Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

26/12/2010

1095 hari tanpanya disisi...

Setiap kali saya dilanda resah, disini saya akan bertapa. Disini akan saya menulis, meluahkan apa sahaja perasaan yang saya rasa namun tidak semuanya cerita yang saya tulis dari hati itu di akhirnya akan saya tekan "publish post". Kadang kala ada baiknya terapi penulisan saya ini saya simpankan sahaja didalam ruangan posting di my.little.secret.

Saya masih ingat dengan jelas, bagaimana hari-hari terakhir saya bersama arwah Aboh saya. Semuanya masih jelas, seperti baharu sahaja semalam saya kehilangannya. Waktu itu, saya sudah bertukar ke Putrajaya. Berkhidmat di sini. Sangat baru, baharu seminggu. Kali terakhir saya melawatnya adalah semasa Hari Krismas 2007. Waktu itu, semua adik beradik saya ada. Termasuklah bakal menantu waktu itu. Detik itu juga menemukan saya dengan Kak Suzie, isteri kepada Alang.

Saya masih ingat, sewaktu saya melangkah ke Hospital Putrajaya sebelah petangnya, saya melihat Aboh seperti tidak mahu berenggang dari Cik. Pantang Cik ghaib dari pandangan matanya, maka mulut Aboh akan bising mencari. Saya lihat Cik agak lesu, kerana seharian dia sendiri membersihkan diri Aboh. Padanya saya bertanya "bersihkan Aboh?" dan jawabnya Cik, hari ini dia mengelap seluruh badan tua Aboh, rambut Aboh dishampoo, janggut yang tumbuh meliar di dagu Aboh dicukurnya. Wajah bersih Aboh dibersihkan, malah kening Aboh juga ditrimkan. Sepuluh jemari tangan dan sepuluh jemari kaki Aboh juga Cik bersihkan.

Pendek kata, Aboh kelihatan sangat segak pada hari itu. Hari Natal pada tahun 2007. Apabila saya bawakan Megat Jr. saya bertanya padanya "Aboh ingat ni sape?" dia memandang seketika melihat bayi didalam kandungan saya, kemudian dengan muka agak marah dia menjawab "kenapa tak kenalnya, inikan Naquiyuddin, cucu Aboh!" Cik dan abang serta kakak yang berada disitu tergelakkan saya. Malah, saya juga.

Saya lihat, mata Aboh tidak berkalih memandang Cik, seperti satu kerunsingan ada dihatinya. Apabila Cik memandang ke arah Aboh, Cik tersenyum sambil menggosok lembut tangan Aboh dan berkata "jangan bimbang, Nah tak akan cari lain" waktu itu saya kebingungan. Namun, selepas Cik berkata begitu, Aboh tersenyum kelegaan. Waktu itu, saya cuma melihat satu scene yang penuh kasih sayang sahaja tanpa memikirkan mengapa Cik berkata begitu.

Esoknya, saya pergi ke pejabat seperti biasa. Waktu itu, hati dilanda gundah tatkala saya diberitakan Aboh di hantar ke ICU pada paginya. Gundah gulana itu membawa saya kepada memohon keluar dari pejabat. Saya tidak betah berada di pejabat apabila setiap saar hati saya memikirkan Aboh. Sebelum ini, Aboh pernah juga dimasukkan ke ICU, namun dengan kuasa Allah Yang Maha Berkuasa, Aboh masih ada untuk saya sehingga ke saat itu.

Tiba di ICU, saya lihat Nyah dan Andak ada disana. Waktu melawat, saya dibenarkan melihat Aboh, tetapi dia sudah tidak sedarkan diri. Kepalanya terkulai, badannya dipenuhi wayar-wayar yang bersambung ke mesin. Doktor menerangkan keadaan Aboh, juga sama seperti penerangan dari doktor sewaktu Aboh di masukkan ke ICU sebelum ini. Apabila saya melawatnya, saya sekadar berbisik memberitahu "Assalamualaikum Aboh. Sue ada kat sini. Sue tahu Aboh dengar suara Sue, get well soon" kemudian saya menggosok-gosok tangan Aboh. Tiba-tiba tangan itu bergerak, seperti menggengam tangan saya.

Terus saya bisikkan ke telinga Aboh "Terima kasih Aboh sebab jadi Aboh Sue. Sue minta maaf atas semua dosa dan silap Sue pada Aboh selama ni." Saya terdiam disitu. Saya memandang wajah Aboh, saya lihat nafasnya yang pasang dan surut. Dahinya saya cium. Suam badannya seperti menghantar satu sentuhan kasih sayang seorang ayah yang sampai ke hati saya. Selepas itu, kerana ada genangan di mata, saya kemudiannya keluar.

Rupanya, itu percakapan terakhir saya dan Aboh. Tanggal 26 Disember 2007, jam 11 malam, kami menerima panggilan dari ICU meminta kami datang. Sangka kami, doktor hanya ingin menerangkan mengenai keadaan Aboh. Cik bersama saya dan Encik Bubu tatkala itu. Apabila sampai, rupanya Aboh sedang bertarung dengan mautnya. Ayah Ngah berada disampingnya dan Nyah juga. Apabila jururawat dalam lingkungan 30 tahun itu tampil ke arah kami dengan berwajah sugul, terlintas di hati saya adakah Aboh sudah tiada. Namun tatkala dia berkata "Maaf Makcik, Pakcik dah takde.." saya dengar Cik mengucap panjang.

Nyah segera datang memeluk, dan suara Cik hilang dalam pelukan anaknya itu. Saya sendiri yang berdiri di sisi longlai rasa lututnya. Nasib Encik Bubu datang dan memeluk saya. Erat dan saya banjir dengan tangisan. Saya sempat melihat, disisi Aboh, doktor dan jururawat sedang sibuk mencatit waktu kepulangannya kepada Pencipta - 26/12/2007 @ 11.56 malam. Tiada perkataan yang dapat saya gambarkan perasaan saya tatkala itu. Sedih, pedih dan luluh bercampur menjadi satu.

Hari ini, tanggal 26 Disember 2010. Genap 3 tahun Aboh pergi, namun selama itu jiwa ini tidak pernah putus merinduinya dan saya yakin, sehingga ke akhir usia saya juga saya tidak akan berhenti merinduinya. Selain doa, tiada apa lagi yang mampu saya titipkan buat Aboh tersayang, yang ada cuma secebis kenangan dari seorang anak untuk ayahnya. Memori saya hanya menyimpan kenangan indah bersama sang ayah, dah hanya ini yang mampu saya lakukan untuk memastikan saya terus mengingati Aboh. Dan saya pasti, tanpa jemu, saya akan tetap titipkan tulisan kenangan ini, agar suatu hari nanti, apabila akan datang hari saya dimamah usia, tulisan ini akan mengingatkan saya kepada seorang ayah yang saya miliki yang tiada gantinya.

Al-Fatihah
Tuan Haji Megat Ramli bin Megat Adnan
12 Oktober 1942 - 26 Disember 2007

6 comments:

dYanah aMin said...

T_T..moga aboh kak put tenang di sana..al-fatihah

Syahida said...

Al Fatihah

ann @ hatiberbunga said...

al-fatihah..
moga beliau tenang di sana..

insan kerdil said...

terbina nya kenangan...bersama yang tersayang dan menyayangi...yang membenihkan segala rasa....yang ada ketika nya pabila tidak terbendung....tertumpah menjadi coretan serta air mata...

kepergian suatu nama yang akan dibawa...sehingga ke tanda tinggalan terakhir seorang anak....

berpisah di sini....semoga bertemu di sana kelak...atas nama suatu ikatan.....yang menjadi impian tiap yang berkasih sayang....

al-Fatihah....

ketentuan Allah adalah rahsia
Allah....

wallahu'alam...

ieda said...

kenangan bersama ibu bapa adalah suatu yg abadi..al fatihah buat arwah.

Syieda said...

terima ksih byk2 k.put atas entry ini..sy akan lbih mghrgai ibu & ayah sy smntra mrka msh ada di dunia ini..insyaAllah...al-Fatihah utk arwah Aboh Megat Ramli...