Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

28/05/2010

Abang dan adik serta kerusi dan meja baru mereka...

Minggu lalu saya bercerita mengenai pencarian saya dan Encik Bubu tentang mencari kerusi dan meja untuk sang anak. Berbaloi-baloi apabila apa yang kami cari untuk mereka digunakan sepenuhnya. Pagi ini, saya lihat mereka berdua bercanda indah berdua-duaan. Entah apa butir bicara mereka saya tidak pasti, namun kelihatan sangat mesra. Si abang berbahasa Jerman manakala si adik berbahasa Thailand. Namun, kedua-duanya nampak seperti saling memahami.

Sang abang dan si adik ceria duduk semeja. Pada mulanya semua OK saya lihat. Sang abang bernyanyi lagu kegemarannya yang saya sendiri tidak fahami dan si adik bertepuk tangan kegembiraan melayan karenah abangnya. Gambar seterusnya saya rakam, saya menggambarkan mereka berbicara seperti dialog yang saya tuliskan.

Abang : Eh, awak tahu tak bunga ni Mama beli kat Lope?
Adik : Eh, ye ke? Lelaki mana suka bunga..


Abang: Apa plak tak suka bunga.. suka la..
Adik: Mana ada la Lope.. Phia ingat Abah cakap lelaki tak suka bunga..


Adik: Lope jangan nak buat lawak la.. sorok plak bunga tu... LOL!
Abang: Mestilah.. Lope punya kan?

Adik: Nak! Nak! Nak!
Abang: Aik, marah?

Adik: Tanak kawan la kalau macam ni...
Abang: Chills la babe..


Si adik selepas itu berusaha untuk bangun dari kerusi, malangnya dia agak sukar memandangkan kakinya tidak mencecah ke bumi.

Tengok muka Phia :) Lucu! Seterusnya, ini eksperesi drama queen saya...

Oh okay, sang adik menangis sepenuh hati. Lalu saya membetulkan kedudukannya.. tak sampai 2 saat kemudian, ini wajah yang lahir dirautnya...

Aduhai.. sangat drama queen, ok? Siap dengan senyuman cheecky tu.. muka puas hati sebab dapat memperdayakan mama. Rupanya, dia bersusah payah nak ambil bunga dari si abangnya. *so Iskandar taw*

Muka orang berjaya conquer bunga si abangnya. Sangat bermaharajalela si adik ni.

26/05/2010

THOO... PHOO.. PAI...

Sudah beberapa hari saya tertangguh untuk menulis. Sudah acap kali saya rasa terpanggil untuk berkongsi. Hari ini baru saya diberi peluang dan kekuatan. Beberapa hari lalu saya keluar bersama Sophia. Bagi menghiburkan dan mengasyikkan dia sewaktu saya memandu, berbagai lagu saya nyanyikan padanya. Saya tahu, dia akur bahawa ibunya bukanlah penyanyi bersuara lunak, malah jauh sekali tahu bagaimana untuk menyanyi.

Apabila sudah ketandusan idea untuk menyanyi, saya sengaja mengira bersama-samanya. Apabila saya sebut one, two, three, four and five, saya seperti terdengar satu suara halus mengikutinya. Saya perhatikan betul-betul rupanya sungguh! Suara halus itu seperti malu-malu ingin mengikut kiraan saya.

Apabila saya sebut ONE.. dia diam. Apabila saya sebut TWO.. saya terdengar bibir mungilnya menyebut THOO. Apabila saya menyebut THREE.. dia diam kembali. Apabila saya menyebut FOUR.. saya terdengar PHOO dan apabila saya menyebut FIVE, dia angkat jarinya dan dia sebut PAI seraya merapatkan tangan kami tanda hi-5!


Oh, sebagai ibu, saya sungguh teruja. Di usia 17 bulan, Sophia pandai mengira. Saya harapkan saya mampu merakamkan momen ini dengan video, namun sayang, Sophia tidak memberikan kerjasama. Kalau tidak ingin sekali saya berkongsi kegembiraan disini. Sungguh comel dipendengaran saya cara sebutannya. Mungkin Allah berikan perbezaan di antara Idris dan Sophia, namun ia melengkapkan saya!

25/05/2010

Sabtu saya

Sabtu lalu, saya meneruskan pencarian mencari kasut setelah pencarian pada hari jumaat bersama Jujue, Fahi dan Kak Rafid tidak berhasil. Kali ni, dapat ladies day out dengan Cik dan Yong. Juga tidak dilupakan Sophia pun ikut sama. Memandangkan Cik memang nak cari kasut HP, saya juga membawanya ke KLCC. Terasa sungguh rock sungguh kasut paduka bonda saya. Hasilnya, 4 pasang kami borong dari sana. Yong sengaja membeli kasut dan size sama seperti saya *saje dengki dengan i*

Sepanjang di KLCC, Sophia tak mahu langsung berenggang dengan saya. Bila saya meminta dia menunggu saya yang ingin mencuba kasut, berguling-guling di atas lantai jadinya. Aduh, malu saya. Menyesal jugak berjalan tanpa Bibik ni. Dari HP kami ke Toys R Us, dalam misi yang sama dengan Encik Bubu, mahu mencarikan learning/study table untuk Idris.


Namun, hampa. Sudah jenuh saya menjelajah mencari meja yang sesuai untuk Idris, 3 buah Toys R Us dah ku cuba, namun semua tak ada. Dari KLCC kami ke IJN, menziarahi Ayah Mat pula. Saya menyerahkan keadaan pada takdir apabila semua pakar perubatan mengatakan counting days sahaja. Allah itu Maha Berkuasa, insya Allah, saya doakan yang terbaik sahaja untuk Ayah Mat.

20/05/2010

Suprise........!

Dari semalam dia berSMS denganku, saya tahu, hari ini hari ulang tahun kelahirannya. Tepat jam 12 malam, saya langsung tidak menelefonnya, tidak juga mengutus SMS mengucapkan selamat sempena hari lahirnya.

Jam 10.15 pagi ini, dia SMS saya ini...

'Call Cik, Cik ingat birthday kata 10.15 pagi. Tadi call Cik 10.10 pagi, Cik kata masa ni tengah tunggu Aboh kelik Sekolah Melor, Ayah Pa gi turut. Aboh kelik baru beranok.'

Ok, saya terjemahkan ke dalam bahasa surat yang difahami :

Call Cik, Cik ingat birthday. Tadi Call Cik, Cik kata masa ni sedang tunggu Aboh pulang, Ayah Pa yang panggilkan. Aboh balik, baru bersalin'

How cute!

Dan saya jawab SMS nya:

Happy Birthday Sister. Macam mana nak claim hadiah ni?

Dia sekadar menjawab ala-ala kadar sahaja. Saya lantas memberi satu kejutan yang menyenangkan untuk dia kali ini.

Dengan bantuan Jujue yang comels *sebab dia dah tolong* saya berjaya menghantarnya sendiri ke pejabatnya nun di Cyberjaya *abaikan aktiviti ponteng kerja yer*

Saya dan kakak saya di hari lahirnya. Saya tahu dia syahdu bila nampak saya dan Jujue di pintu biliknya. Selamat hari lahir Yong, teruskan menjadi kakak yang cool di muka bumi ini. Lepas ni, sumpah saya malu dah nak pergi pejabat dia, rasa macam gelemer haram bawa bunga gitu :p

Oh, thanks Sen for the 'rock-on' tu :) Yes, I was in Utusan itu bersama idola itu.

Selepas saya pulang, ini SMS dari Yong:

'Tq Geb (nama manja saya dengannya) Luv e bunga, luv e card, n luv u.. x sangka mari sungguh!'

Oh, saya gembira kerana saya menggembirakan orang-orang yang saya sayang di hari lahir mereka. Love you too, Yong!

p/s: Cor and Kak Yan, kalau anda berada dalam kawasan sekitar denganku, bersediakah menerima kejutan di hari lahirmu? :)

Betapa cepatnya masa berlalu...



Saya rindukan anak-anak saya. Rasanya 24 jam sehari tidak pernah cukup untuk saya bersama-sama mereka. Saya rindukan setiap gelakan dan tangisan mereka. Memang, bila Megat Jr. (Idris) dan Puteri Jr. (Sophia) menangis, terbut juga rasa bosan, namun adatlah. Saya perlu mengakui tanpa tangisan mereka, hidup saya akan sunyi.


Saya melihat pada Megat Jr. sekali pandang saya nampak anak teruna saya seperti sudah berumur 5 tahun. Sayang sekali, tuan empunya badan masih belum mampu berdiri sendiri, masih belum mampu mengatur langkah sendiri. Saya lihat Megat Jr. yang sudah pandai duduk sendiri, namun kadang kala masih memerlukan bantuan untuk dibetulkan kedudukannya. Umurnya sudah mencecah angka 3 tahun. Semalam juga saya berbincang dengan Encik Bubu, dan kami sepakat untuk membawa anak teruna kami menjalani assesment di NASOM. Kami berdua juga bertekad untuk menghantarnya ke pusat latihan NASOM. Rasanya tidak adil untuk Megat Jr. saya berada sahaja di rumah. Dia perlu didedahkan dengan seberapa banyak pendedahan.

Namun, kuatkah saya melepaskan dia sendirian ke sekolah? Tanpa saya dan tanpa sesiapa sahaja wajah dikenalinya? Mampukah orang menjaganya sebagaimana saya menjaganya? Aduh, rawan lagi hati saya. Sungguh, kalau saya diberikan rezeki lebih, ingin sekali saya bercuti untuk beberapa tahun. Ingin sekali saya menjaga Megat Jr. dengan tangan saya sendiri, saya rela bersusah setiap hari menghantar, menunggu dan membawanya pulang dari sekolah ke rumah jika itu telah ditakdirkan oleh Allah untuk saya.

Sekarang saya sudah emo T_____T

p/s: Berdoa harap ada rezeki bergolek dari langit untuk saya dan anak-anak.

19/05/2010

DaripadaNya kita datang dan kepadaNya kita kembali

Saya terbangkit dari lena jam 3.30 pagi. Puteri Jr. (Sophia) merengek-rengek disamping saya, lazimnya dia hauskan susu. Dalam kepayahan untuk bangkit, saya bangun jua. Membuatkannya sebotol susu panas, apabila susu itu disuakan kepadanya, lantas dia diam. Matanya terpejam erat sambil minum. Saya belai-belai lembut rambutnya, lama kelamaan, dia terlelap sebaik sahaja botol itu kosong. Saya alihkan dan selimuti dia.

Terlanjur saya terjaga disepertiga malam, saya sujud padaNya. Usai urusan saya 'berdating' denganNya, saya berada disini, menulis. Dua tiga hari ini, saya agak saya berada didalam mood yang agak 'down'. Jauh disudut hati saya sungguh terkesan melihat satu kepulangan padaNya. Saya sebenarnya secara tidak sengaja telah sama membantu menguruskan jenazah nenda saudara. Pada mulanya, saya sekadar ingin melihat sahaja. Namun, tatkala saya masuk ke bilik pengurusan jenazah itu, saya terpanggil ingin membantu.

Kala itu, empat orang anak perempuan arwah sedang membantu memandikannya. Keruhwajah empat beradik itu. Sugul. Saya tidak berani bertegur sapa. Apabila saya menghulurkan tangan membantu dan menyentuh arwah, saya sendiri kesyahduan. Saya terbayangkan detik-detik saya memandikan Puteri Jr. ini, sama lagaknya. Cara mandinya, membersihkan badannya malah, saya juga menyapu air yang melalui muka anakanda saya dengan penuh kasih.

Itu jugalah yang terjadi sewaktu kali terakhir anak-anak perempuan arwah memandikannya. Bezanya kali ini, arwah juga dimandikan dengan kapur barus. Saya tidak menanti hingga ke saat arwah dikapankan. Saya terus mengambil wudhuk dan bersolat asar berjemaah seterusnya bersolat jenazah. Saya menghantarnya hingga ke liang lahad dan sewaktu bacaan talkin dibacakan, saya sungguh terasa. Hingga ke saat-saat entry ini ditulis juga, saya masih terbayangkan wajah arwah.

Hidup cumalah pinjaman semata-mata, saya mula memikirkan andaikata saya dijemput pulang sewaktu usia saya begini, apa akan terjadi pada saya sendiri yang amalannya masih belum seimbang, apa akan terjadi kepada anak-anak saya terutamanya Megat Jr. (Idris) yang masih memerlukan saya dan Puteri Jr. sendiri. Mereka masih memerlukan saya untuk hidup. Sungguh, saya tersentuh. Saya masih ingat bagaimana didalam catatan diari ayahanda saya, saya sering melihat arwah menulis 'Ya Allah, sekiranya engkau ingin mengambil aku, maka selesaikanlah tuntutan tanggungjawabku terlebih dahulu, biarlah kesemua anak-anakku mampu berdikari dahulu dan mampu menjaga ibu mereka' dan kali ini, saya mengerti apa rasanya tanggungjawab yang dipegang itu. Saya tahu saya berhati keras, namun kali ini sungguh menghentak saya. Dalam rasanya perasaan itu datang.

Terima kasih Allah kerana memberi saya peluang untuk 'tersedar'. Al-fatihah untuk semua ahli keluarga yang telah pulang kepadaNya. Semoga kalian ditempatkan dikalangan orang-orang yang dikasihi Allah.

15/05/2010

7 Kategori Orang Kelainan Upaya (OKU)



Rasanya, ramai yang tidak mengetahui mengenai istilah baru ini yang mana ianya menggantikan Orang Kurang Upaya. Sudah lama saya ingin berkongsi mengenai entry ini sebenarnya, tetapi sentiasa menghadapi beberapa halangan. Saya sangat berbesar hati apabila beberapa kenalan dan juga teman-teman baru datang bertanya mengenai anak-anak mereka. Malah, ada juga yang datang bertanyakan bagi pihak, anak teman yang mempunyai masalah-masalah istimewa ini.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh kerajaan, dianggarkan bahawa 1-2 juta penduduk Malaysia merupakan golongan OKU, namun hanya 250 ribu dari mereka sahaja yang berdaftar dengan badan berwajib. Kepentingan berdaftar adalah bagi membantu kerajaan membuat unjuran dan perancangan meliputi beberapa aspek seperti penjagaan, terapi, rehabilitasi dan rawatan. Kadang kala tak semua tahu, apakah yang diklasifikasikan sebagai OKU.

Untuk makluman semua, OKU dikategorikan kepada 7 kategori iaitu:

Kelainan Upaya Penglihatan
Tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad sama ada sebelah atau kedua-dua belah walaupun telah menggunakan alat bantuan penglihatan seperti cermin mata. Ianya terbahagi kepada 2 iaitu buta dan penglihatan terhad. Untuk lebih makluman, sila berjumpa doktor mata anda :)

Kelainan Upaya Pendengaran
Tidak dapat mendengar dengan jelas sama ada sebelah atau kedua-dua belah telingan walaupun telah menggunakan alat bantuan pendengaran dan ianya terbahagi kepada 4 kategori iaitu minima, sederhana, teruk, sangat teruk.

Kelainan Upaya Pertuturan
Mengalami masalah pertuturan tetapi boleh mendengar.

Kelainan Upaya Fizikal
Mengalami ketidakupayaan anggota badan sama ada kehilangan fungsi atau tidak mempunyai satu dimana-mana anggota badan, termasuklah anggota yang tidak sempurna yang mana menjejaskan keupayaan. Jenis yang termasuk dalam kategori ini ialah cerebral palsy, muscular dystrophy, spina bifida, lumpuh, kudung bu jari tangan, kudung tangan atau kaki atau kedua-duanya dan kerdil.

Masalah Pembelajaran
Mengalami masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikalnya seperti sindrom down, lembam, autisme, ADHD, dyslexia, dyscalculia, dygraphia, global developmental delay.

Kelainan Upaya Mental
Mengalami penyakit mental yang teruk setelah diberi rawatan selama 2 tahun oleh pakar psikiatri dan mereka yang masih belum mampu berfungsi dan tidak tahu menguruskan diri dan menyesuaikan diri dalam masyarakat seperti mood disorder, organic mental disorder atau skizofrenia.

Kelainan Upaya Pelbagai
Mengalami lebih dari 1 ketidakupayaan di atas.

Tidak rugi berdaftar, untuk mereka juga yang benar-benar memerlukan. Di negara-negara maju yang lain, OKU diberi layanan sama rata dalam masyarakatnya, tiada diskriminasi dan tiada pandangan serong dilemparkan. Jika kita mahu Malaysia juga menjurus ke arah itu, saya mencadangkan agar kita sama-sama berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sebagai sebahagian daripada masyarakat juga, tanggungjawab sosial kepada golongan istimewa harus ditingkatkan. Saya sering mendengar ungkapan 'anak itu menyusahkan' atau 'anak itu cacat kerana salah silap keturunannya' dilemparkan kepada kaum-kaum istimewa ini.

Mereka tidak dilahirkan ke dunia dengan meminta dilahirkan dalam keadaan sebegitu, malah apabila saya sendiri mempunyai seorang anak istimewa, ianya mengajar saya semangat kesungguhan dalam diri mereka lebih tinggi berbanding manusia-manusia normal seperti kita untuk terus hidup dan untuk terus berdiri di atas kaki mereka sendiri. Contoh paling realiti ada didepan mata saya. Tidak tidur seharian apabila dia ingin belajar bangkit duduk sendiri. Berulang kali tanpa jemu, jatuh, terhantuk kepalanya sekadar mainan. Apabila sakit, dia menangis, tetapi dia tidak serik mencuba dan belajar.

Itu semangat juang anak istimewa saya, dan saya yakin mereka yang lain juga begitu. Mereka istimewa kerana dengan menjadi diri mereka sebegitu, mereka juga mengajar orang-orang disekelilinginya menghargai setiap kurniaan tuhan kepada kita. Terima kasih Idris, kerana mengajar Mama mengenali apa itu syukur.

10/05/2010

♥ Bersama. ♥ Ceria. ♥ Serasi.

Hujung April lalu, saya dan keluarga berkesempatan merealisasikan hajat kami untuk berhimpun. Rentetan dari perhimpunan pertama di teratak kecil saya, kami lanjutkan pula ke sesi percutian bersama. Dalam pada kami bergembira, terdetik juga sedikit walang di hati tatkala mengingati anak bongsu kami Alanna Qish masih berjuang di sana. Bergerak di malam harinya menyaksikan perjalanan kami bermula dengan penuh kesesakan. Destinasi kami ke Teluk Senangin di Lumut memakan masa hampir 4 jam perjalanan. Nasib Encik Bubu memang arif tentang selok belok jalan, maka ianya tidak menyumbang ke arah kelambatan kami lagi.

Pagi sabtu yang mendung bagai merestui kedatangan kami ke Teluk Senangin. Kehadiran Jiey dan Ian melengkapkan kehadiran 6 buah keluarga kami. Encik Bubu seawal pagi lagi sudah tidak sabar-sabar ingin bermain air di pantai, mungkin deruan ombak yang tenang ibarat memanggil-manggilnya datang. Saya tidak banyak celoteh, kerana saya tahu Encik Bubu juga ibarat anak-anak ribena yang gemarkan air. Sesekali dia membawa keluar sifat anak-anak berumur 5 tahun dalam dirinya kelihatan sungguh comel dimataku. *sila muntah*

Idris dan Sophia juga sama seronoknya bila berjumpa air. Saya tidak turut sama bermandi-manda, saya lebih gemar memegang kamera dan merakamkan momen manis ini. Bibik ditugaskan menjaga anak-anak saya kali ini, dia juga tampak seronok melayan karenah Sophia dan Idris.

Encik Bubu yang kepenatan melayan anak-anaknya. Saya suka dengan gambar ini. Tampak seperti Idris seorang nelayan yang menemui seekor 'dugong' sesat. Hasil tangkapan yang lumayan dan berbaloi-baloi!

Ini pula Sophia yang kegembiraan bermain air. Cuaca pada hari itu juga seperti merestui kami untuk bermandi manda.

Inilah hasilnya apabila Mama melarang Sophia dari pergi mengejar ombak. Aduh, terguling-guling di atas hamparan pasir pantai. Sengaja ku biarkan dia meronta-ronta di atas pasir ini, ku ingin abadikan 'perangai' elonya itu, untuk tatapan 20 tahun dari sekarang.

Dan ini pula, deraan sang ibu yang sengaja nak ambil gambar dengan dua orang anaknya ditepi pantai. Idris sedang mencuba sedaya upaya untuk bergambar, adiknya? masih terguling-guling tak puas hati.

Apabila sang adik merajuk dengan abangnya.

Pelbagai acara yang kami lakukan. Sukaneka cuma berjalan dengan satu acara sahaja. Hujan turun dengan lebatnya seperti tidak mengizinkan kami terus-terusan bergembira. Apabila masing-masing pulang ke chalet, kami semua pingsan tertidur. Chalet sangatlah memuaskan dengan harganya. Gathering kami turut mengimport brader-brader tukang masak, yang masaknya sungguh pantas dan lazat. Hingga ke hari ini, ku masih teringat akan ketam yang mewah dengan telurnya.

Encik ketam yang telah menjadi mendiang didalam perutku. Serius, manisnya rasa ketam ni. Habis saya sapu bersih tangan dan kakinya. Semuanya enak, isinya gebu putih, manis rasanya. Fresh! Malamnya, kami adakan gala dinner, ada pakaian sedondon bagai. Saya dan suami, sangatlah sempoi. Kami cuma memilih warna merah. Sayangnya, anak-anak tertidur awal. Tiada gambar yang diambil.

Memandangkan masa tak berapa nak mengizinkan, saya biarkan sahaja gambar bercerita.

Ita yang kegembiraan menarik nombor bertuah

Ita dan Kak Noni, menerima hadiah

Kak Nani

Ina & Kak Nani

Saya dan Jiey

Jelingan manja Bang Long *Farid tergoda!* Auwww..

Agogo terima hadiah *bila nak amik pic je pakai spec itam. hahaha*

Shah & Zali *macam tengah serah projek je*

Ieyda & Aiman *bulatnya mata sayang*

Pasangan sedondon *Nabila tengah Zzzz*

Ciuman kasih dari Abah Meg untuk Aiman

Pretty faces!

Olololo *post paling outstanding*

*Seniman jalanan kami*

agogo *MC kami*

Itulah kami, selepas tu juga, selaku koordinator, Ita dan Farid juga serahkan sijil suka suki untuk kami. Uhhh, sangat terharu. Then, ada lagi amik-amik gambar dengan pasangan masing-masing. Sayang sungguh, kameraku dah kong. Nak tak nak, kami kena curik gambar dari Shah dan Zura nanti.

Kami semua berterima kasih dipertemukan, dan kami semua ingin sekali memberitahu semua, andaikata kalian dikurniakan anak istimewa, jangan disangka kita ditimpa bala. Pandang dan lihat dari perspektif yang berbeza. Saya sendiri tidak menyangka dengan dikurniakan Idris seistimewa ini, saya dipertemukan mereka yang berjuang dilandasan yang sama.

"I trust that everything happens for a reason, even when we're not wise enough to see it." - Oprah Winfrey

Terapi cara kerja dan perkembangan terbaru


Sudah lama saya tidak menulis mengenai perkembangan Idris. Terlalu banyak ingin saya kongsikan, tetapi masa sering kali membataskan. Minggu lalu, saya membawa Idris menghadiri sesi terapi cara kerja di Hospital Putrajaya. Kali ini memandangkan moodnya baik, Kak Wan meletakkan dia didalam 'robot' ini dahulu.

'si robot' sedang termenung panjang bila 'didera' begini

Makin lama, makin senget

Bila saya intai, ini rupanya

Moody!

Mengantuk!

Nak suntik si abang jadi ceria, saya panggilkan 'dayang' kesayangannya. Pantang si adik tak ada didepan mata, tak henti-henti mulut si abang memanggil 'obiya, obiya, obiya'.

Si Sophia yang teringin nak jadi robot macam abangnya

Sophia on the mark, get set...

Go!

Memang saya sering membawa Sophia ke semua terapi Idris. Saya mahu dia melihat sendiri bahawa abangnya berbeza darinya. Saya mahu tanamkan dalam diri Sophia, bahawa abangnya tidak sepertinya. Tapi, saya terpaksa melayan karenahnya yang semua ingin tahu dan mencuba itu. Lihat saja pada keletah ini, aksi orang boring menemani abangnya.


Selepas Idris diturunkan dari 'robot'nya, barulah sesi dengan Wan bermula sepenuhnya. Kali ini, Wan sengaja memasang muzik Beethoven untuk Idris. Tatkala telinganya mendengar alunan muzik sahaja, dia sesungguhnya tersangatlah 'lara' dan saya sengaja membiarkan dia untuk seketika, biar Idris cari mood dia dulu.

Tengah 'lara' dalam keseronokan Beethoven

Dan, buat pertama kalinya dalam tempoh masa hampir 2 tahun saya membawa Idris ke sini, hari ini barulah buat pertama kalinya dia memegang bola itu. Beberapa kali saya ulangi, give Mama the blue ball, dan tangan kecil itu 3 kali menghulurkannya kepada saya :)

Al-hamdulillah!

Dan ini, apabila Idris rupanya 'boleh' bermain throw and catch ball rupanya. Saya sangat terkagum kerana posisi Idris duduk begitu tegak dan stabil.

Al-hamdulillah! Hanya itu yang saya ucapkan. Idris, lebih banyak kemajuan yer sayang :)