Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

24/01/2010

Menjadi ibu

Susah sungguh mencari waktu dalam masa 24 jam masa saya. Sukar untuk saya singgah ke ::my.little.secret:: dan menulis cerita saya disini. Banyak benda yang ingin dikongsi. Cerita perjalanan saya sebagai seorang ibu. Tujuan saya menulis bukan untuk menarik perhatian, cukup untuk bekalan saya baca di kemudian hari.

Sudah seminggu Sophia bertatih, seterusnya sudah berjalan. Saya secara peribadinya agak terkagum dengan pencapaian terbaru Sophia. Tanggal 11 hari bulan di bulan hadapan baru genap usianya 1 tahun. Sudah 4 batang gigi menghiasi gusinya. Sudah pelbagai rasa dia kecapi, dan sudah pelbagai bunyi Sophia tuturkan buat halwa telinga saya. Semuanya indah untuk saya kenang. Sungguh, saya kagum. Melihat serta menyaksikan seorang anak kecil, yang dulu saya kandung, seterusnya dibesarkan oleh saya, meniarap, merangkak, bertatih seterusnya kini berjalan. Kagum dengan perkembangan ini. Mungkin kerana perkembangan Idris yang perlahan dan dengan caranya tersendiri menambah lagi nilai kekaguman saya sebagai seorang ibu.

Tak semua orang faham apa rasanya punya anak seperti Idris dan punya anak seperti Sophia. Menjadi ibu kepada seorang anak seperti Idris memerlukan bekalan hati yang cekal dan yakin akan setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya. Semasa membesarkan Idris di usia Sophia, saya sentiasa gusar kenapa setiap perkembangannya tidak mencapai milestone, tetapi apabila tiba detik bersama Sophia, saya tersenyum puas kerana setiap milestone berjaya dilengkapkan, dan adakalanya dia mendahului carta.

Adakalanya saya merenung wajah Cik yang sudah dimamah usia. Hemah saya, meriahnya dunia Cik diserikan dengan kami adik-beradik. Saya tahu, bagaimana Cik rasa melayan kerenah kami ini. Angka 8 bukanlah sedikit untuk diuruskan. Lapan kepala bererti lapan ragam yang berlainan walau kami lahir dari rahim yang sama, dan berbin/bintikan bapa yang sama. Sesekali saya kenang semula detik saya tatkala masih anak-anak kecil dahulu, indah. Saya dikelilingi kakak dan abang yang pelbagai ragam, namun masih didalam kasih sayang yang sama. Secara peribadinya, saya tak ingin detik sebegini pergi. Menyaksikan anak-anak semakin membesar, bersekolah, ke universiti seterusnya kahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Saya ingin simpan detik sebegini sentiasa.

Apabila pagi saya dikejutkan dengan jari jemari halus Sophia mencungkil mata dan menampar manja muka saya dan tatkala melihat mata saya terbuka, dia akan menghadiahkan satu ciuman dipipi sambil tergelak besar kerana saya terjaga. Saya ingin dikejutkan dengan tangisan marah Idris kerana dia inginkan susu, dan saya masih mahu menyuapkan sarapan ke mulut Idris dan Sophia dengan bubur kanji yang saya masak sendiri serta bersusah payah dengan mereka di bilik mandi, bermain buih dan mendengar gelak tawa mereka apabila bersiram.

Untuk semua pengalaman di atas, hanya perkataan indah yang saya mampu ungkapkan. Sebuah perjalanan yang indah untuk saya kenang.

Lupakan apabila malam-malam saya yang dikejutkan dengan tangis Idris dan Sophia yang adakala minta ditukar pampers dan minta diberi susu. Lupakan berapa peratus nilai ringgit yang dibelanjakan untuk mereka setiap bulan, lupakan segala kesusahan membesarkan anak dan lupakan kepenatan dan stress kerja semata-mata demi sebuah kasih sayang dan tanggungjawab ini kepada anak.

Mampukah anak-anak saya nanti membalasnya kepada saya di akhir usia saya kelak? Mampukah anak-anak saya bangkit dari lena mereka dan menemani saya berbual setelah seharian mereka di pejabat? Mampukah anak-anak saya menjaga saya di hari tua dengan memasak sendiri bubur kanji dan menyuapkan ke mulut saya nanti? Mampukah anak-anak saya meluangkan masa kepada saya sepertimana saya mencari masa untuk mereka? Sanggupkah mereka bersengkang mata menemani saya tatkala usia usang saya nanti?

Sungguh, takut untuk saya kenangkan. Namun, hidup ibarat roda. Apa yang kita buat, akan dibalas semuanya oleh Allah. Setimpal. Tak didunia, di akhirat nanti. Sesekali melihat berita-berita di dada akhbar anak buang ayah, anak buang ibu buat saya terfikir, dimana hati perut orang di zaman ini? Sanggup mereka melihat ibu yang mengandungkan mereka dibuang begitu? Menyisihkan seorang ayah yang bersusah mencari nafkah membesarkan mereka? Sungguh, dunia akhir zaman menakutkan saya.

Sebagai anak, tanggungjawab saya pada Cik, insya Allah tidak akan saya abaikan. Pesan arwah Aboh saya, walau hidup tak mampu menyenangkan orang lain, cukup jika tidak menyusahkan mereka. Saya sebolehnya mengelak dari menyusahkan Cik, dan sebolehnya saya ingin membahagiakan hari-hari tuanya. Sebagai menantu juga, saya hormati Abah. Namun, saya selalu merasakan saya bertuah kerana dikurniakan seorang mertua sebaik Abah. Saya harap, saya mampu menjaga mereka berdua meniti usia emas. Dan, tanggungjawab saya kepada arwah Aboh juga tidak akan sesekali terhenti selagi jasad dikandung badan.


2 comments:

Anakmama said...

InsyaAllah..
Slagi niat dan amalan kita pada Allah tidak lari..
Selagi itulah kita dalam lindunganNyer..
saya ckup bgga dgn sikap anda..
idris dan sophia comel sgt..
sy pun turut kasihkan mereka..
saya sentiasa mgikuti blog ni..
smoga prkmbgn mereka dapat d update dari mse ke semasa...

Deelira @ Deeliraz said...

"rasa" kita sama kak..
membesarkan ank pertama dan kedua yang punyai beza yg sgt ketara.tp kita akur.seme kehendak Nya.
Semoga Allah sentiasa memelihara anak2 istimewa ini.