Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

15/05/2010

7 Kategori Orang Kelainan Upaya (OKU)



Rasanya, ramai yang tidak mengetahui mengenai istilah baru ini yang mana ianya menggantikan Orang Kurang Upaya. Sudah lama saya ingin berkongsi mengenai entry ini sebenarnya, tetapi sentiasa menghadapi beberapa halangan. Saya sangat berbesar hati apabila beberapa kenalan dan juga teman-teman baru datang bertanya mengenai anak-anak mereka. Malah, ada juga yang datang bertanyakan bagi pihak, anak teman yang mempunyai masalah-masalah istimewa ini.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh kerajaan, dianggarkan bahawa 1-2 juta penduduk Malaysia merupakan golongan OKU, namun hanya 250 ribu dari mereka sahaja yang berdaftar dengan badan berwajib. Kepentingan berdaftar adalah bagi membantu kerajaan membuat unjuran dan perancangan meliputi beberapa aspek seperti penjagaan, terapi, rehabilitasi dan rawatan. Kadang kala tak semua tahu, apakah yang diklasifikasikan sebagai OKU.

Untuk makluman semua, OKU dikategorikan kepada 7 kategori iaitu:

Kelainan Upaya Penglihatan
Tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad sama ada sebelah atau kedua-dua belah walaupun telah menggunakan alat bantuan penglihatan seperti cermin mata. Ianya terbahagi kepada 2 iaitu buta dan penglihatan terhad. Untuk lebih makluman, sila berjumpa doktor mata anda :)

Kelainan Upaya Pendengaran
Tidak dapat mendengar dengan jelas sama ada sebelah atau kedua-dua belah telingan walaupun telah menggunakan alat bantuan pendengaran dan ianya terbahagi kepada 4 kategori iaitu minima, sederhana, teruk, sangat teruk.

Kelainan Upaya Pertuturan
Mengalami masalah pertuturan tetapi boleh mendengar.

Kelainan Upaya Fizikal
Mengalami ketidakupayaan anggota badan sama ada kehilangan fungsi atau tidak mempunyai satu dimana-mana anggota badan, termasuklah anggota yang tidak sempurna yang mana menjejaskan keupayaan. Jenis yang termasuk dalam kategori ini ialah cerebral palsy, muscular dystrophy, spina bifida, lumpuh, kudung bu jari tangan, kudung tangan atau kaki atau kedua-duanya dan kerdil.

Masalah Pembelajaran
Mengalami masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikalnya seperti sindrom down, lembam, autisme, ADHD, dyslexia, dyscalculia, dygraphia, global developmental delay.

Kelainan Upaya Mental
Mengalami penyakit mental yang teruk setelah diberi rawatan selama 2 tahun oleh pakar psikiatri dan mereka yang masih belum mampu berfungsi dan tidak tahu menguruskan diri dan menyesuaikan diri dalam masyarakat seperti mood disorder, organic mental disorder atau skizofrenia.

Kelainan Upaya Pelbagai
Mengalami lebih dari 1 ketidakupayaan di atas.

Tidak rugi berdaftar, untuk mereka juga yang benar-benar memerlukan. Di negara-negara maju yang lain, OKU diberi layanan sama rata dalam masyarakatnya, tiada diskriminasi dan tiada pandangan serong dilemparkan. Jika kita mahu Malaysia juga menjurus ke arah itu, saya mencadangkan agar kita sama-sama berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sebagai sebahagian daripada masyarakat juga, tanggungjawab sosial kepada golongan istimewa harus ditingkatkan. Saya sering mendengar ungkapan 'anak itu menyusahkan' atau 'anak itu cacat kerana salah silap keturunannya' dilemparkan kepada kaum-kaum istimewa ini.

Mereka tidak dilahirkan ke dunia dengan meminta dilahirkan dalam keadaan sebegitu, malah apabila saya sendiri mempunyai seorang anak istimewa, ianya mengajar saya semangat kesungguhan dalam diri mereka lebih tinggi berbanding manusia-manusia normal seperti kita untuk terus hidup dan untuk terus berdiri di atas kaki mereka sendiri. Contoh paling realiti ada didepan mata saya. Tidak tidur seharian apabila dia ingin belajar bangkit duduk sendiri. Berulang kali tanpa jemu, jatuh, terhantuk kepalanya sekadar mainan. Apabila sakit, dia menangis, tetapi dia tidak serik mencuba dan belajar.

Itu semangat juang anak istimewa saya, dan saya yakin mereka yang lain juga begitu. Mereka istimewa kerana dengan menjadi diri mereka sebegitu, mereka juga mengajar orang-orang disekelilinginya menghargai setiap kurniaan tuhan kepada kita. Terima kasih Idris, kerana mengajar Mama mengenali apa itu syukur.

5 comments:

zamri.tembol said...

betul, ramai yang tidak tahu kepentingannya mendaftar OKU, ada juga yang tahu tapi tak nak mendaftar sebab malu...

MY HEART said...

Setuju put... akak setuju sangat....

eima said...

hari sabtu lepas ade tgk ...
america got talent ..
ade budak 9 tahun tuh .. mak die ckp autism gak waktu baby ... tp tetiba anak die bleh menyanyi ...
skrg anak die dah ok .. boleh menyanyi & menghafal ... keajaiban kan ...
insyaallah idris akan temui keajaiban tuh ..

3ika said...

terima kasih atas info...:)
banyak memberi info untuk assignment saya...

Rozana Borhannodin said...

Saya tak pasti sama ada post ni masih aktif. Tapi mengikut garis panduan yg pernah saya baca di website Jkm, Anak saya akan terkategori sebagai oku fizikal, akibat penyakit yg dihidapinya. Walau bagaimanapun usaha saya untuk mendaftarkan dia sebagai oku telah diperkecilkan oleh pegawai Jkm sendiri. Katanya hanya org yang tidak mampu mengurus diri sendiri sahaja layak mendaftar. Kata2nya yg original adalah hanya kalau seseorang itu tidak mampu bangun, hanya merangkak atau mengengsot sahaja yang layak. Soalnya sekarang, status oku itu pasti dapat membantu dia untuk menjawab peperiksaan kerana kebiasaannya oku akan diberi extra masa untuk menjawab soalan. Dan mmg itu yang dia perlukan terutama dengan keadaan tangannya yang sering sakit akibat penyakit tersebut.