Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

08/06/2010

Apabila Megat Jr. tidak mahu tidur...

Sudah beberapa malam saya menghadapi masalah yang sama. Apabila malam tiba sahaja, Megat Jr. saya akan mulalah mengalunkan irama jerit tangisnya yang tersendiri. Saya tidak salahkan dia sekiranya dia tidak selesa semasa cuaca panas, tetapi jika sebaliknya? Mungkin dia inginkan perhatian saya. Aduhai anak, ragammu sungguh mencabar keibuanku.

Tanak tido!

Dua malam terdahulu, Megat Jr. meragam mahu tidur. Kala itu, Yong dan anak-anak bermalam di rumah kami, saya andaikan mungkin kerana dia tidak selesa dengan abang-abang sepupunya yang bising-bising, dia sengaja mahu protes. Ambil jalan senang, saya ajak Bibik dan Puteri Jr. lalu saya dukung Megat Jr. ke kereta dan saya bawa mereka meronda satu Putrajaya hari itu. Megat Jr. hanya terlelap apabila saya memasang lagu Semesta. Apabila saya lihat dia terlena, saya ingin membawanya turun tapi jangkaan saya meleset kerana dia akan meraung dan mengamuk sekali lagi. Nak tak nak, saya dodoikan dia sekali lagi dan kami hanya berjaya keluar dari kereta setelah sejam setengah selepas itu.

Semalam, Megat Jr. melebarkan sayapnya lagi. Kali ini, semuanya elok. Tiada cuaca panas, tiada bunyi bising, tiada gangguan dari sesiapa pun memandangkan Puteri Jr. telah lama terlelap. Tiba-tiba, dia menangis. Mulanya perlahan, lama-lama makin nyaring. Bibik datang sambil bertanya "Nape Lope? Susu sudah, pampers sudah.." dan sang anak terus-terus menangis tanpa mengendahkan pertanyaan Bibik. Melihat dia seperti ingin perhatian saya, saya ambil alih mendukung dan mendodoi dia. 10 minit kemudian, saya lihat Megat Jr. sudah lena. Wajahnya nampak kepenatan.

Perlahan-lahan, saya betulkan bantalnya. Apabila badannya mencecah sahaja tilam, matanya lantas terbuka dengan muzik iringan dari mulutnya nyaring menangis lagi. Aduhai sayang, nak tak nak saya kembali mendukung dan mendodoi hingga dia kembali terlena. Hampir empat kali cubaan, barulah Megat Jr. tidur. Waktu itu jam sudah mencecah angka 1 pagi. Saya seterusnya baring disebelah dia. Saya perhatikan Puteri Jr. pulas tidur. Penat sungguh kerana aktiviti siang harinya memang padat dengan aktiviti meneroka, belajar dan bermain. Jam 3 pagi, sekali lagi dia menangis. Kali ini, saya dukung dan dodoikan dia.

Megat Jr. masih terus menangis. Lalu saya buatkan susu untuknya, pampers juga saya salinkan dan dia masih terus-terus mahu menangis. Saya jeling jam sudah 4 pagi, saya perlu tidur. Esok saya perlu bekerja seharian. Mahu tidak mahu, saya ketuk pintu bilik Bibik dan saya minta dia tolong tengok-tengokkan Megat Jr. Ada juga terasa bersalah mengganggu waktu tidur Bibik namun apakan daya? Saya perlu tidur atau esoknya saya yang akan terhuyung hayang di pejabat kerana mengantuk.

Sekadar ingin berkongsi, ada tak tips untuk tidurkan anak selain jangan kasi dia tidur terlalu banyak di waktu siangnya? Sangat menghargai jika ada yang ingin berkongsi, teruatamanya jika anak anda adalah seorang anak autistik.

p/s: Al-fatihah buat Alanna Qish.

No comments: