Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

30/11/2010

Masyarakat perlu dididik memahami golongan autistik

Sekadar ingin berkongsi satu cerita mengenai pengorbanan seorang ayah yang sanggup berhenti kerja demi membesarkan seorang anak autismenya.

Encik Bubu dan Megat Jr. - sekadar gambar hiasan :)

SEBAHAGIAN aksi Ahmad Ezham ketika ditemu bual bersama ayahnya, Syahrul Idham, baru-baru ini. Menerima kehadiran anak-anak istimewa dalam kehidupan merupakan satu cabaran bagi setiap ibu bapa dan keluarga.

Justeru, untuk merentasi cabaran pastilah memerlukan pengorbanan besar agar dapat memberikan hanya yang terbaik untuk anak itu. Begitu juga dengan bapa muda ini, Syahrul Idham Abd. Rahim, 36, yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga anak istimewanya, Ahmad Ezham, yang berusia 9 tahun.

Jika dilihat dari mata kasar, tiada apa yang kurang mengenai anak lelakinya itu. Tiada kecacatan yang ketara dan kekal dilihat dari pandangan mata. Namun, Ahmad Ezham sebenarnya dilahirkan sebagai anak autisme. Ibunya bernama Rosnani Jaafar, 34 tahun. Ahmad Ezham juga mempunyai seorang abang berusia 11 tahun, Hazuan Syah dan seorang adik perempuan berusia dua tahun, Aisyah Addina.

Menurut Syahrul Idham, dahulu dia bertugas selama 15 tahun di salah sebuah syarikat MNC terkemuka di Petaling Jaya. Namun atas kehadiran Ahmad Ezham, dia rela berhenti kerja agar dapat sentiasa dekat dengan anak kesayangannya itu.

''Implikasi ada anak OKU (orang kurang upaya) macam autisme ini memang memerlukan banyak pengorbanan kita sebagai ibu bapa mereka. Siapa yang nak jaga anak yang terlalu aktif. Macam anak sindrom down atau kecacatan lain orang akan nampak, tapi anak istimewa autisme orang tidak boleh kenal, kecuali sudah ada pengalaman dengan keadaan mereka itu,'' katanya.

Jelasnya, waktu awal kelahiran anaknya itu, dia seolah-olah tidak boleh terima keadaan itu. Tambahnya, Ahmad Ezham terlalu aktif dan lasak mengakibatkan dia terlalu letih, menjadikan dia tertekan, tidak boleh melakukan sebarang aktiviti, tidak boleh tidur malam yang mengakibatkan pada waktu siang dia akan keletihan dan tertidur di tempat kerja.

Walaupun begitu, Syahrul Idham tidak pernah mengabaikan kepentingan pendidikan kepada anaknya itu. Ketika berumur dua hingga tujuh tahun anaknya itu mengikuti aktiviti pembelajaran di NASOM (National Autisme Society of Malaysia) selain PDK (pendidikan dalam komuniti) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sekarang, anaknya bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.

''Kalau nak cerita mengenai aktifnya anak saya ini mungkin orang tidak akan percaya. Kalau pergi kenduri kahwin, kami tidak boleh lama takut anak saya mengganggu majlis. Dia pula suka buka baju. Kalau dibiarkan dia ke taman permainan pula pastinya budak-budak lain akan buli dia,'' katanya ketika di temui di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Bercerita lanjut bapa ini menerangkan, sejak dari peringkat bayi lagi, Ahmad Ezham mempunyai banyak kelainan daripada abang sulungnya yang dilahirkan normal.

''Sejak dari bayi lagi perkembangannya tidak normal. Agak lembab. Tidak aktif dan tiada eye contact dengan kami ketika bercakap dengannya. Pada tahun kedua dan ketiga, dia masih juga tidak boleh bercakap. Kami terus rujuk dia kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang mengesahkan anak saya ini autisme + ADHD (Attention Defisit Hyperactivity Disorder). Selain lasak dan terlalu aktif, anak saya ini juga selalu bercakap seorang diri tidak mengira tempat, masa dan keadaan. Kami juga tidak boleh alpa, kalau pergi mana-mana dia akan selalu 'hilang','' jelasnya.

Kata Syahrul Idham, bagi masyarakat yang tidak tahu, mereka selalu menganggap anaknya itu gila atau sedang bercakap dengan orang halus atau bunian atau kembarnya. Ada juga yang mencadangkan dirinya mengemukakan masalah ini kepada bomoh untuk dirawat. Bagaimanapun dari segi fakta jelasnya, kanak-kanak autisme bercakap seorang diri menerusi intrapersonal mereka. Mereka sebenarnya mempunyai dunia mereka yang tersendiri seolah-olah terasing yang tidak difahami oleh orang luar.

Sekiranya anaknya itu melakukan sesuatu yang 'tidak masuk akal' sama ada di tempat-tempat awam, dirinya sebagai bapa akan dipersalahkan kononnya tidak pandai mengajar dan mendidik anak. Sedangkan Syahrul Idham sendiri seboleh-bolehnya tidak mahu membataskan pergaulan anak-anaknya daripada masyarakat biasa.

Katanya, sampai sekarang pada waktu malam dirinya tidak boleh tidur dengan lena, kerana sentiasa bimbang dan was-was, memandangkan reaksi anaknya itu yang boleh di luar jangkaan.

''Pengalaman saya terbangun dari tidur melihat dia menghayun pisau atas kepala saya dan menabur serbuk perasa pada badan saya amat mengejutkan. Pernah sekali di pasar raya seorang jurujual memarahi saya kerana kononnya tidak pandai menjaga anak kerana kelakuan Ahmad Ezham yang tidak senang duduk,'' katanya.

Bagi Syahrul Idham, masyarakat berbuat demikian kerana mereka tidak sedar dan tidak tahu apa yang dialami anaknya itu kerana rupa paras autisme seperti mereka yang normal. Bagaimanapun dia berharap masyarakat dapat mengambil tahu maklumat sebenar mengenai apa itu autisme kerana kemungkinan besar mereka akan 'terjumpa' juga dengan kes-kes seperti ini satu hari nanti.

Ahmad Ezham menurut ayahnya, hanya akan duduk diam sekiranya dia berminat dengan sesuatu perkara. Dia juga boleh mengenal huruf atau perkataan dengan menghafal dan ralit dengan komputer dan permainan berbentuk elektronik lain. Namun sebagai bapa, tiada apa yang diingini oleh Syahrul Idham terhadap anaknya pada masa depan selain hanya berdoa anaknya itu akan mampu berdikari dan boleh menguruskan diri.

Syahrul Idham kini menceburi bidang insurans yang masanya lebih fleksibel bagi membolehkan dia mengambil dan menghantar anaknya itu ke sekolah. Manakala, isterinya pula membuka perniagaan kosmetik. Pengorbanan yang dilakukan oleh Syahrul Idham merupakan contoh terbaik bagi bapa yang sanggup menjaga anak istimewa mereka dengan kasih sayang tidak berbelah bagi.

Sesungguhnya kasih seorang bapa itu tidak bertepi.

Artikel ini diambil dari FB 'Kelab Anak Autisme' yang mana artikel asalnya ditulis oleh Rosmah Dain dari Berita Harian. Sumpah, apabila membaca kisah pengorbanan ibubapa dalam mendidik dan membesarkan anak autisma, setiap kali itu juga saya rasakan saya seperti diberi suntikan semangat yang baru. Membesarkan anak autisme bukanlah mudah. Saya sendiri, baru 3 tahun setengah menelusuri pengalaman berharga ini dan saya sendiri tidak tahu sudah berapa banyak kali saya hilang arah dan terduduk dan menangis. erana saya menangislah, saya rasa saya semakin kuat. Kerana saya melihat ketidaksempurnaan lah, maka saya menghargai setiap anugerah yang Allah beri. Masyarakat kita perlu dididik dalam mengenali dan menghargai anak-anak istimewa seperti autisme yang mana pada mata kasarnya kelihatan tidak ubah seperti anak-anak lain.

Masyarakat kita perlu dididik dan peranan ini perlu digalas oleh pelbagai pihak agar suatu masa nanti, apabila mata-mata memandang kepada wajah-wajah anak-anak istimewa ini, tiada lagi riak pelik, takut, hairan atau terkejut diwajah mereka. Kerana itulah juga, kenapa blog ini ditulis, selain ingin berkongsi pengetahuan mengenai anak istimewa, harapnya blog ini juga dapat sedikit sebanyak membantu mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat.

1 comment:

Min said...

setuju 200% dengan put, sekali lagi sistem pendidikan kita perlu dirombak untuk mementingkan nilai, akhlak dan menghargai sesama manusia serta perbezaan... bukan hanya 'exam oriented'... tetiba bersemangat!!!