Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

29/09/2010

Kerana saya seorang ibu...

Saya tidak tahu kenapa saya perlu merasa resah tatkala mendengar penilaian NASOM ke atas Megat Jr. Sebetulnya saya sudah bersedia menerima sebarang kemungkinan sewaktu anak saya berusia 8 bulan dahulu sewaktu dia disahkan Autism dan Global Developmental Delay. Tatkala saya mendengar perkhabaran dari mulut Encik Bubu, saya tidak dapat menahan gelora air mata. Saya menangis, dan saya merasa saya sungguh lemah. Saya mula memikirkan saya sungguh lemah kerana membiarkan semuanya terjadi ke atas anak kecil saya.

Apabila saya pulang, tatkala saya menatap matanya dan memeluk badan anak kecil itu, hati saya tersentuh dengan bebelan mulut kecilnya memanggil saya 'shema' dan bersilih ganti dengan 'mama' beberapa kali. Hati saya yang sarat membendung seribu satu rasa bersalah terhadapnya tidak mampu tidak akhirnya mengalir juga air mata. Saya bukan sedih kerana dia dilahirkan berbeza dari yang lain, tetapi saya sedih kerana sebagai seorang ibu, saya belum cukup tega membantunya untuk terus berjuang. Melihat saya yang mendung, Encik Bubu memulihkan jiwa saya dengan beberapa ungkapan yang berjaya meniupkan kembali semangat saya yang hilang.

"Abang dah ready menerima Lope macam ni since Dr. Koh cakap dia autism lagi. Apa-apa yang terjadi pada Lope selepas tu adalah tanggungjawab kita. Abang akan support Sue dalam segala segi yang Abang mampu. Abang tahu bukan mudah kita nak besarkan Lope dan Abang tahu kita boleh besarkan dia dengan cara kita sendiri," ibarat satu tiupan yang nyaman, di hari yang kering, kata-kata Encik Bubu bertiup terus ke dalam jiwa saya. Saya tahu kata-kata itu banyak memulihkan jiwa saya.

Buat yang tertanya-tanya, mengapa saya berduka dengan keadaan Megat Jr. saya mohon maaf jika saya tidak berkongsinya disini sebelum ini. Saya akui, sebelum ini, berat sungguh jari jemari saya ingin menaipkan kisahnya. Namun, kerana ramai yang bertanya, saya berterima kasih. Keprihatinan dan kasih sayang kalian untuk Megat Jr. tak dapat saya gantikan dengan wang ringgit.

Permohonan Megat Jr. untuk menyertai kelas NASOM ditolak memandangkan dia masih belum mampu berdiri dan berjalan lagi.

Itu sahaja. Mungkin tidak seberapa untuk sesetengah ibu, tetapi saya agak terkilan kerana saya tidak dapat memastikan Megat Jr. masih belum ke sekolah tatkala umurnya menginjak 4 tahun. Intervasi awal bagi anak-anak autistik adalah perlu dan saya terpaksa menunggu lagi. Saya perlu melipat gandakan usaha lagi. Ulasan oleh NASOM dengan meminta saya memberi satu fokus khusus kepada terapi Megat Jr. juga saya ambil maklum.

Hasilnya, Megat Jr. kini cuma mengikuti terapi carakerja sahaja dan setiap 3 bulan sekali bertemu dengan terapi pertuturan. Intensif kepada itu, jadualnya juga diketatkan dengan aktiviti ke kolam renang dan insya Allah, selepas ini dia akan berkuda pula. Ini janji saya pada Megat Jr. Janji saya yang tidak akan mensia-siakannya. Janji saya untuk mencuba segala kaedah dan terapi agar di penghujung hari kelak saya tidak menangisi kesal kerana tidak mencuba.

Doakan perjalanan Megat Jr. dipermudahkan. Terima kasih kerana sudi mengambil berat dan prihatin kepada anak ini. Hanya Allah sahaja dapat membalas budi baik kalian semua.

Saya menangis kerana saya seorang ibu. Sekali saya menangis kerana saya tertumpas akan kelemahan diri, saya yakin air mata itu menguatkan saya menghadapi hari-hari mendatang. Terima kasih untuk ibu-ibu superkids yang tidak jemu bertanya khabar dan memberi dorongan dan semangat juga kepada teman-teman disekeliling dan kepada yang sudi bertanya dan prihatin. Bangunnya saya hari ini kerana adanya kalian yang sering memberi sokongan kepada saya. Terima kasih kerana berkongsi rasa yang sama.

23/09/2010

Realiti itu ...

Encik Bubu baru sahaja menghubungi saya. Separuh dari nyawa saya seperti melayang mendengar apa yang dituturkan. Laporan penilaian ke atas Megat Jr. baru sahaja dikeluarkan oleh NASOM. Terasa seperti ada batu besar di atas kepala. Terasa seperti tidak bergunanya menjadi mama kepada Megat Jr. kerana membiarkan dia menjadi begitu. Melihat tanpa dapat membantunya. Melihat dan membiarkan masa menjadi musuh utamanya.



"Keadaan Idris teruk..."


Saya tak tahu bagaimana saya harus respon kepada Encik Bubu tatkala itu. Saya tahu, saya tidak perlu menangis tetapi ada satu perasaan halus didalam hati yang terasa pedih. Seperti menghiris hati saya. Kekuatan dan kelemahan saya ada pada Megat Jr. Saya berjanji tidak akan menangis lagi tapi saya gagal untuk menghilangkan kepedihan didalam hati ini. Lemah sungguh saya.

*
*
*

Sorry Lope. Mama rasa sangat useless :(

*
*
*


22/09/2010

Cerita Syawal kami - Rasa dan Penerimaan


Megat Jr. sudah mencecah usia 3 tahun setengah. April tahun hadapan sudah menginjak angka 4. Selama itulah saya bergelar ibu. Selama itulah saya bangga dianugerahkan anak seistimewanya. Terlalu istimewa untuk saya. Syawal yang lalu, ada masanya saya berendam air mata tatkala bila ada masanya apabila menemui saudara mara terbit bait-bait yang kurang enak didengar. Jika Aidilfitri lalu, saya mungkin akan berendam air mata yang pernah saya lakarkan di entri ini.


Tetapi, tidak kali ini..

x
x
x
x
x


Megat Jr. sedang memujuk diri agar tenang


x
x
x
x
x

Berulang kali saya merenung akan keindahan erti sabar dan hikmahnya. Saya rasa semakin matang dan semakin senang mendepani dengan orang-orang yang berkata tanpa berfikir apa yang saya rasa. Saya rasa, kali ini saya tidak ambil pusing pun apabila orang bercakap yang membawa kelemahan kepada saya. Saya cuma menyimpan kata-kata yang indah dan memberansangkan sahaja. Malam Aidilfitri kedua, kami berhimpun sekeluarga. Ayah Ngah selaku host mengajak kami makan-makan. Saya datang bersama Encik Bubu dan anak-anak. Seronok melihat betapa kami subur membiak :) Terpandang sahaja, saya bimbang andai dia keresahan apabila dikelilingi oleh ramai wajah-wajah asing pada matanya. Saya bersyukur kerana restoren yang dilengkapi dengan penghawa dingin itu sedikit sebanyak menenangkannya. Puteri Jr. tidak perlu dibimbangkan sangat.

*
*
*

gambar selingan, saje nak menyelit disini...

*
*
*

Bersama bakal ibu :)

Seperti dijangka, Megat Jr. resah gelisah bila ada mata-mata yang datang menegurnya. Saya bersyukur kerana hampir keseluruhan sepupu sepapat saya tahu siapa dia Megat Idris Naquiyuddin. Tanpa prejudis mata-mata ini menerimanya dengan kata-kata yang tidak menjatuhkan saya. Jika ada sekalipun mengguris rasa hati saya, jangan bimbang kerana saya sudah bersedia mendengarnya. Malah, saya tidak akan lemah malah bersyukur kerana tiap kata yang mengata menjadikan saya makin kuat dan kental. Terima kasih ye. Menghargai setiap pujian yang dilemparkan kepada Megat Jr. dengan iringan doa agar dia cepat berjalan nanti.

Rata-rata bertanyakan perkembangannya. Saya sangat menghargai sepupu-sepupu saya yang mengikuti perkembangan Megat Jr. disini kerana memudahkan kerja saya untuk tidak menerangkan apa itu autism, kenapa Megat Jr. menjadi begini. Namun, mana-mana yang bertanya, saya sendiri menjawabnya juga. Begitu juga keesokkan harinya, apabila saya beraya pula ke rumah saudara, saya berbesar hati apabila sedang saya bersalam, seorang wanita menyapa "Ini Megat Idris, kan? Kawan Rayyan Arif" tanpa sempat saya memperkenalkan diri. Saya tersenyum panjang lagi apabila kisah Jiey menjelang Aidilfitri turut diceritakan. Rupanya Kak Ja merupakan silent reader kami :D Lebih terasa lucu dan segan pun ada apabila Kak Ja bertanya "Itu ke Bibik yang Put cakap tu? Nak Kak Ja marah dia?" dalam nada seloroh. Hehehehe. Its OK Kak Ja. Saya dah sekolahkan dia sebelum balik beraya ;)

Bertudung biru itu adalah Kak Ja

Akhirnya saya merasa puas dengan menulis di my.little.secret. Puas kerana niat saya menulis mencapai tujuannya. Sewaktu saya diberitakan Megat Jr. seorang anak autisme, saya tidak tahu langsung apa itu Autisme. Saya perlu mencari sendiri dan belajar mengenali autisme melalui Megat Jr. Saya menulis, memberi pendedahan di laman ini dengan harapan, saya juga dapat membina kesedaran pembaca mengenai autisme. Melalui tulisan saya, melalui pengalaman saya sebagai seorang ibu, saya mahu merakamkan sebanyak mungkin pengetahuan/pengalaman hidup disini, agar suatu hari nanti ianya dapat memberi pengetahuan kepada umum, anak autisme adalah berbeza dengan individu biasa walau tiada sebarang kelainan pada anggota fizikalnya.

Nampak lainkah dia bila bersama individu lain?

Saya semakin positif. Saya semakin matang. Saya semakin bersemangat.Terima kasih Megat Jr. kerana hadir dalam hidup Mama, terima kasih Puteri Jr. kerana memberi Mama peluang merasai pengalaman berharga ini.

21/09/2010

Cerita Syawal kami - 1 Syawal

Indah mendengar takbir dari corong masjid Tuan Guru Haji Musa yang selang 500 meter dari kediaman Cik. Saya lihat masing-masing sedang bersiap, waktu inilah berebut bilik air, ada sesetengah sedang santap di meja hidangan. Menu di 1 Syawal kali ini adalah nasi dagang, ketupat daun palas, rendang dan sate. Tak dilupakan, signature dish rumah kami hasil air tangan Cor - makaroni bakar. Lebaran kali ini menyaksikan buat pertama kalinya Puteri Jr. menyarung baju kurung ke badannya. Anak kecil saya tersipu malu tatkala pakcik dan makciknya memuji cantik. Nampak sangat kegedikan yang melampau disitu. Megat Jr. pula tertidur pulas. Jenuh saya mengejutkannya untuk bangkit di pagi lebaran namun gagal.

Anak dara saya

Saat air suam menjirus ke badannya, barulah rengekan marah kerana tidurnya diganggu. Cepat-cepat saya mandikannya dan tatkala saya sedang memakai baju untuknya, Megat Jr. sudah terlelap tidur lagi. Aduahi anak, penatnya masih belum habis. Inilah perjalanan jauh pertama yang dia tempuhi. Kata orang tua, alah bisa tegal biasa. Saya tidak ke masjid untuk solat sunat Aidilfitri bererti saya telah kehilangan satu peluang keemasan untuk bertemu dengan makcik, pakcik dan saudara mara. Puteri Jr. gelisah bila melihat sepupu-sepupunya berbaju cantik dan meninggalkan rumah. Sedikit protes apabila saya menegahnya dari mengikut Ayah Nyah.

Megat Jr. layan tidur sampai pukul 12 noon

Apabila Encik Bubu pulang sahaja dari masjid, saya bersiap-siap ingin ke kubur. Jam 11 pagi, ada tahlil yang akan diadakan disana. Semenjak nenek saya pulang ke rahmatuallah, ini adalah acara wajib bagi kami sekeluarga. Saya rasa nenek saya pasti bergembira disana kerana anak-anaknya tidak lupa padanya. Bukan sahaja anak-anak, malah cucu cicitnya juga. Hampir 40 orang bertahlil di perkarangan pusara Ummi diketui oleh anak lelakinya sendiri. Tatkala doa dipanjat, sayup-sayup saya dengar suara Ayah Ngah menangis hiba. Siapa tidak terkenangkan akan ibu yang mengandungkan kita. Uhh, saya emosi.

Puteri Jr. yang asyik memerhatikan Cik Zah yang sedang menyirami pusara Ummi


Bila pulang dari pusara nenek, kami adik beradik bermohon maaf dari Cik. Hanya Kak Yan yang masih belum tiba kerana beraya dirumah mertua terlebih dahulu, jika tidak cukuplah anak-anak yang Cik kandung ada bersamanya.

Cucu-cucu beratur untuk bersalaman dengan nenda tersayang

Menantu perempuan

Kakak-kakak

Anak-anak senior

Puteri Jr. dan Wan Chornya

Puteri Jr. kagum dengan baju Wan Chor?

Menantu Lelaki

Cucu sulong

Pulang dari pusara, saya sekeluarga beraya di rumah Cik Yah. Puteri Jr. terpandang sahaja basikal Hassan, terus dia meronta inginkannya. Nak tak nak, lama jugaklah Bibik terpaksa mengawasinya dan basikal. Saya sendiri tak menyangka Puteri Jr. sudah mampu bermain dengan basikal di usianya begitu. Jika tak silap saya, basikal ni untuk budak berumur 3 tahun ke atas. Penat Chieq Tik dibulinya, tapi takpe sebab Chieq Tik redha aje :P

Lalalalala di 1 Syawal

Puteri Jr. dan basikal Abang Hassan

Usai dirumah Cik Yah, selepas Asar kami bergerak ke rumah WanChu. Menjadi adat yang muda menjenguk yang tua, kami ke sini untuk beraya pula dengan nenek sebelah ayah saya. Nenek yang ada cuma dia seorang. Hargainya masa dia masih ada. Tak sangka apabila Wan Nyah dan Kak Da dari Taiping juga ada disini untuk beraya. Meriah.

Nenda

Itik rebutan hati antara Abang dan Adik :)

Menyulami salam tangan nenda dan menemui adik beradik Aboh dan Cik membuatkan saya terfikir, masih adakah Syawal selepas ini bersama mereka? Panjang umur, berjumpa lagi. Insya Allah. Syawal kali ini sungguh memenatkan. Penat berkejaran dengan Puteri Jr. yang pantang pintu terbuka akan keluar. Gembira melihat dia menerokai alam dengan berinteraksi dengan pokok, rumput dan segala bagai haiwan yang berada disekelilingnya.

Esok, cerita Syawal kami akan disambung lagi.
Nantikan Cerita Syawal Kami - Rasa dan Penerimaan.

20/09/2010

Cerita Syawal kami - Episod Balik Kampung

Jiwa gelisah tatkala Encik Bubu seperti bertegas dengan keputusannya untuk menyambut lebaran di Kuala Kangsar. Beberapa hari sebelum Ramadhan melabuhkan tirainya, hati dipagut sayu tatkala keputusan dimana kami patut meraikan hari istimewa itu masih kabur-kabur. Tatkala itu, bayangan wajah Cik dan air muka saya yang sugul dan tidak bermaya berada dimana-mana. Saya bukannya keberatan andaikata ibu mertua saya masih ada. Saya bukanlah seorang queen control yang saban Aidilfitri menjelang mahu ianya disebelah saya semata. Hanya kepada yang tahu keadaan saya sahaja yang mengerti mengapa saya berkata begitu.

Alhamdulillah, saya ditakdirkan menjadi isteri kepada Encik Bubu. Jauh disudut hati saya, saya tahu Encik Bubu tidaklah sezalim itu ingin mendera perasaan isterinya dipagi Aidilfitri. Selepas Maghrib berkumandang pada 29 Ramadhan, Encik Bubu mengumumkan satu berita gembira buat saya semestinya. Perkataan "jom balik Bukit Marak" merupakan satu perkataan ajaib yang keluar dari mulut Encik Bubu dan melaharkan semua kegembiraan itu ke dalam setiap urat dan nadi dalam diri saya. Saya dapat rasakan seperti diberi satu harapan yang sungguh berharga. Saya dapat rasakan saya tersenyum lebar sambil memeluk dan mencium dan ehem ehem Encik Bubu selepas dia berkata begitu.

Itulah Encik Bubu saya. Sebagai "Timbalan Perdana Menteri" dan merangkap "First Lady" kepadanya, saya tahu saya tidak boleh membantah kata-katanya walau hati nurani terseksa. Alhamdulillah, dia juga tidak mahu melihat wajah monyok isterinya berpanjangan. Alhamdulillah, Aidilfitri kali ini saya sambut di Bukit Marak, di kediaman ibu saya, di rumah yang menyimpan seribu satu keseronokkan, suka duka separuh dari usia saya disitu. Berkemas pakaian untuk diri sendiri dan anak-anak mengambil masa beberapa jam untuk saya.

Kami sempat bersahur buat kali terakhir dengan FIL dan saya bertolak dari rumah bergerak pulang ke Kota Bharu jam 3.15 pagi. Saya mengambil giliran memandu terlebih dahulu. Saya biarkan Encik Bubu berehat terlebih dahulu. Bergerak di awal pagi bagi mengelakkan kesesakan yang menggila. 2-3 aplikasi saya muat turun di berry saya, bagi mengetahui update keadaan lalu lintas dan speed trap. Alhamdulillah perjalanan kami lancar. Paling saya tidak sangkakan, Megat Jr. yang sama merasa aura kegembiraan Mamanya hanya terlelap setelah subuh menjelang.

Adik dan Abang

Sepanjang perjalanan, saya mendengar Megat Jr. yang berbaring santai di kerusi belakang bersama Bibik dan Puteri Jr. Mulutnya petah, berbahasa German dan kadang kala Sepanyol. Berbicara sendiri. Adakalanya, nama "shema" dan "shebah" dipanggil dan adakalanya "obiya" diseru. Si adik tertidur pulas disisinya. Saya mengandaikan Megat Jr. sendiri gembira. Manakan tidak, rumah neneknya itulah dia tinggal di hari-hari awalnya lahir ke bumi.

Kami berhenti solat subuh di R&R Maran dan tiba di Kemaman jam 8.30 pagi. Selepas itu, barulah Encik Bubu memandu dan membiarkan saya pula berdengkur dan berdengkur disebelahnya. Sewaktu melewati Kuala Terengganu jam 10 pagi, Encik Bubu mengejutkan saya. Saya mengerti dia ingin berkongsi kegembiraan bersama kami tatkala menyusuri jalan-jalan di negeri yang banyak menyimpan kisah cinta kami. Sudah 2 tahun saya tidak menjejakkan kaki ke negeri bertuah ini. Terasa rasa sense of belonging bila saya memandang dan menghirup udaranya. Ada rasa rindu akan saat-saat berada di negeri ini dahulu. Melihat sahaja daerah Gong Badak seperti layar cerita memainkan ceritanya di mata kami. Setiap tempat yang saya lihat punya kenangan.

Saya teringatkan nasi lemak di kawasan Tok Jembal. Melihat kepada pesatnya pembangunan di UMT juga buat saya sendirian merinduinya. Encik Bubu sengaja membawa saya 'melawat' sejenak keadaan di dalamnya dan ini yang saya rakamkan. Masih sama seperti dulu, uhh..

Melihat pintu ini, bangunan ini membuatkan saya seperti ternampak di waktu paginya saya berkejaran untuk punch card. Saya ternampak akan keriuhan pejabatnya di samping Jue, Syuk, Jamal, Jaa, Kak Miza, Wani, Mek Wan dan ramai lagi warga FASM yang menjadi sebahagian dari jiwa dan hati saya. Banyak benda yang membuatkan saya gembira di sini. Tempat saya mula-mula mencari rezeki, bertemu Encik Bubu dan bergelar ibu juga disini. Oh, good old days!

Tengok je pada signboard ni, saya tersenyum sendiri. Lucu apabila mengingatkan kenapa ianya dibuat. Oh boss! Muahahahhaha. Seterusnya, kami singgah di rumah ini.

Disinilah cinta bersemi :)

Kami tiba di Bukit Marak jam 1 petang dan saya lihat wajah Cik yang kegembiraan menyambut ketibaan Megat dan Puteri Jr. juga menantunya :P Takpelah Cik tak nak mengaku Cik gembira pun menyambut pulang 'baby of the family' ni, saya dah tak kisah. Janji, suami dan anak-anak saya sentiasa mendapat tempat di hati Cik. Saya tahu, sayang Cik pada saya tak akan surut dan luntur dan begitu juga sayang saya padanya walau apa terjadi.

Oh, 30 Ramadhan berbuka di rumah. Akhirnya, berbuka dengan Cik. Alhamdulillah kerana diberi kesempatan ini. Terima kasih Encik Bubu. Terima kasih Allah.

... bersambung nanti, Cerita Syawal Kami - 1 Syawal.

08/09/2010

Tata Cik Wan!

Sudah setahun setengah Megat Jr. menjalani terapi di Hospital Putrajaya dan salah satu terapi yang disarankan adalah Terapi Cara Kerja. Semenjak kali pertama melangkah ke sini, Megat Jr. seperti sudah biasa menjadi 'anak angkat' Cik Wan disini. Cik Wan yang dimaksudkan adalah Juruterapi yang menguruskannya. Wanita berasal dari Terengganu ini rasanya sudah memahami bagaimana Megat Jr. dan bagaimana dia dan perlakuannya.

Saya memanggilnya Kak Wan. Sepanjang membawa Megat Jr. ke sini, saya senang dengan layanan yang diberikan. Orangnya mesra dan cepat serasi dengan anak seperti Megat Jr. Banyak tips dan terapi diajarkan kepada saya dan melaluinya, pengalaman dan cerita banyak dikongsi. Setiap kali saya datang ke sini, saya akan membawa kamera, cuma adakalanya saya ketinggalan mengambil gambar kerana tidak cukup tangan menguruskan Megat Jr.

Selepas ini, tiada lagi Cik Wan di Hospital Putrajaya. Cik Wan dah bertukar ke Kuala Terengganu. Sedih saya rasa kerana dia merupakan salah seorang yang rapat dengan saya. Walau patah hilang tumbuh berganti, tapi yang mengganti tidak akan sama sekali dengan yang pergi.


Untuk Cik Wan, jika Megat Jr. boleh berkata-kata, saya pasti, dia akan mengucapkan berbanyak terima kasih kerana selama ini sabar dalam membantu Megat Jr. disepanjang sesi terapi. Sedikit sebanyak banyak ianya membantu menjadikan Megat Jr. hari ini dengan bantuan dan usaha yang berterusan.

Terima kasih Kak Wan, saya doakan agar karier Kak Wan akan lebih sukses selepas ini. Terima kasih kerana sepanjang setahun setengah bersama kami, banyak jasa dan bakti tercurah kepada orang-orang yang memerlukan. Tidak mampu nak membalas semua kebaikan yang diberikan, hanya Allah jua yang mampu.

06/09/2010

Episod 5: The Sister's Iftar and Ahh's 23rd Birthday

Iftar dengan Semesta Sisters buat kali kedua tanpa perancangan. Pada mulanya, Ariffa sengaja bertweet kesedihan untuk berbuka puasa sendirian. Saya pernah melalui situasi itu dan sangattt la sedih, dan memahami akan kesunyian berbuka puasa seorang diri, sebelum saya bersetuju saya bertanya pada Bubu. Sang suami yang tidak banyak songeh memberi keizinan setelah saya memancingnya untuk menyediakan Nasi Ayam untuk juadah berbuka. Hanya didalam tweeter kami berbincang dan akhirnya Ahh, Ariffa, Asmak dan Abs muncul dirumah saya :)

Abs dan Asmak

Saya agak kelam kabut sebenarnya kerana bahan-bahan yang sedia ada dirumah tidak lengkap. Maka saya berkejaran ke Alamanda sebentar mencari apa yang perlu dan saya bersilat didapur selepas Asar. Abs dan Asmak tiba jam 6 petang bersama dengan sebiji kek hari jadi untuk Ahh. Oh, sangat meaningfull rasanya. Ikatan kakak dan adik antara kami terjalin sebegini kukuh dan berbuka puasa itu saya rasa puas hati dengan hidangan yang dihidangkan.

Happy Birthday, Ahh :)

Birthday girl tengah manja-manja potong kek :)

Dan ini, pose istimewa dari Ariffa, Abs dan Asmak sedang membuli birthday girl yang kegembiraan sebab Big Boss wish dia birthday kat tweeter :)

Gambar ini diambil bagi tujuan fotografi sahaja :)

05/09/2010

Episod 4 : Iftar Bersama The Megat Ramli's

18 Ramadhan, berbuka puasa dengan abang-abang dan kakak-kakak. Sangat seronok bila kami ramai-ramai sepakat nak buat ala-ala potluck aje dan lokasinya adalah dirumahku. Selaku host, tidak banyak yang saya sediakan. Sekadar Sayur Kailan Ikan Masin dan Tempoyak Udang Masak berserta minuman sahaja. Abang-abang dan Kakak-kakak datang membawa banyak makanan. Yong dengan Gulai Ikan Tongkol, Nyah dengan ayam percik, Andak dengan sate Sup Urat Keting dan kemunculan Wanteh secara tiba-tiba dengan sup ayam olalalalnya.

Seribu kali sayang, semua gambar makanan tiada dan tidak sempat dirakam. Sebabnya, saya tersangat busy di dapur dan melayan keletah anak-anak dan dicampur dengan kegembiraan yang melimpah ruah dikelilingi oleh abang-abang dan kakak-kakak tersayang. Cukup. Lengkap. Sempurna. Sebenarnya, malas nak bercakap banyak. Saya tampalkan saja wajah-wajah mereka yang sebahagian dari jiwa saya.

Mother and daughter :D

The Bibiks ; tulang belakang saya

Gossip's girl ;)

Yong : senyum sememeh :)

Ayah Nyah mengetuai PS3 dan Uno dan Monopoly kanak-kanak

The pinkies :)

Puteri Jr. yang tiba-tiba jadi 'anak Wanteh'

my eldest bro - taiko

posing untuk my.little.secret

father and son

Tengah fikir, ada tak nanti suasana macam ni bila Aidilfitri menjelma. :(