Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

23/03/2010

Berdiri. Sendiri. Tinggi.


Harapnya ruang ini tidak bersawang :P

Rindu untuk menulis. Banyak yang ingin berkongsi. Masa yang terbatas membuatkan saya menyepi. Badan sering kepenatan. Banyak tuntutan yang memerlukan perhatian terutamanya Idris dan Sophia. Tidak dilupakan Encik Bubu kesayangan.

Minggu lalu, saya diberikan satu anugerah yang sangat mahal harganya. Jika menjadi ibu kepada Sophia, saya cuma memerlukan 8 bulan sahaja untuk melihat dia berdiri tegak, tetapi untuk anak seistimewa Idris, masa itu menjadi panjang. Tempoh 2 tahun 11 bulan menjadi ibu kepadanya, akhirnya segala usaha, doa dan kerja keras Idris berbayar.

Idris kini berdiri
walau berdirinya perlu bersandar, saya tetap iktiraf Idris berdiri


Walau tidak setegak tentera yang menerima arahan, tetapi Idris berdiri, walau masih bersandar. Saya positif, Idris boleh berdiri, Idris boleh berjalan, Idris boleh bercakap, Idris boleh sahaja seperti anak-anak lain. Apa yang membezakannya cuma adalah masa.

Saya gembira. Saya peluk Encik Bubu sewaktu kali pertama Idris mampu menahan badannya bersandar, dengan kakinya sendiri. Saya tersenyum, hati girang seperti saya baru sahaja bertemu kekasih hati, wajah berseri dengan senyuman yang sememangnya datang dari hati. Lantas saya bercerita dengan Cik, yang sewaktu itu di Kelantan.

"Cik,Idris dah boleh berdiri, sebenarnya baru bersandar dan, bla bla bla," dari suara Cik, saya juga yakin, dia juga gembira dan teruja dengan cerita saya ini.

"Cik pun rasa nak tengok Idris berdiri. Belikan Cik flight tix,"dan, sepantas kilat, saya menunaikannya, dan inilah rupanya apabila nenda bertemu cucunda yang baru pandai berdiri di atas kaki sendiri.

Cik yang nak tengok sangat Idris berdiri, sambil dibantu oleh Wan Yong. Tengok air muka Idris yang ceria bila Cik ada bersama, cucu yang manja, ok?

Bercerita dan bercerita dengan Cik, tanpa jemu. Senyuman sentiasa menghiasi wajah.

Senyum!

'You know what Cik, let me tell you a story about a hand...' Idris sedang berlipur lara

Memandang kecerdasan dan kesungguhan Idris cuba berdiri sendiri, dalam sehabis daya dan usaha membuatkan hati Cik bulat ingin mengikut kami ke rumah Kak Raw keesokkannya. Saya kegembiraan kerana buat pertama kalinya Cik kental bersetuju. Sebelum ini Cik tidak sampai hati, sayu katanya memandang wajah-wajah comel itu dibaluti ibarat mummia. Cik tidak sanggup mendengar tangis merintih merayu mohon dibuka balutan di seluruh badan kecil mereka. Saya sendiri, sebagai ibu, menitis air mata memandang Idris diperlaku begitu, tambahan pula, saya tidak berkasar dengannya. Namun, demi kebaikannya, saya akur dan rasa sayu itu kemas saya simpan dalam hati.


Menangis teresak-esak selepas dibalut badannya dengan bandage. Cik sedaya mungkin memujuk, agar hati sikecil tenang. Sayang yang disimbah tiada taranya. Jika hidupnya saya hari ini kerana suburnya kasih yang dibajai Cik, Idris lebih beruntung kerana lautan kasih sayang Cik padanya tidak bertepi.

Idris yang termakan pujuk dengan Cik bertenang seketika. Saya sibuk mengambil gambar. Bukan saya tidak kasihan, namun sejak dari kali pertama saya menjejakkan kaki ke pusat rawatan Kak Raw, saya sudah membuat ikrar pada diri ini, saya tidak akan sesekali menangisi Idris tatkala dia menjadi 'mat rempit insaf' begini.

Cekal saya kerana melarang air mata dari menitis. Membetulkan Idris yang sedang kepanasan berbungkus di waktu tengahari terik, di ruangan tanpa penghawa dingin. Mungkin kejam pada pandangan Idris, namun tidak pada saya. Segalanya untuk Idris.

Terima kasih Encik Bubu kerana meminjamkan kekuatan, dan semangat untuk kita sama-sama menunaikan tanggungjawab dan kasih sayang kita pada Idris. Idris adalah bukti cinta dan kasih sayang kita yang bersemi. Terima kasih Encik Bubu kerana bersama saya selalu, hari semakin hari, usia mematangkan kita dan Idris hadir membawa seribu satu kenangan indah dan pengajaran yang tidak dapat kita peroleh dari mana-mana.

Memandang sahaja gambar ini, saya kesayuan. Pelbagai interpritasi hadir didalam minda saya. Saya tidak ingin tuliskan disini, namun saya ngeri. Saya mahu anak ini kuat, bangkit berdiri dan belajar berjalan dan menguruskan diri. Saya mensasarkan agar Idris dapat berjalan dan bercakap di usia 5 tahun, jika lebih cepat, lebih bagus.

Tertidur kepenatan didalam kereta.

Tiba dirumah, Wan Yong sekeluarga dan Alang sekeluarga menanti Cik. Sesekali Cik ke rumah anak-anak, kami adik-beradik sering berebut-rebut mencari Cik, kalau boleh, ingin sekali dipotong 7 Cik :P Barulah kami adik beradik tidak merebut peluang yang terhad ini.

Saya yang membuka balutan selepas 4 jam dia dibungkus.

Peminat-peminat Idris yang menanti Idris dibuka balutannya

Upin dan Ipin *versi perempuan*

Dalam keriuhan ini, saya mendapat panggilan dari Ina yang mengajak kami ke terataknya. Faizal dan Kak Noni datang, meronta-ronta ingin turut serta. Rugi membiarkan peluang bersama 'keluarga' terlepas begitu sahaja. Pada Encik Bubu saya suarakan, namun adik-beradik yang datang penuh rumah ini, manakan bisa kami meninggalkan begitu sahaja?

Maaf Superkids' timing tak kena. TS insya Allah kami datang dengan jayanya.

6 comments:

alyyani said...

best nye nenek idris, straight away datang dari kelantan. sama2 bagi sokongan. alhamdulillah, idris bole berdiri. nmpk tinggi betul!

dYanah aMin said...

kak put..
moga indis cepat2 boleh berdiri tegak seperti idola nyer FT sambil mengangkat tgn salute..n moga segala usaha kak put berhasil..insyaallah..

Baby Tiger said...

tak sabarnya tunggu lope ni melompat2.. huhuhuhuhu

::Mrs.Bubu:: said...

alyyani: moral support tu yg mahal. idris pun bukan main lagi manja dengan nenek ni.

::Mrs.Bubu:: said...

dyanah amin: terima kasih di atas doa itu. allah maha mendengar, insya allah, idris akan berjalan. hanya masa yg menentukan.

::Mrs.Bubu:: said...

anim: kalau idris dah melompat, mamanya dah diawan-awangan la :P