Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

21/07/2010

Menjadi isteri dan ibu, catatan indah seorang wanita.

Minggu lalu saya kerinduan kerana meninggalkan anak-anak dan Encik Bubu di Putrajaya dan saya berterbangan ke Alor Setar. Tiap saat saya membayangkan mereka. Saya terfikirkan bagaimana Megat Jr. sewaktu ingin beradu apabila malam ingin melabuhkan tirainya, bagaimana adanya Puteri Jr. apabila sewaktu ingin lena, tiada tangan Mamanya yang menepuk manja menemani. Tipu jika saya tidak merindui kehadiran Encik Bubu kerana dia pelengkap saya. Encik Bubu tidak perlu mengungkapkan 'saya rindu awak' kerana dari senyuman, usikan dan perbualannya telah menggambarkan rasa hatinya. Terima kasih Encik Bubu, cinta tidak perlu dilafaz, cinta cuma perlu dirasai. Kasih dan sayang Encik Bubu saya rasai, penuh didalam hati saya.

Semalam menyaksikan gelaran ibu yang saya sandang diuji oleh Megat Jr. Tidak tahu dimana salah dan silapnya, Megat Jr. ingkar tidur. Rengekan manja dan tidak selesanya kedengaran tiap 10 minit. Saya pastikan dia tidak kehausan susu, saya pastikan lampinnya dalam keadaan kering dan saya juga pastikan dia tidak kepanasan namun segalanya tampak tidak kena pada si anak. Saya mendodoikannya, mendendangkan lagu-lagu kegemarannya, cuma 10 minit cuma bertahan dan tangisnya menghiasi lagi. Saya tukar kepada alunan zikruallah, saya bacakan ke telinganya al-fatihah, 3 qul dan bismillah 21 kali, dia diam seketika kemudian merengek lagi. Saya tidak jemu mendodoi, ke hulu dan ke hilir. Seketika dia berdiam, bila nampak dia sudah 'hanyut' saya cuba letakkan dia perlahan-lahan, namun tatkala badannya mencecah tilam, matanya bulat terbuka seiring dengan rengekan manja dan 'aksi ganas' kaki dan tangannya. Sudahnya, saya tidak lena sepanjang malam. Megat Jr. tidur didalam dakapan dan pangkuan saya hingga dinihari menampakkan wajahnya. Syukur juga kerana Puteri Jr. tidak terusik tidurnya.


Megat Jr. @ 13/04/2007

Inilah anak autisma saya, saya menerima kelainan yang ada padanya sebagai cabaran. Saya tidak marah dan saya tidak mengeluh. Janji saya sewaktu mula saya bergelar ibu, saya ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak saya. 8 bulan selepas bergelar ibu, tatkala doktor mengesahkan anak saya mempunyai kelainan dari anak-anak yang lain, saya terduduk namun saya berterima kasih kepada insan-insan disekeliling saya yang sangat mengasihani saya yang menjadikan saya kuat. Jika Megat Jr. seorang autisma, saya kini sepenuhnya bersedia 'menjadikan' diri saya seorang autisma juga. Jika dengan mencungkil mata, menepuk kepala dan mencucuk pipi adalah perkara yang mesti dilakukan oleh Megat Jr. maka saya sendiri akan sama-sama menyelam ke 'alam' anak saya berada. Memahaminya dan menjadikannya seorang yang terbaik suatu masa nanti.

Megat Jr. kini sudah mampu berdiri di atas lututnya. Sesekali, tangannya mencapai kerusi dihadapan dan dengan perlahan-lahan dia akan menolak tangannya menyokong badan untuk berdiri. Berdirinya tidak lama, cukup 3 saat sahaja, dia sudah tergolek terbalik. Pada mulanya, tangis menghias ruang rumah. Dia tahu, jatuh itu sakit. Tiada keseimbangan badan membuatkannya terbalik, menyembah lantai rumah. Namun, Megat Jr. gigih orangnya. Jika Puteri Jr. cuma perlu melihat beberapa kali sahaja bagaimana untuk berdiri sewaktu usianya mencecah 7 bulan, Megat Jr. memerlukan mungkin ratusan kali mengulang langkah yang sama. Sehingga ke hari ini, dia masih belum berjaya sepenuhnya. Namun saya bangga melihat usahanya.

Anak istimewa mempunyai kesungguhan dan kegigihan yang berlipat kali ganda berbanding anak biasa. Bukan kerana dia tidak ingin melakukannya, tetapi dia tidak mempunyai keupayaan untuk melakukannya. Saya bangga kerana anak saya yang berusia 3 tahun ini memilih untuk tidak berputus asa, mencuba dan mencuba.

Tak bisa berlari aku berjalan,

Tak bisa berjalan aku merangkak,

Tak bisa merangkak aku mengensot,

Perlahan-lahan aku kan sampai jua.

- Yakin, Art Fazil.

Manisnya momen menjadi ibu, lebih manis kerana saya terpilih mempunyai seorang anak istimewa. Sewaktu saya di Alor Setar, saya juga bangga berkongsi kisah mengenai Megat Jr. Jika boleh saya ingin semua tahu, mempunyai anak istimewa memberikan kita suatu kekuatan, memberikan kita peluang untuk belajar sesuatu yang baru setiap hari dan menjadikan hidup kita penuh dengan cabaran dan rintangan. Saya menerimanya dengan positif walau saya tahu, perjalanan saya hingga ke akhirnya tidak mudah. Laluan yang ada dihadapan saya, penuh berliku.

Lain pula pengalaman menjadi ibu kepada Puteri Jr. Semuanya saya rasakan seperti berlalu pantas. Saya tidak perlu mengajarnya bagaimana untuk duduk, berdiri malah berjalan dan bercakap. Semuanya berlaku secara semulajadi. Malah keupayaannya meniru gaya dan tiap bait patah kami sering mencuit hati. Dia menjadi apple of my eyes, menjadi harapan saya. Kepetahannya berbicara, kelincahannya menari dan keaktifannya menerokai setiap benda yang berlaku disekelilingnya memberikan saya satu pengalaman sempurna membesarkan anak-anak. Lahir dari rahim yang sama namun berbeza keupayaan dan kemampuannya.

Menjadi seorang isteri, merupakan fasa yang terindah dalam kehidupan seorang wanita. Memenuhi tuntutan agama dan lumrah hidup manusia. Melengkapkan diantara satu sama lain. Apabila menjadi isteri, suami adalah syurga kita. Suka atau tidak, kata-kata suami adalah undang-undang. Isteri bukan hak milik, tetapi anugerah untuk suami sayangi dan bimbingi. Sudah 6 tahun saya hidup bersama Encik Bubu, banyak suka duka saya lalui bersamanya dan saya mengharapkan kasih sayang kami dipanjangkan hingga ke penghujungnya. Menjadi isteri perlu taat dan setia. Menjadi isteri bukanlah berkisar mengenai keseronokan semata-mata tetapi tanggungjawab dan keikhlasan. Terima kasih Encik Bubu kerana memberikan pengalaman yang tidak pernah saya kecapi sebelum ini.

Menjadi ibu, membuatkan saya memahami kasih sayang tanpa syarat. Kasih seorang ibu membawa ke syurga. Kasih seorang ibu tiada nilai taranya dan kini saya memahami bagaimana rasa Cik menjadi ibu kepada kami 8 beradik. Saya bangga dengan harta yang saya miliki hari ini. Merekalah pelaburan yang tak ternilai saya pernah miliki, dan saya akan menjalankan tanggungjawab saya sebaik mungkin walau ianya menuntut pengorbanan nyawa sekalipun. Saya ingin sebolehnya merakamkan setiap perjalanan saya menjadi seorang ibu dirakamkan di my.little.secret kerana saya tidak tahu berapa lama mereka dipinjamkan kepada saya. Saya mengharapkan selamanya, tetapi Allah menentukan segalanya. Saya ingin my.little.secret menjadi tempat anak-anak saya suatu masa nanti membaca tulisan hati mamanya.

dan, menjadi ibu kepada anak istimewa adalah anugerah terindah pernah saya perolehi. Megat Jr. is the best thing ever happened to me.