Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

28/07/2010

Bagaimana rasa gerun dan sakit itu padanya?

Lihat sahaja pada gambar ini...

Sanggupkah anda mencucuk mata sebegini? Rasanya tiada yang sanggup jika diberi pilihan. Namun, Megat Jr. melakukannya setiap hari dirumah. Saya sendiri tidak tahu bagaimana ingin menghentikan tabiat ini. Sejak dari dahulu lagi, saya sering pesan padanya 'mata Lope takde spare part' dan apabila saya memandangnya sahaja dia akan segera menghentikan. Kadang-kadang, bila saya sebut 'mata!' sahaja dia sudah mengerti dan terus menarik jarinya dari mencungkil.

Mencungkil mata sebegini bukanlah baru bagi Megat Jr. Sedari berumur 11 bulan lagi dia sudah mencungkil matanya. Saya sendiri tidak tahu, apa yang dirasainya tatkala mencucuk biji mata sebegini. Bagi saya, saya gerun melihat perlakuan seumpama ini. Terasa ngilu dihujung mata, nauzubillah.

Kata doktor, usah dibimbangi kerana ianya merupakan salah satu ujian sensori yang dijalankan sendiri olehnya. Anak autisma seperti Megat Jr. mengalami masalah untuk merasai kesakitan. Dia memperlakukan dirinya sebegitu kerana ingin 'merasa' sakit itu, apabila merasainya dia akan berhenti dengan sendiri dan melakukannya lagi. Berulang kali, malah beratus kali juga mungkin.

Sewaktu usianya mencecah 18 bulan dahulu, dia sering mencucuk pipinya. Kala itu, mungkin dengan mencucuk pipi ianya dapat mengurangkan kesakitannya kerana pertambahan gigi. Lama-lama kelamaan, ianya menjadi satu habit. Pantang ada peluang sahaja, dia mencucuk pipinya. Satu faktor yang mungkin saya boleh banggakan, dia tahu bagaimana untuk menggunakan jari jemarinya. Sekurang-kurangnya dengan mencucuk pipi dan mata.


Kadang kala ada juga masanya Megat Jr. menutup telinganya. Selalunya dia akan membuat perlakuan ini jika tidak selesa/tidak gemar dengan bunyi/suara disekelilingnya tatkala itu. Kemungkinan juga, dia tidak selesa dengan suasana itu sendiri.

Segalanya mungkin. Pemerhatian dan keprihatinan saya adalah penting dalam mengenal pasti perlakuan Megat Jr. Kadang kala, mungkin juga penilaian saya silap. Bukan itu sahaja, Megat Jr. juga menggigit jarinya sedari dulu.

Gambar-gambar ini diambil semasa Megat Jr. masih belum bergelar 'Lope'. Pada masa ini, gigitnya cuma sekejap-kejap sahaja. Tiada kesan langsung. Saya juga akur kata doktor, jika tidak mencederakan dirinya, maka tidak perlu gusar. Mungkin dia mencari maksudnya tersendiri, apa itu erti kesakitan apabila jari jemarinya digigit.

Dan ini, hasil gigitan Megat Jr. hari ini. Meruntun hati saya apabila melihat jari jemari comel ini digigit. Saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menghentikannya. Saya tidak tahu apakah definasi rasa sakit dan gerun untuknya atau mungkinkah 'tiada' rasa itu dalam kamus dirinya? :(

Mengalu-alukan pandangan dari semua bagaimana untuk menghentikannya.

23/07/2010

"My name is Khan"

5 stars!
Mixed feeling!
Awesome!

Sudah beberapa teman memberitahu, selepas menonton filem ini, ingatan mereka berpaut pada Megat Jr. saya. Pada mulanya, saya memang sangat teruja untuk menonton, tangguh punya tangguh hingga filem ini tidak ditayang di pawagam. Saya masih ingat Ally dan kakak saya Kak Yan bercerita mengenai filem ini. Semalam, sewaktu ke Alamanda, sewaktu saya melintas di hadapan Speedy Video, saya terlihat banner filem ini. Saya masuk dan terus membelinya. Larut malamnya, selepas kedua-dua kesayangan saya beradu, saya mengajak Encik Bubu menonton. "Cerita ni pasal budak Autism, jomlah teman Sue tengok" Encik Bubu seperti selalunya dia, bersetuju sahaja dan FIL saya juga. "Abah pun nak tengok juga, tapi selalunya cerita yang tengok Abah" katanya dalam nada separuh berjenaka.


My name is Khan berkisar mengenai seorang pemuda bernama Rizvan Khan, seorang muslim yang tinggal di India bersama ibu dan seorang adik lelaki. Sejak dari kecil, dia kelihatan berbeza. Ada sesetengah berpendapat dia seorang yang dungu kerana menghadapi masalah komunikasi dan tidak tahu bersosial dengan masyarakat walau dengan ibu dan adiknya sendiri. Ibunya memainkan peranan yang penting didalam pembentukan Rizvan, bagaimana dia menggunakan kaedah tersendiri dalam mendidiknya, berbeza dengan cara dan teori membesarkan si adik. Apabila menonton cerita ini, ianya ibarat melihat satu scene di masa hadapan anak kecil saya. Walaupun Megat Jr. didiagnosis sebagai Mild Autism sahaja, namun banyak lagak dan perlakuan yang dilakonkan oleh Shah Rukh Khan mencuit hati saya. Usah dipersoal keupayaan dia membawakan watak ini, kerana bagi saya ianya sungguh realiti dan sempurna. Di dalam filem ini, walaupun Rezvan menghadapi masalah komunikasi, namun daya ingatan dan hafalannya sangat baik. Fobia dengan warna kuning. Lurus bendul dan tidak pandai bercakap bohong. Seorang yang berpegang teguh pada ajaran yang diajar kepadanya.

Mungkin ramai yang masih samar-samar mengenai apa itu Sindrom Asperger.

Ini saya perolehi dari wikipedia:
Adalah kecacatan neurobiologi yang dinamakan sempena pakar perubatan Viennese, Hans Asperger, yang menerbitkan kertas kerja pada tahun 1944 yang menggambarkan pola perlakuan pada beberapa pemuda yang mempunyai perkembangan bahasa dan kecergasan normal, tetapi turut menunjukkan tabiat autisma dan kekurangan jelas dalam kemahiran komunikasi dan kemasyarakatan.

Dalam bahasa yang mudah untuk difahami:
Penghidap masalah Asperger mempunyai kesempurnaan fizikal yang sama seperti orang-orang biasa tetapi mereka agak sukar untuk berkomunikasi dengan masyarakat serta mempunyai ciri-ciri autisma seperti suka menyendiri, tiada eye contact, anti sosial dan sebagainya.

Sungguh terkesan cerita ini pada saya tatkala melihat scene Khan yang lurus bendul menuntut janji, tidak selesa dipersekitaran yang baru dan bertemu dengan wajah-wajah baru, apabila bercakap tiada eye contact dan ekspresi pandangan matanya kerana semua yang dilakonkan itu ada pada Megat Jr. saya. Saya kagum dengan kesungguhan ibunya mendidik dan tidak membezakan kasih diantara anak-anaknya. Meski mempunyai kekurangan, tetapi Khan sangat pintar, tak salah jikalau memanggilnya pensyarah kecil kerana dia mampu memahami dan menghafal apa yang dibacanya dengan baik sekali.

Garapan yang menarik minat saya:

- Peranan ibunya yang saya kagumi, walaupun dia tidak mengetahui Razvan menghadapi masalah namun dia melakukan sesuatu yang betul. Seorang ibu tidak akan membiarkan anaknya disia-siakan walau seteruk mana anak itu. Mungkin ibunya kurang berpendidikan, namun mengajarnya mengenai sirah-sirah nabi, mengajarnya mengenai manusia dan sekeliling merupakan sesuatu yang sangat penting, berpesan dan mengajarnya membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Janji bererti untuk dikotakan, bukan untuk diingkari. Begitu juga dengan kata, tiada yang dusta melainkan benar belaka.

- Mengajar masyarakat mengenali individu autisma. Mereka tampak seperti lain-lain individu tetapi mengalami sedikit gangguan komunikasi dalam terma kemasyarakatan. Seorang yang lurus, patuh, setia, berpegang pada janji.

- Muslim dan Islam bukan pengganas. Penyatuan kemanusiaan dan membuka mata barat akan kebaikan dan kesyumulan Islam.

- Kasih sayang tanpa sempadan. Kasih sayang suami dan isteri, sahabat dan ibubapa untuk seorang anak.

Filem ini memberikan gambaran kepada saya bagaimana individu autisma menghadapi cabaran kehidupan di masa akan datang. Terbayang tatkala sang ibu dijemput pulang mengadap Ilahi, adiknya pula yang menjaganya. Saya sering terbayangkan saat-saat itu. Mampukah Puteri Jr. menjaga dan memahami abangnya sebagaimana saya?

Maybe I'm thinking too much :D
Anak autisma saya Insya Allah akan baik-baik sahaja hendaknya.

... entry ini akan disambung ;-)

21/07/2010

Menjadi isteri dan ibu, catatan indah seorang wanita.

Minggu lalu saya kerinduan kerana meninggalkan anak-anak dan Encik Bubu di Putrajaya dan saya berterbangan ke Alor Setar. Tiap saat saya membayangkan mereka. Saya terfikirkan bagaimana Megat Jr. sewaktu ingin beradu apabila malam ingin melabuhkan tirainya, bagaimana adanya Puteri Jr. apabila sewaktu ingin lena, tiada tangan Mamanya yang menepuk manja menemani. Tipu jika saya tidak merindui kehadiran Encik Bubu kerana dia pelengkap saya. Encik Bubu tidak perlu mengungkapkan 'saya rindu awak' kerana dari senyuman, usikan dan perbualannya telah menggambarkan rasa hatinya. Terima kasih Encik Bubu, cinta tidak perlu dilafaz, cinta cuma perlu dirasai. Kasih dan sayang Encik Bubu saya rasai, penuh didalam hati saya.

Semalam menyaksikan gelaran ibu yang saya sandang diuji oleh Megat Jr. Tidak tahu dimana salah dan silapnya, Megat Jr. ingkar tidur. Rengekan manja dan tidak selesanya kedengaran tiap 10 minit. Saya pastikan dia tidak kehausan susu, saya pastikan lampinnya dalam keadaan kering dan saya juga pastikan dia tidak kepanasan namun segalanya tampak tidak kena pada si anak. Saya mendodoikannya, mendendangkan lagu-lagu kegemarannya, cuma 10 minit cuma bertahan dan tangisnya menghiasi lagi. Saya tukar kepada alunan zikruallah, saya bacakan ke telinganya al-fatihah, 3 qul dan bismillah 21 kali, dia diam seketika kemudian merengek lagi. Saya tidak jemu mendodoi, ke hulu dan ke hilir. Seketika dia berdiam, bila nampak dia sudah 'hanyut' saya cuba letakkan dia perlahan-lahan, namun tatkala badannya mencecah tilam, matanya bulat terbuka seiring dengan rengekan manja dan 'aksi ganas' kaki dan tangannya. Sudahnya, saya tidak lena sepanjang malam. Megat Jr. tidur didalam dakapan dan pangkuan saya hingga dinihari menampakkan wajahnya. Syukur juga kerana Puteri Jr. tidak terusik tidurnya.


Megat Jr. @ 13/04/2007

Inilah anak autisma saya, saya menerima kelainan yang ada padanya sebagai cabaran. Saya tidak marah dan saya tidak mengeluh. Janji saya sewaktu mula saya bergelar ibu, saya ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak saya. 8 bulan selepas bergelar ibu, tatkala doktor mengesahkan anak saya mempunyai kelainan dari anak-anak yang lain, saya terduduk namun saya berterima kasih kepada insan-insan disekeliling saya yang sangat mengasihani saya yang menjadikan saya kuat. Jika Megat Jr. seorang autisma, saya kini sepenuhnya bersedia 'menjadikan' diri saya seorang autisma juga. Jika dengan mencungkil mata, menepuk kepala dan mencucuk pipi adalah perkara yang mesti dilakukan oleh Megat Jr. maka saya sendiri akan sama-sama menyelam ke 'alam' anak saya berada. Memahaminya dan menjadikannya seorang yang terbaik suatu masa nanti.

Megat Jr. kini sudah mampu berdiri di atas lututnya. Sesekali, tangannya mencapai kerusi dihadapan dan dengan perlahan-lahan dia akan menolak tangannya menyokong badan untuk berdiri. Berdirinya tidak lama, cukup 3 saat sahaja, dia sudah tergolek terbalik. Pada mulanya, tangis menghias ruang rumah. Dia tahu, jatuh itu sakit. Tiada keseimbangan badan membuatkannya terbalik, menyembah lantai rumah. Namun, Megat Jr. gigih orangnya. Jika Puteri Jr. cuma perlu melihat beberapa kali sahaja bagaimana untuk berdiri sewaktu usianya mencecah 7 bulan, Megat Jr. memerlukan mungkin ratusan kali mengulang langkah yang sama. Sehingga ke hari ini, dia masih belum berjaya sepenuhnya. Namun saya bangga melihat usahanya.

Anak istimewa mempunyai kesungguhan dan kegigihan yang berlipat kali ganda berbanding anak biasa. Bukan kerana dia tidak ingin melakukannya, tetapi dia tidak mempunyai keupayaan untuk melakukannya. Saya bangga kerana anak saya yang berusia 3 tahun ini memilih untuk tidak berputus asa, mencuba dan mencuba.

Tak bisa berlari aku berjalan,

Tak bisa berjalan aku merangkak,

Tak bisa merangkak aku mengensot,

Perlahan-lahan aku kan sampai jua.

- Yakin, Art Fazil.

Manisnya momen menjadi ibu, lebih manis kerana saya terpilih mempunyai seorang anak istimewa. Sewaktu saya di Alor Setar, saya juga bangga berkongsi kisah mengenai Megat Jr. Jika boleh saya ingin semua tahu, mempunyai anak istimewa memberikan kita suatu kekuatan, memberikan kita peluang untuk belajar sesuatu yang baru setiap hari dan menjadikan hidup kita penuh dengan cabaran dan rintangan. Saya menerimanya dengan positif walau saya tahu, perjalanan saya hingga ke akhirnya tidak mudah. Laluan yang ada dihadapan saya, penuh berliku.

Lain pula pengalaman menjadi ibu kepada Puteri Jr. Semuanya saya rasakan seperti berlalu pantas. Saya tidak perlu mengajarnya bagaimana untuk duduk, berdiri malah berjalan dan bercakap. Semuanya berlaku secara semulajadi. Malah keupayaannya meniru gaya dan tiap bait patah kami sering mencuit hati. Dia menjadi apple of my eyes, menjadi harapan saya. Kepetahannya berbicara, kelincahannya menari dan keaktifannya menerokai setiap benda yang berlaku disekelilingnya memberikan saya satu pengalaman sempurna membesarkan anak-anak. Lahir dari rahim yang sama namun berbeza keupayaan dan kemampuannya.

Menjadi seorang isteri, merupakan fasa yang terindah dalam kehidupan seorang wanita. Memenuhi tuntutan agama dan lumrah hidup manusia. Melengkapkan diantara satu sama lain. Apabila menjadi isteri, suami adalah syurga kita. Suka atau tidak, kata-kata suami adalah undang-undang. Isteri bukan hak milik, tetapi anugerah untuk suami sayangi dan bimbingi. Sudah 6 tahun saya hidup bersama Encik Bubu, banyak suka duka saya lalui bersamanya dan saya mengharapkan kasih sayang kami dipanjangkan hingga ke penghujungnya. Menjadi isteri perlu taat dan setia. Menjadi isteri bukanlah berkisar mengenai keseronokan semata-mata tetapi tanggungjawab dan keikhlasan. Terima kasih Encik Bubu kerana memberikan pengalaman yang tidak pernah saya kecapi sebelum ini.

Menjadi ibu, membuatkan saya memahami kasih sayang tanpa syarat. Kasih seorang ibu membawa ke syurga. Kasih seorang ibu tiada nilai taranya dan kini saya memahami bagaimana rasa Cik menjadi ibu kepada kami 8 beradik. Saya bangga dengan harta yang saya miliki hari ini. Merekalah pelaburan yang tak ternilai saya pernah miliki, dan saya akan menjalankan tanggungjawab saya sebaik mungkin walau ianya menuntut pengorbanan nyawa sekalipun. Saya ingin sebolehnya merakamkan setiap perjalanan saya menjadi seorang ibu dirakamkan di my.little.secret kerana saya tidak tahu berapa lama mereka dipinjamkan kepada saya. Saya mengharapkan selamanya, tetapi Allah menentukan segalanya. Saya ingin my.little.secret menjadi tempat anak-anak saya suatu masa nanti membaca tulisan hati mamanya.

dan, menjadi ibu kepada anak istimewa adalah anugerah terindah pernah saya perolehi. Megat Jr. is the best thing ever happened to me.

19/07/2010

Muzik, itu mengalir dalam darah mereka.

Hujung minggu yang sempurna. Bermalasan dirumah. Bertiduran sepanjang hari bersama Megat dan Puteri Jr. dan pada sebelah malamnya menghadiri resepsi perkahwinan sepupu Encik Bubu di PJ. Penuh warna warni, penuh dengan kebudayaan Bollywood dan sangat sempoi. Satu majlis yang akan terpahat di lubuk hati, sempurna. Tambahan, Encik Bubu yang teruja dengan penampilan istimewanya bersama The Cousins. Love Story by Taylor Swift sangat indah untuk didengar dimajlis resepsi perkahwinan begini.

The cousins

Qisti

Lisz

Memandangkan sahaja kepada gambar ini, saya memasang angan didalam hati. Saya akui, Encik Bubu mempunyai kemahiran yang luar biasa baiknya. Dendangkan sahaja sebarang lagu padanya, pasti dia mampu mengalunkan melodinya. Iringan violin dari Lisz juga membuai rasa dan iringan gitar dari Qisti juga tak kurang indahnya, saya rasa jika diberi peluang Qisti menyanyi, malam itu mungkin lagi indah jadinya.

Melihat Encik Bubu berkongsi stage dengan mereka, terbit keinginan didalam hati andainya suatu masa nanti melihat Encik Bubu berkongsi stage dengan Megat dan Puteri Jr. pula. Saya yakin, separuh gene dalam badan anak-anak kami mengalirnya bakat seni ini. Saya sering terbayangkan anak-anak saya mengikut jejak langkah abahnya menggemari muzik. Bagi saya, tidak salah jika disalurkan kebolehan ini. Qisti and Lisz both are doctors. Bukan lagi seperti scene didalam cerita Ibu Mertuaku yer. Saya selalu bayangkan Megat Jr. bermain drum, kerana dia gemar mengetuk. Mengetuk lantai, dinding, permainan dan setiap ketukan ada nadanya tersendiri. Saya ingin positif, walau bagaimana kejadian Allah tentukan untuk dia, saya tahu ada sesuatu hikmah yang tersembunyi.

Saya mengenali 2 orang musician yang hebat ini. Genervie dan Arthur Kam. Mereka berbakat. Encik Bubu sendiri mengakui, dalam usia yang muda, dia cukup kagum dengan Arthur. Tambahan pula, sewaktu di Bentley baru-baru ini, Arthur turut menjadi speaker. Dia melihat kebolehan dan profesionalisasi yang dimiliki oleh Arthur. Saya bayangkan Megat Jr. menjadi seorang drummer. Uh, sure mamanya sahaja yang melting lebih-lebih.

Early days of Arthur Kam
(taken from his FB)

Arthur Kam - in action
(taken from his FB)

Membayangkan Puteri Jr. sebegini kelak juga adalah sesuatu yang sangat menghiburkan. Saya yakin, mereka mampu, jika dilentur dari awal. Lihat sahaja pada Encik Bubu sendiri, dilentur seawal usia 3 tahun.

Genervie Kam - in action
(taken from her FB)

Harapnya, suatu hari nanti, saya melihat anak-anak saya pula di stage bersama instrument mereka. Menjelmakah saat itu?

Hari saya mendera Arthur Kam? :-P

It's not wrong to dream, kan?

16/07/2010

syukur, itu perlu.

Saya berkongsi cerita dengan ayah kepada seorang anak istimewa mengenai konsep sabar. Dia bercerita mengenai anaknya yang berusia 25 tahun kini dan dikategorikan sebagai slow learner. Dia memberitahu saya, selama 3 bulan dia mengajar anaknya belajar membezakan bahawa angka 5 adalah lebih besar dari angka 3. Saya bertanya lagi padanya, apa lagi kelainan yang ada padanya. Fizikalnya semua sempurna, boleh berjalan, menguruskan diri sendiri.

Lantas saya bercerita kepadanya, pengalaman saya menjadi ibu selama 3 tahun ini, tentang cerita seorang anak kecil yang berada didalam dunianya sendiri. Tentang kesungguhannya belajar untuk maju ke hadapan. Saya tidak mahu mengeluh, saya bangga dengan dia. Saya mengambil masa selama 6 bulan untuk melatih koordinasi matanya, membuatnya memandang saya. Saya menunggunya selama 2 tahun untuk dia memanggil saya 'ma'

Dia lantas terdiam, dan saya kata padanya "thing happens for a reason". Saya harap dia bersyukur dengan anugerah allah itu.

13/07/2010

my first mobile blogging ;-)

Hye peeps,

I dunno how it will look alike :-) I'm trying this from my berry and I don't know how to insert a picture tho :P currently am in Alor Setar, attending a course and today is the first day I woke up from bed without my Megat and Puteri Jr.beside. I've called home a few times yesterday to check on them wether they are OK or not, and my maid told me that Megat Jr. Is calling out my name for a few times. Duhhhh...
I hope I can go thru. Ok, gtg.

09/07/2010

Megat Jr. : Rambut baru

Sudah lama saya menangguh waktu untuk membawa Megat Jr. ke kedai gunting rambut. Sudah lama saya biarkan rambutnya serabai jungle begitu. Tak tahan kasihan akan dia yang sering tergaru-garu, saya akhirnya mengalah membawa dia ke kedai gunting rambut. lagaknya seperti membawa anak teruna yang sudah bersekolah sahaja. Selalunya saya dapat bayangkan, bagaimana dia memekik dan menangis menahan diri sewaktu Uncle menggunting rambutnya. Kali terakhir, lebih teruk, Uncle kegemarannya itu pulang ke India, kampung halamannya. Maka, si Megat Jr. langsung tidak mahu duduk di kerusi. Sudahnya, saya terpaksa mendukung dan membiarkan sahaja rambutnya digunting dengan meredhakan sahaja rambutnya diseluruh badan saya.

Muka cuak

Sebelum rambut dipotong, saya sedang memberitahu kepada Uncle itu apa yang saya inginkan untuk rambut Megat Jr. kali ini. Saya kemudian memberi amanat saya untuk dia "Lope, Mama bawa Lope datang sini sebab nak gunting rambut. Tak nak menangis ye, sikit je. Nanti Mama nak anak Mama nampak handsome taw. Nanti baru la Lope selesa rambut pendek, OK?," saya andaikan saya telah mendapat persetujuan darinya tatkala sang anak sibuk menyebut berulang kami "Sherma, sherma, sherma"

Inilah dia Uncle kegemaran Megat Jr. Kalau datang ke sini sewaktu Uncle bercuti, bising satu kedai mendengar jerit dan tangisnya. Uncle ini mungkin kerana sudah berusia, maka pendekatannya dengan anak kecil seperti Megat Jr. lebih fatherly. Pandai juga dia bila Megat Jr. menangis, dia akan menyanyi lagu-lagu Urdu dan mengacah dia sehingga kadang-kala dia terdiam seketika sebelum menyambung tangisan pohon diri diselamatkan.

Bukan senang apabila ingin memujuk Megat Jr. supaya behave sepanjang sesi pengguntingan rambutnya. Memandangkan dia sendiri masih belum boleh mengawal keseimbangan badannya dengan betul, maka saya terpaksa meminta bantuan Bibik untuk memegang bahunya. Namun, apabila terdengar sahaja mesin itu ditelinganya, anak kecil ini menggeleng-gelengkankepalanya tanda protes.

Sudahnya, saya terpaksa mengarahkan Bibik memegang leher Megat Jr. begini. Aduh, maaf yer sayang. Tanda-tanda protes sudah terbit diwajahnya, disuaranya. Tatkala saya memegang berry ini, saya teringatkan sesuatu. Lalu saya pilih dari senarai playlist yang ada, saya pasangkan lagu Adrenalin, kemudian Superhero dan Semesta. Ketiga-tiga ini memang saya sedar merupakan lagu kegemarannya. Jika dirumah, lagu-lagu inilah saya gunakan ketika menjalani sesi terapi bersamanya. Lagu-lagu ini ibarat mempunyai kuasa magis memukau si kecil ini supaya mengikut arahan bondanya.

Inilah penangan lagu Uncle Faizal. Lihat wajahnya, senyum. Sayang sekali saya tidak dapat merakamkan detik-detik ini. Kerja Uncle selepas itu juga senang dan lancar. Saya sendiri mengapa selama ini terlupa untuk mendendangkannya lagu-lagu Uncle Faizalnya? Waduh, next time, petua ajaib ini bukan sahaja terpakai sewaktu ingin tidur atau sesi terapi, malah sewaktu ke barber juga! Saya rasa seperti indahnya hidup ini jika eeftee dapat diklonkan bagi tujuan acara nyanyian untuk anak teruna saya ini. For Megat Jr. bukan untuk bondanya. Bondanya sudah ada Encik Bubu, sekian terima kasih. T___T

Inilah hasilnya!

07/07/2010

Lamb Chop

Sekarang ni tiba musim suka nak memasak dan ambil gambar. Ok, sebenarnya bila timbul minat macam ni, agak bimbang sebab sewaktu awal-awal mengandungkan Puteri Jr. pun, inilah kegemarannya. Kali ni, masak lamb chop. Sedap tak sedap belakang cerita, janji bila dah jadi gambar, rasanya macam nak masak dan makan sekali lagi.

Perkara yang paling seronok bila masak sendiri adalah sebab side dish boleh letak seberapa banyak yang kita nak dan apa-apa sahaja yang rasa nak makan. Bagi saya, saya suka makan..

Tomato yang dibakar dengan butter. Caraku sendiri. Seleraku. Lagi suka, bila FIL juga suka makan begini.

Terung bakar kesukaan Encik Bubu. Saya pun suka juga, tapi kalau tak ada pun tak apa.

Ini sup cendawan dan ayam, untuk Megat dan Puteri Jr. juga. Megat Jr. kureng sket makannya tapi si Puteri Jr. sangatlah suka. Terasa puas bila boleh memasak dengan penuh kasih sayang untuk orang-orang yang tersayang. Lebih indah bila Encik Bubu kata 'next time boleh buat lagi' dan Puteri Jr. yang sedang makan sup sambil terangguk-angguk cakap 'hmmm, dap. dap.'

Okey, senang je nak gembirakan hati seorang Mama yer ;-)

Ole-ole dari boss besar

Saje nak upload, sebab benda ni cute.

Mula-mula, rasa macam biasa je tengok, sekali selepas tu saya main-main rupanya dia boleh terbuka-buka bagai.


Oh, rupanya dia berempat. Selepas tu, si Jujue plak main-main dengan benda ni. Tiba-tiba dia tunjukkan saya ni.
Alahai.. rupanya, dia keluar macam ni.

Alahai, keciknya. Kreatifnya orang buat ni.

5 ekor? *abaikan si bizibody kat belakang*

04/07/2010

Sabtu saya

Tak tahu dalam setahun berapa banyak saya sempat menyediakan sarapan pagi untuk Encik Bubu. Alasannya bukan kerana saya malas, tetapi selalunya tiada pagi Sabtu dan Ahad untuk kami. Selalunya kami akan terus melangkau ke waktu tengahari. Pagi di hujung minggu sangatlah beharga untuk kami. Tetapi, hari ini lain jadinya kerana pada petang harinya saya punya agenda tersendiri, maka saya sediakan makan minum untuk Encik Bubu dan anak-anak sebelum saya melangkah keluar. Ini hasilnya..


Oh, tak nampak yer? Close up..

Oh..

Petangnya saya ke acara tersendiri. Acara yang AhhComey kata 'today is a fairytale day' dan, saya cuma mampu tersenyum.

berjumpa keluarga mereka ;-)

02/07/2010

Are they doing OK while I'm chasing the rockstar?

Oh, it sounds like i'm the paparazzi here :-)

Seseorang datang kepada saya dan memberi kenyataan ini :

"Sudah-sudahlah mengejar eef-tee, awak tu dah kahwin dah ada anak. Jaga anak-anak kat rumah"

Saya agak terkesima jugaklah. Setahu saya, dia bukanlah mengenali saya dalam dan luar. Setahu saya, jika diminta mengeja nama penuh saya sekalipun, saya pasti dia tidak mampu menulisnya dengan betul. Lantas saya bertanya semula, masih dalam nada 'saya-menghormati-anda'

"Kak xxx saya tahu tapi bila-bila masa nak pergi tengok eef-tee, perancangan nak urus diaorang semuanya under control :-D Samalah kalau pergi outstation pun "

Tapi, jawabnya selepas itu ini jawabnya:

"Patutlah anak macam tu.."

Saya berhenti sekejap. Beberapa ketika saya membaca balik apa yang ditulisnya. 'Patutlah anak macam tu..' Selepas tu, saya offline. Saya tiba-tiba tak tahu apa saya nak fikir. Saya tulis ini di facebook. Saya tak tahu, dia yang menegur saya itu membaca atau tidak.

Keluarga adalah keutamaan saya. Saya menjaga dan menjalankan tanggungjawab saya kepada Encik Bubu, Megat & Puteri Jr. selayaknya saya buat. Saya uruskan makan minum mereka, saya uruskan makan pakai mereka, saya uruskan segala-galanya keperluan mereka. Pergi saya dengan izin Encik Bubu. Salahkah seorang ibu dan isteri meminati rockstar? Mungkin masyarakat melayu pekanya terlalu berlebih mengenai perkara remeh. 'Patutlah anak macam itu' adalah rahmat dan anugerah kepada saya. Mungkin cara saya membesarkan anak-anak tidak sama dengan apa yang Kak XXX praktikkan, mungkin cara saya menjadi ibu dan isteri juga berbeza dengan cara Kak XXX amalkan.

Jika tidak mengenali saya, jika tidak tahu sejauh mana kesungguhan saya, jika tidak tahu dimana teguh saya berdiri, jika tidak tahu apa yang saya lalui, jika tidak tahu siapa saya, adalah tidak adil untuk memberikan penilaian kepada saya. Tidak perlu tampil bertanya 'are them doing OK while I am away chasing the rockstar' kerana saya hanya akan melangkah keluar dari rumah apabila semuanya sempurna untuk mereka hidup. Tidak perlu berkata eeftee comes first kerana saya tahu Encik Bubu dan Megat + Puteri Jr. adalah hidup saya.

the only human living that I asked for a signature for my berry

Kak XXX, saya terluka dengan kata-katamu, tetapi saya terima kerana ini adalah sebuah kehidupan yang mana tidak semuanya indah. Terima kasih ye, kerana setiap kali luka yang terpalit dibadan saya, parutnya membuatkan saya makin hari makin kental menghadapi hari-hari mendatang dalam mendidik si kecil ini..

.. dan, saya tidak akan berhenti menyokong lelaki ini. Kerana saya tahu, muziknya memberi saya inspirasi dan bersemangat menempuh hari mendatang.

abaikan perempuan cantik disebelah kanan!

Terima kasih juga buat Raihanim Noran untuk ini.



Nota kaki: Terima kasih Encik Bubu, kerana percaya akan saya dan tahu mengerti apa itu minat saya pada muzik, dan bukan pada tuannya.