dishampoo, janggut yang tumbuh meliar di dagu Aboh dicukurnya. Wajah bersih Aboh dibersihkan, malah kening Aboh juga ditrimkan. Sepuluh jemari tangan dan sepuluh jemari kaki Aboh juga Cik bersihkan.

Pendek kata, Aboh kelihatan sangat segak pada hari itu. Hari Natal pada tahun 2007. Apabila saya bawakan Megat Jr. saya bertanya padanya "Aboh ingat ni sape?" dia memandang seketika melihat bayi didalam kandungan saya, kemudian dengan muka agak marah dia menjawab "kenapa tak kenalnya, inikan Naquiyuddin, cucu Aboh!" Cik dan abang serta kakak yang berada disitu tergelakkan saya. Malah, saya juga.

Saya lihat, mata Aboh tidak berkalih memandang Cik, seperti satu kerunsingan ada dihatinya. Apabila Cik memandang ke arah Aboh, Cik tersenyum sambil menggosok lembut tangan Aboh dan berkata "jangan bimbang, Nah tak akan cari lain" waktu itu saya kebingungan. Namun, selepas Cik berkata begitu, Aboh tersenyum kelegaan. Waktu itu, saya cuma melihat satu scene yang penuh kasih sayang sahaja tanpa memikirkan mengapa Cik berkata begitu.

Esoknya, saya pergi ke pejabat seperti biasa. Waktu itu, hati dilanda gundah tatkala saya diberitakan Aboh di hantar ke ICU pada paginya. Gundah gulana itu membawa saya kepada memohon keluar dari pejabat. Saya tidak betah berada di pejabat apabila setiap saar hati saya memikirkan Aboh. Sebelum ini, Aboh pernah juga dimasukkan ke ICU, namun dengan kuasa Allah Yang Maha Berkuasa, Aboh masih ada untuk saya sehingga ke saat itu.

Tiba di ICU, saya lihat Nyah dan Andak ada disana. Waktu melawat, saya dibenarkan melihat Aboh, tetapi dia sudah tidak sedarkan diri. Kepalanya terkulai, badannya dipenuhi wayar-wayar yang bersambung ke mesin. Doktor menerangkan keadaan Aboh, juga sama seperti penerangan dari doktor sewaktu Aboh di masukkan ke ICU sebelum ini. Apabila saya melawatnya, saya sekadar berbisik memberitahu "Assalamualaikum Aboh. Sue ada kat sini. Sue tahu Aboh dengar suara Sue, get well soon" kemudian saya menggosok-gosok tangan Aboh. Tiba-tiba tangan itu bergerak, seperti menggengam tangan saya.

Terus saya bisikkan ke telinga Aboh "Terima kasih Aboh sebab jadi Aboh Sue. Sue minta maaf atas semua dosa dan silap Sue pada Aboh selama ni." Saya terdiam disitu. Saya memandang wajah Aboh, saya lihat nafasnya yang pasang dan surut. Dahinya saya cium. Suam badannya seperti menghantar satu sentuhan kasih sayang seorang ayah yang sampai ke hati saya. Selepas itu, kerana ada genangan di mata, saya kemudiannya keluar.

Rupanya, itu percakapan terakhir saya dan Aboh. Tanggal 26 Disember 2007, jam 11 malam, kami menerima panggilan dari ICU meminta kami datang. Sangka kami, doktor hanya ingin menerangkan mengenai keadaan Aboh. Cik bersama saya dan Encik Bubu tatkala itu. Apabila sampai, rupanya Aboh sedang bertarung dengan mautnya. Ayah Ngah berada disampingnya dan Nyah juga. Apabila jururawat dalam lingkungan 30 tahun itu tampil ke arah kami dengan berwajah sugul, terlintas di hati saya adakah Aboh sudah tiada. Namun tatkala dia berkata "Maaf Makcik, Pakcik dah takde.." saya dengar Cik mengucap panjang.

Nyah segera datang memeluk, dan suara Cik hilang dalam pelukan anaknya itu. Saya sendiri yang berdiri di sisi longlai rasa lututnya. Nasib Encik Bubu datang dan memeluk saya. Erat dan saya banjir dengan tangisan. Saya sempat melihat, disisi Aboh, doktor dan jururawat sedang sibuk mencatit waktu kepulangannya kepada Pencipta - 26/12/2007 @ 11.56 malam. Tiada perkataan yang dapat saya gambarkan perasaan saya tatkala itu. Sedih, pedih dan luluh bercampur menjadi satu.

Hari ini, tanggal 26 Disember 2010. Genap 3 tahun Aboh pergi, namun selama itu jiwa ini tidak pernah putus merinduinya dan saya yakin, sehingga ke akhir usia saya juga saya tidak akan berhenti merinduinya. Selain doa, tiada apa lagi yang mampu saya titipkan buat Aboh tersayang, yang ada cuma secebis kenangan dari seorang anak untuk ayahnya. Memori saya hanya menyimpan kenangan indah bersama sang ayah, dah hanya ini yang mampu saya lakukan untuk memastikan saya terus mengingati Aboh. Dan saya pasti, tanpa jemu, saya akan tetap titipkan tulisan kenangan ini, agar suatu hari nanti, apabila akan datang hari saya dimamah usia, tulisan ini akan mengingatkan saya kepada seorang ayah yang saya miliki yang tiada gantinya.

Al-Fatihah
Tuan Haji Megat Ramli bin Megat Adnan
12 Oktober 1942 - 26 Disember 2007

22/12/2010

Kalau dah namanya budak...

Sebut saja kena pegi outstation, sebolehnya mengelak untuk pergi melainkan terpaksa. Atas tiket 'terpaksa ku terima' saya pergii juga dengan membawa Megat & Puteri Jr. Perjalanan dari Putrajaya ke Kuantan yang diselubungi hujan bukanlah perkara yang seronok bagi saya. Tiba lewat malam di Hyatt Regency Hotel ibarat seperti kehilangan semua tenaga yang ada. Perjalanan yang memakan masa hampir 6 jam dengan mengharung massive traffic jam sebab hari Jumaat dan hujan memang memenatkan. Nasib bukan saya yang memandu, tetapi mereka dua beradik dalam kereta asyik menangis dan tak henti-henti ingin duduk bersama mamanya.

Seharian hari Sabtu, saya habiskan kerana bekerja. Hari Ahad sahaja yang mampu saya luangkan bersama Encik Bubu dan anak-anak kesayangan. Seperti dijanjikan, saya membawa mereka ke kolam renang. Kalau dah nama budak, pandang air je, terus mahu mandi.

Anak dara dengan Abah :)


Muka sama

Ini pula si anak teruna saya bila bertemu air. Kakinya tak henti berkalih dengan air. Mulutnya tak henti menyebut 'mama' dan 'obiya' semasa dalam air tanda kegembiraan.



Peminat Megat Jr :)

Bila dah penat. berhenti sekejap. Bila saya dah nampak dia menggeletar, saya paksa Megat Jr. naik.


Berehat sekejap sampailah saya tengok jari jemari dah kecut terus saya ajak balik ke bilik



Si Bibik sempat singgah depan x-mas tree minta nak bergambar dengan budak-budak. Layankan aje.

Ini muka orang tak puas hati dipaksa naik dari dalam kolam. Next time Mama rendamkan lagi ye.


15/12/2010

Dermatology

Tengok pipi kiri Megat Jr. yang teruk akibat kesan rashes/eczema yang dah melarut.

Megat Jr. kena refer berjumpa dengan Doktor Pakar Kulit sebab rashes/eczema yang ada di badan dan mukanya semakin menjadi-jadi. Aduh! Kesian pipi handsome anak Mama ni :'( Dah 2 hari berturut-turut juga ulang alik klinik pasal gatal-gatal ni. Sedihnya dia menggaru sampai luka tapi dia takde rasa pun sakit sampailah kita mandikan dia, barulah dia meraung sakit dalam bilik air.

Sedihnya!

Macam mana nak hentikan tabiat menggaru ni? Lazim untuk anak autistik akan membuat perlakuan berulang-ulang dan sedihnya sebab dia tak berhenti walaupun sakit, sama lah juga bila dia menggigit jari, mengetuk kepala dan mencucuk matanya dahulu. Oh, sampai bila saya mampu melihat dia mendera diri sendiri macam ni.

Nak tengok pipi gebu Megat Jr. macam ni lagi!

13/12/2010

Sepetang Bersama Megat Jr. dan Tuan Kecil

Entri sebelum ini sengaja saya bercerita mengenai Puteri Jr. sahaja. Tidak langsung saya bercerita mengenai Megat Jr. Bercerita mengenai mereka ada masanya mereka berdua berada didalam 'liga' yang berbeza sebenarnya. Menjadi seorang abang, dilahirkan dalam keadaan yang istimewa membuatkan Megat Idris Naquiyuddin sentiasa bertakhta dihati saya. Malah, dia adalah keutamaan saya didalam kehidupan. Udara yang saya sedut setiap hari tidak akan sempurna tanpanya disisi. Pinjaman dari Allah ini sesungguhnya sangatlah indah untuk saya hargai dan insya Allah, saya tidak akan mensia-siakan dia.

Sabtu lalu, setelah berjanjitemu dengan Jiey, saya melusur ke KLCC Park ditemani dengan Mimin. Encik Bubu tidak turut serta. Katanya ingin 'bertafakur' dirumah seorang diri tanpa gangguan. Saya biarkan saja. Hujung minggu begini adalah hari untuk bersama-sama anak. Hari untuk membawa mereka keluar dari rumah kecil kami ini. Tidak banyak yang saya ingin kongsikan, cukup sahaja saya gembira dapat bertemu dengan Rayyan Arif dan bangga melihat kaki kecil itu melangkah demi langkah. Insya Allah, suatu masa nanti saya akan melihat Megat Jr. pula melangkah sebegitu.

The only gambar yang ada mereka bertiga :)

Mereka berdua anak istimewa yang berlainan sifatnya.
Saya sukakan Rayyan Arif yang obses dengan kipas ini.


Puteri Jr. @ KLCC Park

Jika bawa saja Puteri Jr. ke mana-mana taman, ini adalah ekspresi wajahnya apabila saya lepas dan biarkan sahaja dia menerokai alamnya sendiri.

Wajah ini sahaja sudah cukup menceritakan bahwa dia sangat happy bila dibawa ke taman. Lumrah seorang kanak-kanak, kan? Kali ini juga, tiada lagi sesi berebut turn nak main dengan orang lain, tetapi seorang kanak-kanak perempuan yang sungguh bertamadun yang berbaris menunggu giliran dan cuba bersosial serta berinteraksi dengan kawan-kawan sebayanya. Antara perkara yang saya perhatikan Puteri Jr. semakin improved adalah:

Skill naik tangga. Kalau sebelum ini, dia agak gayat apabila menaiki tangga. Tapi kali ini, dengan penuh steady dia melangkah dengan yakin seorang diri. Sudah saya pesan pasa Bibik agar membiarkan dia bermain sendiri, biar dia bersosial.


Ini pula masih kerana gayat, Puteri Jr. gayat bila berdiri di atas jaringan begini. Lihat masih berpegang. Muka pun dah tak boleh nak senyum-senyum dah.

Sebab dia pernah jatuh disebabkan ketinggian dulu, sekarang dia cukup berhati-hati bila dia rasa macam jauh untuk melangkah. Sedaya upaya berhati-hati. Kalau tak pernah sakit, bila nak pandai, kan?

Dan ini, scene yang paling saya suka lihat. Yakin dan seronok!

Bila kepenatan bermain, dia berlari ke arah stroller abangnya dan terbongkok-bongkok disitu. "Phia nak apa?" tanya saya. Segera dia menunjukkan beg susu dan berkata "Mama, nak.." sambil menunjukkan beg susu. Oh! Rupanya dia dahaga. Comel je nak susu :P

Selepas minum susu, kembali aktif. Lihat saja pada gambar-gambar ini buat saya rasa macam ada anak dah besar. Terlupa satu fakta bahawa Puteri Jr. belum pun mencecah usia 2 tahun lagi. Lihat ni, gambar anak dara saya..

Macam umur dah nak cecah 4 tahun!

Macam dialah kakaknya ;)

So anak dara, kan? ^^

Dan, ini bila diajak pulang berkali-kali tapi tak nak balik, ini adalah cara terakhir dan dia surrender mengaku kalah :P

** angkut bawa balik! **

p/s: Mama Jiey, entry ni sengaja takde gambar budak-budak handsome sebab takut tenggelam pula si Phia. :P

10/12/2010

Aduhai Encik Bubu saya...

Minggu lepas, ada kawan office jual cokelat bentul 'love'. Seba dah lama tak gedik-gedik dengan Encik Bubu, saya pun buat ini. Oh, tak susah pun. Saya cuma gunting kertas memo jadi kecik dan saya lukis gambar 'love' macam tu kat atas kertasnya.

Lepas tu, kat dalamnya saya tulis'three-magic-words' macam zaman-zaman bercinta dulu. Then, saya staple di penjuru atasnya. Macam ni...

Lepas tu, saya bagi kat Encik Bubu saya. Dah lama tak buat aktiviti macam ni. Korang tahu, apa dia cakap bila dapat ni?

.
.
.
.
.


"Ada buat salah apa dengan abang ni?"

Haish! Hancur mood nak mellow-drama dengan dia. Lepas ni, bagi coklat, terus ngap je la tapi saya tahu dia suka sebab dia senyum-senyum sebelum makan coklat tu.

I love you, Encik Bubu!

08/12/2010

30 April 2010

Tadi saya tengah buat spring cleaning kat email yahoo. Dalam banyak-banyak email, terjumpa notification ini dari Facebook. Terus mood senyum dan teringat apa yang terjadi dahulu.


Serta, secara ekslusifnya, video selama 18 saat yang saya tidak publish dimana-mana rangkaian sosial. Bagi saya, video 18 saat itu adalah yang tercomel, terbaik dan teristimewa buat anakanda saya Megat Idris Naquiyuddin menyambut ulangtahun ke-3nya.

Rock on!