Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

09/02/2010

Jika saya sudah tiada...

Semalam, saya sendirian menonton Smallville, selepas berjaya menidurkan Idris dan Sophia. Sekejap-sekejap, Idris berkalih ke kiri dan kanan. Dia tidak selesa. Sekejap-sekejap, dia merengek. Saya menghampiri dan menepuk-nepuk manja. Sebentar kemudian, dia terlena kembali. Saya soroti Encik Bubu yang sedang asyik dengan game Comando di laptopnya. Asyiknya, hingga tidak terkalih tatkala mendengar suara Idris merengek. Seingat saya, dari jam 9.00 malam Encik Bubu mengadap laptopnya, pelbagai strategi perang diatur. Sungguh teliti, sungguh teratur. Bagus bukan Encik Bubu saya?

Lama saya membiarkan dia sendirian dengan dunia ketenteraannya. Sehingga ke angka 12 tengah malam, dia masih dengan strateginya. Tiba-tiba saya terfikir, bagaimana sekiranya esok saya dijemput pulang kepadaNya, bagaimana keadaan Idris dan Sophia. Setiap hari waktu bekerja, saya keluar jam 8.oo pagi dan pulang semula ke rumah jam 7.00 malam. Malamnya, saya kepenatan, tambahan lagi jika saya menyediakan makan malam. Niat di hati ingin mendodoikan anak-anak dengan tangan sendiri, tetapi terbatas kerana kekurangan tenaga. Kesian anak-anak, siang harinya bersama Bibik, malam harinya terpaksa melihat saya yang kepenatan. Kala inilah Idris ingin bermanja, 'bersenam' bersama saya, menunjukkan bakat-bakat barunya yang seharian dia praktiskan. Namun, sayang kerana saya kepenatan. Rasa bersalah sungguh-sungguh bersarang dalam hati saya. Terasa tidak adil untuk Idris.

Saya amati Idris sering bermain sendirian dalam dunianya. Kadang kala, dia tampak seperti mencemburui Sophia yang sudah punya kaki dan mulut. Sophia bertatih ke seluruh pelusuk rumah kini, dan mulutnya ibarat bertih jagung. Adakalanya, Idris akan terpekik kegeraman. Dalam hati, ada nada syahdu. Bila dia berkelakuan begitu juga, saya akan bersamanya. Saya akan mengambil Idris, dan meletakkan dia didalam posisi berdiri. Dia akan tersenyum, kegembiraan dan berdiri, serta melompat. Jika saya sudah tiada, siapa yang akan mengisi malam-malam dia? Encik Bubu sibuk dan tenggelam dengan dunianya. Gadget dan kesibukan bekerja membuatkan dia seperti alpa akan kewujudan Idris dan Sophia. Itu yang saya rasa, mungkin berbeza maksud itu padanya.

Semalam juga saya berfikir, jika saya tiada, kepada siapa harus saya amanahkan Idris. Pada Sophia, saya yakin tak susah untuk mana-mana ibu menjaganya, namun untuk Idris, saya sungguh bimbang. Dahulu, saya pernah menulis Jemputlah Saya Pulang Dahulu Sebelum Idris kerana kegusaran itu dan semalam, saya berfikir lagi. Untuk seketika, saya mencari Encik Bubu yang sedang asyik dengan Commandosnya. Mungkin apabila terpandang sahaja wajah saya yang suram, Encik Bubu memandang saya dengan muka yang cuak "Kenapa?" tanyanya sepatah. Saya duduk disebelahnya, meninggalkan mukanya dengan penuh tanda tanya lagi.

"Sue nak cakap kat Abang, kalau Sue mati esok, Sue nak Abang minta Kak Yan tolong jagakan Idris," Encik Bubu saya lihat seperti terkesima. "Kenapa cakap macam ni?" tanyanya. Saya tahu, dia sungguh kehairanan. "Sue cakap macam ni sebab Sue tak nak, kalau Sue mati esok, Sue tak sempat nak cakap" Encik Bubu terus menutup laptopnya. Kali ini, dia memandang saya. "Jangan cakap macam ni, Abang tak suka. Kalau betul sekalipun jadi macam tu, Abang akan jaga Idris, Abang Abahnya," waktu itu, deraian air mata kami sudah mengalir.

Saya sangkakan cuma saya seorang sahaja yang akan menangis, rupanya Encik Bubu juga punya perasaan halus itu. Seketika, dia bertanya mengapa Kak Yan yang saya pilih untuk menjaga Idris. Kak Yan adalah kakak saya yang sangat penyayang, selama ini dia banyak memberi nasihat kepada saya mengenai Idris, walau dia sendiri tidak mempunyai anak istimewa. Mungkin bidang yang diceburi memberikan KakYan kelebihan dalam memahami saya seadanya. Malah, saya juga yakin abang ipar saya, Abang Awish mampu menjaga Idris sepertimana anaknya sendiri dan Idris akan dikelilingi dengan abang-abang yang penyayang serta teman yang seusia iaitu Kaka.

Kak Yan & Abang Awish

Saya yakin Irfan, Irwan dan Kaka mampu menyayangi Idris sebagaimana yang saya harapkan

"Kenapa bukan Abang?" tanya Encik Bubu lagi. Mungkin dia tidak berpuas hati kerana saya tidak meletakkan kepercayaan itu kepadanya.

"Sebab kelak, bila Sue dah mati, Abang akan kahwin lain. Bila berkahwin, Abang akan ada anak sendiri dengan isteri Abang, dan bila wujudnya anak sendiri, isteri Abang tak akan mampu menyayangi Idris sebagaimana anaknya. Tambah pula, keadaan Idris yang begini, Idris akan diabaikan," dan, saya menangis kesyahduan. Saya tidak memandang wajah Encik Bubu tatkala itu. Saya tidak sanggup, sebagaimana saya tidak sanggup meninggalkan Idris dan Sophia, saya juga sangat-sangat tidak sanggup untuk meninggalkan Encik Bubu juga.

"Jangan fikir yang bukan-bukan. Abang sayangkan Sue, Idris dan Sophia seperti Abang sayangkan diri Abang. Jika apa-apa jadi pada Sue, Abang akan jaga Idris dan Sophia, no matter what happens," Encik Bubu meraih bahu saya dan dipeluknya. Seketika, saya tahu jika saya sudah tiada, Encik Bubu mampu menjaga dan menyayangi zuriat kami dengan seadanya dia, dan untuk seketika saya terasa lega dengan janjinya.

19 comments:

Ezzah said...

u make me cry... :'(.

Baby Tiger said...

alaa...sedey ar.. jangan cakap macam tu kak put.. insya allah, tuhan bagi hujan hari ni sebab nak bagi kita pelangi..

be strong!!

ibuayu said...

aduhhhhhh...sedihnya...Allah Maha mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya..

Min Min said...

kak put jangan la cakap bukan2...
xsuka akak cakap macam tu...
nanti kitarang xde kakak...
akak jangan la sebut macam tu lagi...

Miss Layaleya said...

td masa kak put cite dlm keta, saya x rasa sedih sgt.. tp bila bc entry ni trus kuar air mata.. sis, u make me cry!!! jgn ckp cam tu.. sy doakan akak pjg umo & murah rezki ^_*

MY HEART said...

ala put.. menangis akak baca taw..
aka doakan awak panjang umur dan happy selalu...

Zety Zin said...

adeh... sedih saya depan pc ni ha.

ME said...

dik, ulang balik kata2 my son's ST, jangan kita cuba fikirkan apa akan jadi jika kita tak ada sebab Allah akan menjaga anak ini, just focus on our time with him.

alyyani said...

ada satu masa terfikir kalau kite sakit mcm mana la dengan anak2. tapia kalau kite dah tiada.. yaAllah, tak dapat bayangkan. sedih put entry nih. tp tu la dia, lelaki ni mmg akan jadi lelaki. dengan dunia nye sendiri mcm lupe lak ada anak. haish...

Noina said...

huhu..Put..sedih tau..jgn ckp camtuh yek.. Klu ina pun sama je rasa ngan Put..yelah klu kita takde sok..sapa nak jaga budak2 nih..dah tentu takde org lain yang sanggup..org lelaki dah tentu cari pengganti bukan..huhu..

PuTeRi Jue said...

u make me cry 2..

fabulous.farah said...

lelaki tak pandai tunjuk kasih sayang. tapi semestinya ayahanda dia jugak akan berjuang habis-habisan untuk idris.

rumah baru ni tenang..

Yanie said...

K.Yan sgt cantik in pink... ehehe tibe-tibe

elin said...

knape aku tibe2 ada air mata pas baca ni heh..? mmm. mybe sbab aku phm naluri sebagai seorang ibu.. neway, be strong ok...!

Aiydalela said...

cedeynye..

♥♥♥ Mrs. Hasanif ♥♥♥ said...

berderai airmata.... :(

Dalam Dakapan Ibu said...

Hi Puteri,
I can't help but cry reading your entry... I truly understand how you feel.

I've met so many parents who would only do'a to outlive their special children. It's just that we can't imagine what would become of them if we were to die earlier, right?

Just remember Puteri, tempat anak2 kita itu adalah di syurga. They already have their places 'booked' in the Jannah... unlike us. What we parents do cuma cuba buat yg sebaik mungkin untuk keselesaan hidup mereka di dunia..with unconditional love.

You and your hubby are doing a great job whether you realize it or not. We special parents are strong people, kan?

((((Hugs))))

nifalnin... said...

i'm speechless... huhuhu... tp, niza p'caya megat mampu jg phia n idris sptmana put jg mereka... caiyok2 megat...

Anonymous said...

Sedih wei Put..termengalir air mata Eziey..heheehe..nasib anak jer tgk..insyaAllah..dipermudahkan segalanya nnt