Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

31/03/2010

Adik yang prihatin.

Dalam doa saya sehari-hari, sentiasa saya selitkan agar Sophia akan sentiasa menjadi seorang adik yang bertimbang rasa dan sabar dengan kerenah abangnya. Setiap apa yang berlaku, saya tunjukkan contoh-contoh agar Sophia faham dia perlu lebih bertoleransi dengan abangnya. Anak adalah acuan kita, bagaimana dia dilayan, begitulah hasil yang terbentuk.

Sengaja saya ingin berkongsi kisah Sophia yang sungguh prihatin terhadap Idris. Sesekali hati saya tersentuh melihat anak berusia 14 bulan ini mampu bertimbang rasa akan abangnya. Suatu hari, saya membiarkan Sophia dan Idris menonton Upin dan Ipin. Sophia duduk tegak manakala si abangnya terguling-guling. Sesekali mata Idris menjeling TV dihadapan dan sesekali dia membuat kerjanya sendiri. Sophia pula kusyuk, langsung tidak berganjak.

Tiba-tiba, si Idris berguling-guling dan datang melanggarnya yang sedang duduk. Sophia terbalik ke sebelah kiri. Namun tiada tangisan. Dia sekadar bangun dengan lemah lembut dan mengangkat kaki Idris yang menendang badannya tadi. Tiada tangisan, tiada rengekan. Ibarat seorang kakak yang sedang bertolak ansur dengan adiknya. Emosi saya *syahdu*

Begitu juga tatkala saya membawa Idris mendapatkan rawatan Kak Raw. Apabila usai dibungkus, diwaktu tengahari terik dengan cuaca panas, Idris memang tidak tahan dengan kepanasan. Idris menangis, tidak selesa. Pipinya yang tulus mulus berubah warna kemerahan. Saya letakkan Idris di standing frame, dan sedaya upaya menenangkannya. Tiba-tiba si adik dan memegang lengan abangnya dan menciumnya berkali-kali. Saya lihat Sophia bersungguh-sungguh mencium. Mungkin kerana setiap kali dia menangis, saya akan datang dan menciumnya.
Si abang tenang selepas dicium oleh si adik

Dan semalam, satu lagi scene yang menyentuh kalbu. Semalam saya sengaja memadam lampu awal, minta mereka-mereka tidur lebih awal. Idris sudah tergolek-golek, dalam posisi ingin lena tetapi masih tidak berjaya. Saya pasangkan lagu instrumental, tetapi Idris menangis marah-marah. Kemudian si adik itu mengambil Rhyme Story telling, buku yang disediakan dengan lagu kanak-kanak. Saya perhatikan saya dia duduk disebelah Idris dan menukar helaian buku tersebut apabila setiap lagu habis berkumandang. Dia tekun melakukan benda yang sama sehinggalah Idris tertidur!

Dalam hati, saya kagum dengan kebolehan Sophia. Sangat observance. Dia tahu apa kesukaan Idris, apa yang Idris suka dan tidak suka malah dia juga seorang yang peka. Al-hamdulillah semoga kerukunan dan ketaatan sang adik pada abangnya akan kekal sampai bila-bila.

Terima kasih sayang di atas satu pengertian

29/03/2010

Janji dia, insya Allah, suatu hari nanti.

Sering saya ceritakan disini, sedikit sebanyak perkembangan Idris bergantung kepada minatnya yang mendalam kepada lagu-lagu nyanyian FT. Sedikit sebanyak minat ini bercambah dari minat mamanya kepada penyanyi ini sejak dari zaman OIAM lagi, dari zaman dimana ramai yang masih belum mengenali siapa itu FT. Didalam entry-entry yang sebelum ini juga, saya pernah bercerita bagaimana anak sukar diramal seperti Idris dapat dipujuk dan ditarik minatnya didalam sesi physioteraphy dengan hanya mendendangkan lagu FT. Malah, sewaktu tangisnya tiba-tiba tidak dapa dibendung juga hanya suara FT dalam lagu-lagunya yang dapat ditenangkan.

Ajaib, bukan? Memandang kecenderungannya kepada FT, sudah saya sampaikan cerita ini kepada tuan empunya badan. Saya tidak tahu sejauh mana dia mengetahui mengenai Idris, tetapi petang tadi apabila saya berkesempatan berborak beramai-ramai dengannya di chatterbox RC, saya tahu nama Idris terpahat didalam hatinya. Tak banyak, sedikit pun jadilah. Janji saya suatu hari nanti, saya akan dapat membawanya bertemu FT yang sedikit sebanyak memberi inspirasi kepadanya.

Klik pada gambar untuk imej yang lebih besar


27/03/2010

My Date Night

Yeay!
Baca sipnopsis dari Nuffnang dah buat macam nak jerit *nak pergi tengok* nak pergi tengok* Nak menang 2 passes nak tengok dengan Encik Bubu sayang~* |dan-dan tambah sayang kat belakang|

Nuffang minta tulis Most Memorable Date yang pernah saya alami. Huhuhu, ini suka ni buat karangan ceritera chenta begini. Kalau nak tulissemua, banyak sangat. Berjimba ramba dengan Encik Bubu. Dahulu, waktu zaman muda-muda remaja, zaman saya yang telah menjadi isteri dan bukannya seorang ibu *maklumlah 3 tahun kahwin baru dapat Idris* saban minggu saya ke Kuantan. Waktu itu saya bekerja di KUSTEM. Malam jumaat sahaja, kami pun bergerak la ke Kuantan. Masa tu naik kereta kancil putih je WGE352. Hahahaha~*

Siap check-in bagai *al-maklumlah, masa tu dalam mood honeymoon sokmo* Kos kami dating lebih mahal dari harga tiket doh. Nak buat macam mana, Terengganu masa tu takde cinema. Kelantan pun takde. Sadis kan. Ada satu kali, Encik Bubu reserved tiket 2 minggu lebih awal. Tahu nak tengok cerita apa? Cerita Star Wars Episode 3: Revenge Of The Sith dalam tahun 2005. Kami balik awal dari kerja, meredah jem perjalanan selama 3-4 jam dari Kuala Terengganu ke Kuantan demi Star Wars.

Kami sangat teruja sebab kami memang ada semua koleksi Star Wars. Encik Bubu terutamanya yang sanggup memandu jauh-jauh dan sanggup berhabis sakan dengan janji dapat berdating dengan saya sambil menonton. Oh, our date night sangat seronok tambahan pula diserikan lagi dengan acara jalan-jalan cari makan di sekitar Kuantan. Itulah jawabnya kenapa kami 'secomel' ini hari ini. Tapi mengenangkan susahnya those days kami nak menonton, yang menjadikan kami sememangnya menghargai Nuffnang kalau dapat kasi 2 tiket ni untuk kami. Harapnya dapat dan bolehlah berjimba ramba lagi sekali dengan Encik Bubuku :D

26/03/2010

Apabila Idris bersuara..

Riuh rumah saya dengan suara Idris. Indah. Bunyi inilah yang sering saya igaukan. Apabila saya pulang ke pejabat, Idris akan tersenyum manis. Sepenuh daya usaha, dia akan berguling dan bangun duduk dengan caranya tersendiri datang menghampiri saya. Apabila hampir pada saya, Idris akan suakan mukanya. Minta saya cium pipinya dan saya tidak pernah gagal berbuat begitu padanya. Saya tidak gagal memujinya 'pandai anak mama' dan 'mama sayang lope'. Reaksinya akan tersenyum kegirangan.

Perkataan yang sering Idris tuturkan:

Abah/Bah = Abah
Ma /mama = Mama
Obiya/Pia= Sophia
Adabik= Bibik
Gedebah/pediabah= apa dia abah?
Pediama= apa dia mama?
Eh~pedia-pedia-pediama= eh, apa dia? apa dia mama?
Goboy= good boy
Naka-naka= nakal

Dan ini, untuk Megat Idris Naquiyuddin.

Hari ini, saya ingin menulis sesuatu untuk Idris. Abaikan perasaan dia tidak faham, kerana ini yang ingin saya benar-benar sampaikan kepadanya.

Anak Mama Lope,

Mama gembira bila Lope berbual dengan Mama. Walau tak semua yang Lope bualkan Mama boleh tangkap maksudnya, tetapi Mama bangga dengan Lope. Sekurang-kurangnya, ada komunikasi antara kita. Jika dulu, setiap kali Mama berbual dengan Lope, Lope lebih cenderung memandang dinding, kini Mama tahu, anak Mama lebih gemar memandang mata Mama. Selalu Mama cakap, didalam mata Mama, ada kasih sayang untuk Idris yang tidak pernah surut. Dan sekarang, tiap kali Mama memanggil Lope, mata Lope akan memandang terus ke mata Mama. Lope sudah ketemu kasih sayang itu, kan?

Kadang kala, apabila Mama sedang bercerita tentang kesedihan, Mama lihat Lope ketawa mengekek-kekek. Mama tahu, Lope tidak tahu hujung pangkalnya cerita Mama, tetapi gelak tawa Lope meredakan kesedihan Mama. Seringkali kesedihan Mama ibarat dihalau pergi apabila suara ketawa Lope memenuhi ruang hati. Kini, rumah kita dipenuhi dengan suara dan gelak tawa Lope. Mama bersyukur. Rumah Mama tidak sunyi lagi. Paduan suara Lope dan Phia sungguh menghiburkan.

Mama mengharapkan lebih banyak lagi perkataan yang akan Lope lontarkan. Walau sebijak mana sekalipun teori manusia, doktor-doktor pakar perubatan mengandaikan tentang masa depan Lope, Mama tidak lupa Allah adalah segalanya. Pesan Mama, Lope janganlah berputus asa. Mama akan selalu ada untuk Lope.

Salam sayang selalu,
Mama

p/s: dalam doa saya, semoga segala catatan my.little.secret akan dibaca semula oleh Idris suatu masa nanti. tolong doa-doakan yer :)

Hadiah kedua dari Faizal Tahir untuk Idris :)

Saya hadir ke Majlis Pelancaran Hi-Speed Broadband oleh TM dua hari lalu di Dataran Merdeka. Saya hadir kerana dimaklumkan sebagai pemenang untuk acara 'Meet and Greet' Faizal Tahir. Menarik bukan? Jadi saya kesana dengan beberapa orang RCs. Sungguh pun walau kali pertama saya bertemu dengan beberapa orang dari mereka, mereka sungguh ramah tamah. Lama penantian saya kali ini untuk bertemu Faizal dan peluang yang terbuka ini memberikan saya ruang dan peluang untuk berborak dan saling mengenali antara satu sama lain.

Eta dan Liza adalah GPS saya untuk sesi kali ini. Sungguh senang arah pemanduan saya dari Putrajaya ke Dataran Merdeka dengan adanya mereka. Ini merupakan kali pertama kami bertemu dan kerana persamaan kami pada benda yang sama, keserasian sungguh senang kami temui.

Sepatutnya gambar ini tidak ditandatangani oleh Faizal. Masa yang suntuk diberikan untuk kami membantutkan segalanya. Hanya 1 CD saya ditandatangani olehnya. Seterusnya, PA Faizal tergesa-gesa minta dia beredar. Sungguh saya hampa apabila Faizal berkata 'Sorry, I dah kena naik stage' sambil merapatkan kedua-dua tangannya meminta maaf. Saya hampa. Saya pandang ke dalam matanya dan berkata 'Please Faizal, this is for my son' sambil menarik gambar Idris. Terpandang sepintas wajah Idris, dia menarik gambar dan marker pen dari tangan saya. Faizal kembali duduk dan menandatangani gambar ini, semata-mata untuk Idris. Terima kasih Faizal kerana tidak menghampakan. Ini adalah autograf kedua darinya untuk Idris. Dipertemuan kali ini juga, saya titipkan sesuatu untuk Faizal, sesuatu yang berharga untuk Idris saya kira. Usah ditanya apa yang diutuskan kerana saya tidak mahu ianya dikongsi disini. Ianya agak personal.

Titipan Idris buat Faizal

|through the pain| all my fears| all the tears|you were the one there|had my loss|had my gains|had it all|you made me stand tall|like a rock we are|you are the hope|i am the FAITH| |we’ll be forever|through all the sun and rain that comes|

I thank you~for inspiring Idris this far!

Tanggal 25 Mac 2010



Sepanjang hari di pejabat, saya memandang angka 25. Setiap kali mata saya memandang ke arah organizer saya, seperti ada sesuatu menarik-narik minat saya pada angka 25 Mac. Ada apa ya? Saya tercari-cari dan terasa keganjilannya. Pulang ke rumah, saya bersantai bersama Idris dan Sophia. Cik juga disisi, sambil itu saya melayan FB melalui handphone, terpandang suatu status teman mengucapkan hari lahir buat seseorang, dan saya pandang wajah Cik yang berada disisi sambil kusyuk menonton Na-o-me di TV3.

Hari ni birthday Cik la.. ya ampun!
Macam mana saya boleh lupa?


Sebelum ini, saya ada berura-ura ingin mengadakan kejutan sekiranya Cik tidak kemari. Saya ingin mengambil cuti pada 25 Mac dan pulang sahaja sendirian ke rumah kami di Kelantan. Tetapi, hari ini Cik disini bersama saya. Encik Bubu apabila diberitahu hari ini birthday Cik, terus mengajak Cik makan diluar. Pada mulanya saya juga tidak tahu kemana ingin dibawa, rupanya dia membawa Cik kesini...


Sepanjang perjalanan, jenuh Cik tanya nak makan dimana tetapi Encik Bubu senyum je. Cik kata dia hampir terlupa akan hari ini. Ish, manakan mungkin Cik? Kami makan-makan seperti biasa sahaja, saya ltertarik dengan menu buffet memandangkan hidangan seafood yang pelbagai sungguh menarik jiwa dan selera manakala Cik selaku birthday granny mengambil buffet dan memesan a la carte. Barulah berbaloikan jadi yang dirai :)

Sempena hari lahir Cik kali ini, sengaja saya tidak mahu mengumumkan berapa tahun usia Cik, tetapi sepanjang saya bergelar anak, kasih sayang Cik untuk saya sungguh sempurna. Terima kasih Cik di atas kasih sayang yang tidak bertepi, tanpa jemu dan tiada tara. Kasih ibu membawa ke syurga. Kasih ibu menjadikan hidup seorang anak itu sempurna dan kasih ibu adalah segalanya.

Banyak saya belajar dari Cik. Erti sebuah ketabahan, erti setia seorang isteri dan definasi anak yang baik juga menantu. Walau seperit mana untuk dinilai, Cik cenderung mengajar saya dengan sebuah pengalaman miliknya yang banyak menjadikan saya seorang anak yang cekal. Perjalanan hidup Cik sebagai seorang isteri, seorang anak, seorang ibu juga seorang menantu banyak memberi inspirasi buat saya.

Selamat hari lahir Cik. Sayang selalu tiada bertepi. Terima kasih kerana memberikan sebuah kasih sayang yang membuatkan Sue seperti hari ini.

Ja'dore - token kasih sayang saya untuk Cik

23/03/2010

Berdiri. Sendiri. Tinggi.


Harapnya ruang ini tidak bersawang :P

Rindu untuk menulis. Banyak yang ingin berkongsi. Masa yang terbatas membuatkan saya menyepi. Badan sering kepenatan. Banyak tuntutan yang memerlukan perhatian terutamanya Idris dan Sophia. Tidak dilupakan Encik Bubu kesayangan.

Minggu lalu, saya diberikan satu anugerah yang sangat mahal harganya. Jika menjadi ibu kepada Sophia, saya cuma memerlukan 8 bulan sahaja untuk melihat dia berdiri tegak, tetapi untuk anak seistimewa Idris, masa itu menjadi panjang. Tempoh 2 tahun 11 bulan menjadi ibu kepadanya, akhirnya segala usaha, doa dan kerja keras Idris berbayar.

Idris kini berdiri
walau berdirinya perlu bersandar, saya tetap iktiraf Idris berdiri


Walau tidak setegak tentera yang menerima arahan, tetapi Idris berdiri, walau masih bersandar. Saya positif, Idris boleh berdiri, Idris boleh berjalan, Idris boleh bercakap, Idris boleh sahaja seperti anak-anak lain. Apa yang membezakannya cuma adalah masa.

Saya gembira. Saya peluk Encik Bubu sewaktu kali pertama Idris mampu menahan badannya bersandar, dengan kakinya sendiri. Saya tersenyum, hati girang seperti saya baru sahaja bertemu kekasih hati, wajah berseri dengan senyuman yang sememangnya datang dari hati. Lantas saya bercerita dengan Cik, yang sewaktu itu di Kelantan.

"Cik,Idris dah boleh berdiri, sebenarnya baru bersandar dan, bla bla bla," dari suara Cik, saya juga yakin, dia juga gembira dan teruja dengan cerita saya ini.

"Cik pun rasa nak tengok Idris berdiri. Belikan Cik flight tix,"dan, sepantas kilat, saya menunaikannya, dan inilah rupanya apabila nenda bertemu cucunda yang baru pandai berdiri di atas kaki sendiri.

Cik yang nak tengok sangat Idris berdiri, sambil dibantu oleh Wan Yong. Tengok air muka Idris yang ceria bila Cik ada bersama, cucu yang manja, ok?

Bercerita dan bercerita dengan Cik, tanpa jemu. Senyuman sentiasa menghiasi wajah.

Senyum!

'You know what Cik, let me tell you a story about a hand...' Idris sedang berlipur lara

Memandang kecerdasan dan kesungguhan Idris cuba berdiri sendiri, dalam sehabis daya dan usaha membuatkan hati Cik bulat ingin mengikut kami ke rumah Kak Raw keesokkannya. Saya kegembiraan kerana buat pertama kalinya Cik kental bersetuju. Sebelum ini Cik tidak sampai hati, sayu katanya memandang wajah-wajah comel itu dibaluti ibarat mummia. Cik tidak sanggup mendengar tangis merintih merayu mohon dibuka balutan di seluruh badan kecil mereka. Saya sendiri, sebagai ibu, menitis air mata memandang Idris diperlaku begitu, tambahan pula, saya tidak berkasar dengannya. Namun, demi kebaikannya, saya akur dan rasa sayu itu kemas saya simpan dalam hati.


Menangis teresak-esak selepas dibalut badannya dengan bandage. Cik sedaya mungkin memujuk, agar hati sikecil tenang. Sayang yang disimbah tiada taranya. Jika hidupnya saya hari ini kerana suburnya kasih yang dibajai Cik, Idris lebih beruntung kerana lautan kasih sayang Cik padanya tidak bertepi.

Idris yang termakan pujuk dengan Cik bertenang seketika. Saya sibuk mengambil gambar. Bukan saya tidak kasihan, namun sejak dari kali pertama saya menjejakkan kaki ke pusat rawatan Kak Raw, saya sudah membuat ikrar pada diri ini, saya tidak akan sesekali menangisi Idris tatkala dia menjadi 'mat rempit insaf' begini.

Cekal saya kerana melarang air mata dari menitis. Membetulkan Idris yang sedang kepanasan berbungkus di waktu tengahari terik, di ruangan tanpa penghawa dingin. Mungkin kejam pada pandangan Idris, namun tidak pada saya. Segalanya untuk Idris.

Terima kasih Encik Bubu kerana meminjamkan kekuatan, dan semangat untuk kita sama-sama menunaikan tanggungjawab dan kasih sayang kita pada Idris. Idris adalah bukti cinta dan kasih sayang kita yang bersemi. Terima kasih Encik Bubu kerana bersama saya selalu, hari semakin hari, usia mematangkan kita dan Idris hadir membawa seribu satu kenangan indah dan pengajaran yang tidak dapat kita peroleh dari mana-mana.

Memandang sahaja gambar ini, saya kesayuan. Pelbagai interpritasi hadir didalam minda saya. Saya tidak ingin tuliskan disini, namun saya ngeri. Saya mahu anak ini kuat, bangkit berdiri dan belajar berjalan dan menguruskan diri. Saya mensasarkan agar Idris dapat berjalan dan bercakap di usia 5 tahun, jika lebih cepat, lebih bagus.

Tertidur kepenatan didalam kereta.

Tiba dirumah, Wan Yong sekeluarga dan Alang sekeluarga menanti Cik. Sesekali Cik ke rumah anak-anak, kami adik-beradik sering berebut-rebut mencari Cik, kalau boleh, ingin sekali dipotong 7 Cik :P Barulah kami adik beradik tidak merebut peluang yang terhad ini.

Saya yang membuka balutan selepas 4 jam dia dibungkus.

Peminat-peminat Idris yang menanti Idris dibuka balutannya

Upin dan Ipin *versi perempuan*

Dalam keriuhan ini, saya mendapat panggilan dari Ina yang mengajak kami ke terataknya. Faizal dan Kak Noni datang, meronta-ronta ingin turut serta. Rugi membiarkan peluang bersama 'keluarga' terlepas begitu sahaja. Pada Encik Bubu saya suarakan, namun adik-beradik yang datang penuh rumah ini, manakan bisa kami meninggalkan begitu sahaja?

Maaf Superkids' timing tak kena. TS insya Allah kami datang dengan jayanya.

19/03/2010

Berdiri diatas kaki sendiri

Sungguh tak sempat saya menulis, tetapi ingin sekali berkongsi gambar dibawah ini yang membuatkan hari-hari saya indah.

Mungkin pada orang lain, apa yang istimewanya. Tetapi jika ditanya kepada saya, berdiri di atas kaki sendiri adalah satu pencapaian terbaru Idris yang sungguh-sungguh-sungguh saya banggakan. *maaf, saya tak sempat nak berblogging lagi*

Aksi abang dan adik :)

15/03/2010

Cherry-berry ;)

Hari ini saya tidak ke pejabat. Anak dara saya tidak berapa enak badannya. 'cherry-berry' memanjang sejak jam 3 pagi. Saya jangkakan perubahan susu kepadanya yang menjadi begitu. Kesian anak kecil berusia 13 bulan ini. Ragam perutnya yang memerlukan saya menukar lampin hampir 30 minit sekali ini memang sungguh kasihan. Tiada lagi si aktif yang menjadi pembantu bibik mengemas didapur, juga tiada lagi penunggang wagon ini.

Wagon yang sepi 1 hari tanpa Phia

Mr. Dolphin juga boring sebab hanya Lope yang menendangnya hari ini

Yang ada, cumalah Sophia saya yang merengek dan minta saya dukung. Apabila saya bawanya ke klinik dan memberikan ubat untuk flush semula semua susu yang sudah diminum, Sophia nampak sedikit bertenaga. Serba salah saya jadinya apabila saya mendukung Sophia, Lope pula yang nyaring tangisnya kecemburuan. Apabila saya mendukung Lope, Sophia yang merengek tak sudah-sudah. Budak-budak ini langsung tidak mahu disentuh Bibik hari ini.

Dan, sehingga entry ini ditulis, Sophia is already back on track. Sudah larat membawa badannya 'mengemas' bilik Bibik dan sudah lincah tangan dan kakinya 'membantu' saya memasak didapur tadi.

Senyumanmu suatu azimat!

* cherry-berry : cirit birit ^-^

10/03/2010

Uh, ku cemburu!

Tak jemu rasanya untuk saya berkongsi cerita mengenai Sophia. Bagi saya, dia melengkapkan kegembiraan saya dan Encik Bubu, dan dia juga seorang icon yang berpengaruh untuk sang abang. Semenjak dua menjak ini, anak perempuan saya ini semakin banyak aksi dan ragamnya.

Terbaru, jangan tak percaya Phia begitu ingin menakluk diri saya hanya untuknya sahaja. Jika cemburu itu terbit apabila saya seronok bergurau atau mendukung Idris, itu saya sudah lali. Kali ini, cemburunya pada Encik Bubu sendiri.

Kes 1
Saya sedang menonton Buletin Utama dan Encik Bubu datang duduk disebelah dan meletakkan tangannya di atas bahu saya. Berlagak manja dengan suami, saya melentokkan kepala. Tiba-tiba, terdengar suara kecil yang merengek dan hampir menangis datang menghampiri sambil menolak-nolak Encik Bubu. Selagi saya tidak mengangkatnya dia menangis. Apabila diangkat dan diriba, tangan kecilnya pantas menolak tangan Encik Bubu yang melingkar di bahu saya. Selagi tidak dialihkan Abahnya, selagi itulah mulut kecil itu bising seperti membebel-bebel.



Kes 2
Encik Bubu sedang memandu, dan meminta saya menyuapkan minuman kepadanya seperti kebiasaan. Saya tanpa banyak menyuapkan Encik Bubu minum dengan sepenuh kasih sayang dan tiba-tiba terdengar teriak tangis orang yang cemburu.

Tersenyum simpul disebelah Abah, cuba kalau Mama yang dok macam tu dengan Abah, sure nanges!

05/03/2010

I like to Move it, move it!

Hujung minggu lepas kami tak kemana-mana. Berehat dan bersantai sahaja dirumah. Habis semua DVD kartun saya keluarkan. Jika dulu, saya lihat Idris tidak begitu menghargai DVD-DVD berkenaan, kini dia lebih peka. Daya fokusnya semakin meningkat. Pendengarannya juga sudah tahu mengenal lagu. Apabila lagu kegemarannya diputarkan, Idris akan tersenyum girang.

Tahun lalu, sewaktu saya sedang sarat mengandungkan Sophia, Idris pernah jatuh katil semasa melihat DVD ini. Saya ingatkan Idris serik tidak mahu mendengar dan menonton cerita ini lagi, namun saya silap. Sewaktu saya putarkan, nyanyian lagu Crazy Frog 'I Like To Move It, Move It' ini sudah dia senyum. Sophia pula sibuk-sibuk datang menghampiri dan ini saya sempat capture.

Kata Encik Bubu, rasanya sewaktu gambar ini diambil, Idris sedang bercerita mengenai keseronokan lagu itu, yang pernah didengarinya dahulu. Saya secara peribadinya menyukai gambar ini. Nampak seperti Idris sedang memberi nasihat buat si adiknya.

video

Dan apabila scene didalam video di atas keluar, inilah aksi Idris. Dia nyata kegembiraan dan ikut sama menari. Si Sophia juga turut sama meniru gaya abang. Baru saya tahu, mereka ini saling tiru meniru antara satu sama lain.

Sekurang-kurangnya, adalah sesuatu juga untuk saya apabila melihat Idris dan Sophia begini. Walau sebesar hama pun perkembangan positif mereka, saya tetap bangga. Kali ini, positifnya Idris kerana dia dapat menyalurkan rasa ingin menirunya seperti didalam klip video itu. Mungkin tidak 100% sama, tetapi jika selalunya dia cuma terbaring dan merenung sahaja kaca TV, tidakkah scene berjoget dengan Sophia ini hampir 200% saya rasakan kesyukurannya?

Aja-aja fighting Idris.

04/03/2010

Rasanya saya baru sahaja berlaku kejam terhadap Idris

OK, jangan buat tuduhan melulu ye, sila baca dahulu apa kisahnya.

Pertamanya, maaf Idris. Mama terpaksa buat macam tu sebab Mama tahu, anak Mama ni OK. Alkisahnya, semalam Idris dan Sophia tidur awal. Jam 10 malam mereka sudah di alam mimpi. Bagus bukan? Namun, ianya tidak berpanjangan kerana Sophia bangkit pada jam 1 pagi, sewaktu saya rasa baru sahaja saya memejamkan mata. Rupanya dia perlu diganti diaper dan minta susu. Itu kisah adiknya, apabila semuanya sudah diganti dan diisi, senang sahaja matanya terlelap. Saya juga sama memejam mata.

Jam 1.30 pagi, baru sahaja saya melelapkan mata, ada suara tangis lagi dihujung telinga. Saya celik mata dan kali ini giliran Idris pula. Saya bangkit dan tepuk-tepuk pahanya, agar dia kembali lelap namun tidak. Menangis lagi dan saya mendukungnya. Makin lama, saya tengok mata Idris makin bulat. Saya tukar diaper dan saya bancuhkan susu buatnya, namun dia menolak untuk minum. Apabila saya letakkan dia disebelah Sophia, dia merengek menangis. Lantas saya dukung kembali.

Dan saya terus mendukungnya hingga jam 3.00 pagi, namun dia tak mahu juga lelap. Badan saya semakin penat dan saya mula membuat rundingan dengan Idris. 'Lope, Mama ngantuk la. Esok Mama kena bangun pagi, Mama nak pergi klinik. Lepas tu, Mama kena kerja. Kalau Mama tak tido sekarang, nanti kesian Mama sakit. Lope tak kesian kat Mama?' dan Idris memandang saya dan berkata 'pedia Ma?' dan, saya teruskan lagi berunding dengannya.

Apabila saya yakin yang dia OK, tiada masalah sebenarnya untuk tidur melainkan mencari perhatian saya semata-mata, saya letakkan dia kembali ke sisi Sophia dan seperti diduga, tangisnya berhamburan. Kali ini saya membuat rundingan terakhir untuknya 'Mama dodoi kali ni, kalau Lope tak tidur jugak, Mama tak nak teman dah Lope tidur' dan saya mendodoikan selama setengah jam lagi. Jam 3.30 pagi, saya lihat matanya sudah layu dan saya labuhkan badannya buat kali ketiga disebelah Sophia, dan tangisnya memenuhi ruang lagi.

Haish anak! Kali ini Idris betul-betul mencabar kesabaran saya. Saya dukung dia, saya bawa masuk ke dalam bilik. Saya pastikan segala-galanya selamat, kipas dibuka, tiada kemungkinan untuk Idris tercedera dan saya meletakkan Idris sendirian di atas tilam gebu itu. 'Lope tidur sensorang la, Mama dah tak larat dah. Mama tahu Lope tak nak Mama dodoikan,' dan saya keluar. Saya tarik pintu, dan saya padam lampu.

Sah! Idris menangis. Saya berdiri didepan pintu, sayu rasa hati terpaksa membiarkan dia sendirian untuk tidur. Terasa diri cukup kejam memperlakukan Idris sebegitu. Saya berkira-kira jika 10 minit tangisnya tidak reda, saya akan mendodoikannya semula. Namun, tangisnya tidak lama. Tak sampai 5 minit, tangisnya tiada. Saya masuk perlahan-lahan dan saya intai Idris, rupanya sudah tertidur! Kesian memandang Idris yang tidur sendirian.

Maaflah Lope. Kadang-kadang, Mama terpaksa buat macam ni. Insya Allah, lama kelamaan Lope belajar macam mana nak bertolak ansur dengan Mama. Bukan Mama tak sayang Lope, tapi Mama juga perlu rehat.