Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

07/06/2010

Alanna Qish, dia dihati saya... selalu!

Dalam hati masih rawan, masih bersisa akan ingatan untuknya. Saya masih terbayang wajah tulus mulusnya sewaktu sejam pertama rohnya meninggalkan jasad si kecil ini.

Alanna Qish @ 05/06/10 7 jam sebelum 'pulang' kepadaNya

Terkesan saya pada pertemuan terakhir, keinginan saya yang melampau ingin merakamkan gambar dia. Hasrat saya tercapai apabila Ayu dan Syarul tidak keberatan. Saya juga menggesa Ayu untuk turut sama bergambar. Nadim juga saya paksa, dan akhirnya satu keluarga itu saya rakamkan momen mereka. Tatkala saya melihat Alanna, saya gembira. Lain benar nampaknya. Alanna kelihatan lebih bertenaga berbanding dia yang saya lihat di hospital hari terdahulunya. Masih jelas kelihatan kesukaran untuk dia bernafas, namun si cilik yang kental ini masih terus berjuang untuk hidupnya. Alanna juga tampak seperti 'gembira' berada dirumahnya. Hikmah, bukan?

"Alanna nampak seperti masih menunggu.." saya masih ingat Syarul berkata. Saya sendiri mengakui, seperti masih ada yang tersekat. Saya perhatikan Syarul membelai lembut ubun-ubun kepalanya. Saya lihat mata Alanna seperti tertutup, aman dengan sentuhan kasih sang ayah. Sungguh berhati-hati Syarul membelai kepala si puterinya. Apabila tiba-tiba tangannya terangkat, saya agak panik. "Batuklah ni.." ujar Ayu pula sambil membantu Alanna yangs sedaya upaya cuba batuk. Saya dipagut sayu, melihat kepayahan dia untuk batuk, saya dapat rasai kesengsaraan anak kecil ini. Tangan saya juga membelai-belai lengan kecilnya. Sungguh saya tak mampu melihat. Jika bisa bertukar tempat, ingin sekali saya yang mengganti. Jika tak semua pun, separuh pun saya sanggup. Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mengetahui. Saya yakin Dia ada agenda tersendiri menguji Alanna Qish sejauh ini.

Sesekali meleleh cecair dari hidung dan bibirnya yang terbuka sedikit. Saya lap bibirnya, dan apabila tiba masanya, Ayu sendiri melakukan suction, penuh hati-hati dan kasih sayang. Dan, saya sekali lagi tenggelam dalam rawan melihat berkerut wajah Alanna menahan kepedihan. Sungguh kuat puteri cilik ini. Saya kini mengerti kekuatan yang ada pada Syarul dan Ayu datangnya dari Alanna Qish. Ikutkan rasa, tak ingin saya melangkah pulang petang itu. Ina, Zali, Abang Long dan Ita juga akan ke mari petang nanti, namun memikirkan Idris dan Sophia di rumah, saya tahu saya perlu pulang. Waktu itu, saya lihat Alanna yang terbaring selesa, tenang.

Saya hampiri Alanna, saya belai lengan dan saya kucup dahi dan pipinya. Di telinga itu, saya bisikkan "Alanna, Mama Put balik dulu. Alanna anak yang kuat, Alanna anak yang baik, esok Mama Put datang lagi. Mama Put sayang Alanna.." dan, kata-kata itu terhenti disitu kerana mata saya berat dengan genangan air mata yang bertakung. Saya sendiri pada tika itu tidak pasti adakah masih ada esok untuk saya melihat sirna anak kecil ini. Anak ini benar menyentuh hati saya. Seterusnya, saya peluk Ayu erat. Saya berulang yakinkan padanya "Ayu dah buat yang terbaik untuk Alanna. Ayu dah jadi mummy paling baik untuk Alanna" dan, Alanna tahu itu. Ayu sungguh kuat, sungguh tabah. Dalam keadaan rawan sebegini Ayu masih tersenyum, masih boleh bergelak ketawa dengan tetamunya.

Waktu pulang, dalam fikiran masih terlihat dilayar fikiran apabila Syarul membelai lembut ubun kepala Alanna. Saya nampak keselesaan padanya, saya nampak bagaimana Alanna mendambakan belaian itu. "Nanti, bila Alanna 'pergi', KakPut rasa dalam dukungan daddynya," tiba-tiba saya berkata begitu pada Afza dan Fahi yang menemani saya. Saya tahu mungkin terlalu lancang mulut saya berkata, tetapi naluri saya kuat berkata begitu. Pengalaman mengajar saya.

Jam 11.45 malam, Encik Bubu menerima panggilan dari Farid. Melihat wajah Encik Bubu juga saya seperti telah menjangkakan saat itu akhirnya telah tiba. Saya tidak betah duduk. Saya seperti hilang arah, serba tidak kena. Serba serbi seperti mimpi. Saya tidak menangisi pemergiannya tatkala itu, namun saya hilang kawalan. Encik Bubu mengajak saya ke sana. Saya terus akur. Tiba disana jam 1 pagi, saya lihat Alanna Qish tenang terbaring. Diruang sama yang saya tinggalkan dia petang tadi. Saya peluk Ayu dan saya tahu dia sungguh kuat. Kadang kala air matanya membasahi tubir mata, hati ibu mana yang tidak pilu.

Saya tatap wajah Alanna. Cantik. Aman. Tenang. Saya tahu, dia adalah bidadari syurga. Saya tahu puteri cilik berjiwa kental ini akan mendiami syurga Allah. Saya tatap sepuas hati. Saya ingin menyimpan wajah ini didalam hati saya selamanya. "Alanna pergi selepas dia jumpa semua adik beradik dia tadi" sayu. Saya sendiri hiba. Rupanya Alanna ingin mengucap selamat tinggal terlebih dahulu kepada adik beradiknya. Itu yang Alanna tunggu rupanya. Malah, Alanna Qish juga kembali menemuiNya didalam dakapan sang ayahnya sambil disaksikan Ayu dan Nadime.

Selamat beradu anakanda Alanna Qish. Akhirnya segala kepedihan dan kesakitan ini berlalu pergi darimu. Terima kasih Alanna Qish kerana mengajar Mama Put erti sebuah kekuatan, sebuah kasih sayang dan kesabaran. Amanlah disana bidadari syurga.

Al-Fatihah
Alanna Qish bt Syahrulniza
24/08/09 - 05/06/10

18 comments:

Intan Azmira said...

sayu hati saya..salam takziah

r33n said...

Al-Fatihah..
Tenang la dikau di'sana' wahai Alanna..

Zety Zin said...

Al-fatihah.
Sedari pagi tadi air mata saya asyik mengalir kerana Alanna. Ke blog Jiey saya menangis. Kemudian ke blog ini juga.

Sungguh suci wajah Alanna.

Selamat menjadi bidadari syurga buat ibu dan ayahnya. Amin.

mrs_zura said...

sayunya kak put..she's in the better place now...

azmina ibrahim said...

slm takziah...yup, bidadari syurga buat ayah dan ibunya....Allah itu maha besar...kak su, blog kak su xpernah lekang buat gg menangis, dan menginsafi kekerdilan diri di sisi Allah...thanks a lottt

Deelira @ Deeliraz said...

al-fatihah

izzahazfar said...

sampaikan salam pada ibu dan ayah arwah...

zah tak py kekuatan untuk meninggalkan komen di blog mereka..

al-fatihah

alyyani said...

:( Al-Fatihah...

eima said...

sedihnya....
bergenang air mata aku ..
klu tak kerana kat opis nih ...
ade plak org luar appointment dgn boss..dah lama aku menangis..sedih sangat .. klu lah aku ditempat mummy alanna ... tah tabah ke tak aku ...

sbnrnye aku dah baca 2-3 post kat put tp... sbnrnya alanna sakit ape ??

Puteri Nuur At-Terawis said...

eima,

Alanna menghidapi Gaucher Desease 2.

Farid Hanif said...

I broke into tears after Syarul said those words after the funeral..

Terima kasih Alanna kerana mahu menunggu kami semua. Terima kasih kerana benarkan abi, babah, ayah, ummi, mama dan ibu menyayangimu.

Puteri Nuur At-Terawis said...

Farid,

Dari petang tu Syarul cakap.. Alanna seperti 'menunggu' sesuatu.. rupanya, Alanna menunggu kalian dan adik beradiknya :(

*emo*

Syamilia said...

Ya Allah. Baru pg tadi komen pasal alana...sedihnya
Al-Fatihah. Semoga roh si kecil ni dicucuri rahmat selalu...

Farid Hanif said...

Itulah. Walaupun usia perkenalan kita dengan si arwah hanya a mere 3 months, tapi rasa kasih sayang itu seperti sudah bertahun.

Mungkin inikah di antara janji Allah dengan anak-anak ini?

Asz said...

sedih .. sebak tgk gambar2 Alanna .. moga ayu & family tabah ... :((

Al-Fatihah buat Alanna Qish ...

ibuaries said...

Al-Fatihah...sayu sy membacanye. Sebagai seorang ibu tentunya sukar apabila kehilangan anak tersayang. Moga Ayu & Syarul & family tabah hadapi dugaan ini.

Moga roh kecil ini aman di sana bersama Penciptanya...

.:mUnies:. said...

saya menangis. semoga awak tabah.

masjuliana ~masjuju~ said...

baru tahu 'kewujudan alanna'. alfatihah~