Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

30/10/2009

Gedangsa, Kunjungan ketiga

Rasa berbelah bahagi, sama ada ingin dibawa Idris ke Gedangsa atau tidak kali ini. Banyak faktor yang menyumbang; ketiadaan Encik Suami yang masih di Kuantan membantutkan rasa hati, suhu badan Idris yang turun dan naik (akibat alergy makanan) dan berpergian sendirian tanpa Encik Suami terasa seperti kehilangan separuh jasad lagaknya. Terima kasih Minmin, kerana sudi menjadi supir terhormatku pada hari itu, dengan mengorbankan masa untuk berdating bersama Encik Bf-mu itu ;) Terima kasih daun keladi, lenkali temanlah lagi ye.

Perjalanan kami bermula lewat hari ini. Jam 11 pagi barulah kami menyusur keluar dari Putrajaya. Itupun setelah kekenyangan bersarapan bersama Cik di Gate 1, Putrajaya, menikmati sarapan pagi orang Kelantan. Idris saya lihat duduk selesa sendirian di kerusinya. Tidak meragam, mengetuk-ngetuk buckle kerusinya. Nampak selesa, nampak segar.

Muka budak hepi

Kami tiba di Gedangsa bila jam sudah mencecah angka 12. Gembira bila terpandang Ita dan Ina. Sejuk hati melihat wajah-wajah comel Nabila dan Sarra. Kagum dengan kecantikan ciptaan Allah kepada anak-anak kecil ini. Terasa ingin mencubit pipi gebu mereka. Minmin nyata kagum dengan Nabila dan Sarra, tak putus-putus mulutnya memuji akan kekiutan budak-budak itu. Diaorang tu calon-calon untuk Idris, OK? ;) (sayang, saya tak ambil picture). Hari ini juga, pertama kalinya bertemu Aiman. Aduh, comel je. Geram bila tengok dia tidur di dalam pangkuan Mamanya Ida. Rupanya, itulah cara Aiman tido ye.

Kawan baru Idris , Aiman namanya :)

Pukul 3.30 ptg, saya dan Minmin membawa Idris ke masjid. Di sana, Idris dimandikan, makan kenyang-kenyang dan kami pun sama solat zuhur disana, secara bergilir-gilir. Kali ini, giliran Idris tiba pada jam 5 petang. Aduh, lewat sungguh. Saya sungguh kagum dengan memori Kak Raw terhadap pesakit-pesakitnya. Kalau di hospital, semuanya di catat dalam folder, tapi dengan Kak Raw, semuanya disimpan didalam memorinya. Selintas dia terpandang Idris, dia menegur 'lama tak datang ye' Saya mula rasa serba salah, dan saya diminta untuk membawa Idris saban minggu secara berterusan selama 5 minggu. Waduh! Terlalu banyak

Aduh, terasa cair hati saya melihat gerimis di matanya..

Setelah seketika, Idris berjaya ditenangkan

Pose dengan Minmin, the godmother :) Dialah supir, dialah peneman saya, dialah tempat saya dok potpetpotpet :P Thanks Min, for keep me company. I owe u big.

Supir + Babysitter in action. Sungguh ada tokoh OK. Terdiam Idris.. tahu apa dia buat?

Menperdengarkan lagu 'Sampai Syurga' kat Idris. Aduh, terus diam..

Kami bergerak pulang dari Gedangsa jam hampir menginjak ke pukul 6. Dua-dua kelaparan, sampaikan orang menjual buah di tepi jalan pun kami nampak 'lazat'. Di atas kelaparan itu juga, sempat kami melencong ke Shah Alam, mencari beberapa ekor ayam golek untuk dijadikan 'mangsa' kami.

Inilah mangsa-mangsanya. Dekat dengan KPJ Shah Alam, Seksyen 20 (kan Min?) Ayam sangatlah sedap (mungkin sebab kami tengah kebulur kot) First time makan ayam ni, masa Minmin dan Ned yang bawa ke rumah 3 minggu lepas. Yummy, sangat disyorkan.

Tiba di Putrajaya pukul 8 malam. Kakyan dan keluarga singgah di rumah, seronok melihat wajah Phia tersengih-sengih melihat Kaka. Idris hanya dibuka balutannya pada jam 9.15 malam. Tak pernah selewat ini. Kesian Idris, rimas.

Lega bila balutan dikakinya saya tanggalkan.

Muka ceria Idris Naquiyuddin :)

29/10/2009

'oh mama'

Ada yang bertanya kepada saya, apa rasanya punya anak dua? Saya akan pantas menjawab "Indah!" Bila disambung lagi soalan itu, tak kasihankah pada Idris, terpaksa di belah bahagi masa dan kasih sayang saya? Saya yakin, saya pasti, anak-anak saya tidak akan saya abaikan. Lain orang, lain caranya. Lain orang, lain pendapatnya. Bagi saya, saya punya pandangan tersendiri dalam hal ini.

Bukan mudah untuk saya memperolehi seorang cahaya mata. Di awal perkahwinan, tempoh masa 2 tahun cukup lama saya rasakan. Saya pandang Encik Suami, Encik Suami pandang saya. Mula-mula terasa seronok, lama-lama rasa tak kena. Pelbagai usaha saya lakukan. Rawatan moden, tradisional, you name it.. boleh dikatakan banyak saya telah mencuba. Al-hamdulillah, Allah mengizinkan saya berbadan dua pada Ogos 2006, dan Idris seterusnya lahir pada April 2007. Apa yang tersurat pada Idris, saya terima dengan rasa penuh kehormatan. Allah memilih saya, menganugerahkan anak seistimewa Idris untuk saya jagai amanahnya.

Tahun 2008, sekali lagi Allah mengizinkan saya mengandung. Sungguh, selepas kelahiran Idris, ada ketikanya saya takut untuk menambah bilangan ahli keluarga lagi. Namun, sengaja saya dan suami tidak merancang kehamilan. Kadang-kala, ada rasa takut menyelubungi jiwa, satu-satunya, saya takut andai perhatian saya terhadap Idris berkurang, sedangkan Idris sangat-sangat memerlukan kasih sayang untuk terus maju. Jika anak-anak lain juga masih memerlukan perhatian ibu, inikan pula Idris.

Saya bertanyakan hal ini kepada doktor saya, katanya dia amat menggalakkan kehamilan yang rapat. Katanya ia banyak membantu Idris nanti dari segi perkembangan otaknya dan fizikal serta emosinya. Saya waktu itu ragu-ragu. Dia meyakinkan saya, semua pemberian dariNya itu adalah baik belaka, lihat dari sudut positif. Setiap anak yang lahir kedunia dibekalkan bersamanya rezeki masing-masing.

Kini, saya lihat 'keberkesanan' itu kepada Idris bila adanya Sophia. Sungguh, dia banyak meniru. Ada yang baik, ada yang agak annoying, tapi bukan lumrah seorang budak andai kata dia tidak menangis, dia tidak ada pe'el, dia tidak buat perangai. Itulah seorang kanak-kanak, bukan?


video

Sengaja ingin saya berkongsi video di atas. Maaf, kurang jelas. Banyak perkembangan positif yang Idris tunjukkan selepas 2 kali dibawa berurut dengan Kak Raw di Gedangsa. Rakaman ini dibuat pada beberapa malam yang lalu. Lihat kepada tembam berisi pipi Idris, dia kini sungguh berselera bila makan. Jangan terkejut andaikata melihat Idris makan bertambah hingga 3 kali ye :)

Kalau diperhatikan, Idris sekarang sungguh gemar dan akan memberi respon yang sungguh baik kepada perkata 'mama'. Eksperesi inilah yang Idris tunjukkan setiap kali jam mencecah angka 6 petang jika saya masih belum tiba di rumah. Malah eksperesi inilah yang membuat saya 'gila' sepanjang hari dipejabat. Senyuman Idris umpama satu azimat. Gelak tawa manja Idris seperti simbahan hujan di padang pasir, sungguh mendamaikan. Sejuk perut saya membawa dia selama 9 bulan.

Dalam video ini juga, kami sedang menonton drama. Ada tersebut perkataan 'mama' didalam dialog lakon layarnya, dan Idris tertoleh-toleh ke belakang mencari suara itu. Tidakkah itu menunjukkan bahawa memang saya sangat dihargai dalam kehidupan anak kecil ini?

Kecil ke? Idris sudah 90cm tinggi dan 12kg berat, tidakkah itu menggambarkan fizikal Idris seperti layaknya anak berusia 3-4 tahun? Kepingan sungguh melihat dia berdiri, berjalan dan seterusnya berlari! Insya Allah, masa itu akan tiba untuk saya.

Nanti, Idris akan berdiri macam ni suatu hari nanti. Caiyok Idris!!

28/10/2009

Dag. Dig. Dug.

Sudah lama rasa ini bermukim di hati.


Rasa bimbang.

*
*
*
Rasa gusar.

*
*
*

Rasa panik.

*
*
*

Rasa tak sedap badan.

*
*
*

Kepada yang mengenali saya di alam nyata, size badan 'comel' saya ini usah ditanya lagi, cukup zat, cukup khasiatnya. Namun, semenjak melahirkan Sophia, badan ini semakin menjadi-jadi :P dan, teruknya saya, tiada sebarang usaha pun dilakukan.

Tapi, sejak akhir-akhir ini, bukan size 'comel' itu yang menjadi tanda tanyanya. Kebelakangan ini seperti ada sesuatu yang saya runsingkan, tambahan pula bila..

(1) Sudah dua kali saya termuntah tatkala menggosok gigi di waktu pagi. (dulu masa pregnant kat Idris & Sophia, memang saya selalu uwek.. uwek)

(2) Saya juga kerap sungguh terasa sakit-sakit belakang, sakit urat, sakit lenguh segala sendi di badan ini. Kot ye pun nak kata saya 'comel' sangat, terasa seperti was-was nak percaya. Nak kata saya dah tua sangat, ish.. (inipun, di awal mengandung, memanglah satu badan jadi lunyai!)

(3) Kerap menggemari udang. Saya suka masak udang, saya suka makan udang. Saya masak brocolli campur udang, saya masuk omellete pun campur shrimp. Ish.. (masa pregnant kat Idris dulu, almost every day selama dua bulan pertama saya makan udang sahaja!)

Ish korang, jangan terpekik cakap saya dah berbadan dua, tiga, empat dan lima. Sebab, minggu lalu, saya telah buat ini...

Kus semangat, naseb single line, OK!

Saya sendiri pun kehairanan.

So, untuk kawan-kawan yang banyak pengalaman ni, kenapa ye?

(1) Adakah saya sakit? Perlu jumpa doktor?

(2) Adakah ini merupakan simptom orang yang nak berusia seperti saya? (umurku belum 30 tahun ye, tak kan lah dah nak monopause, nauzubillah!)

Teringin untuk ada 'isi' didalam perut ini, tetapi di atas faktor kesihatan, saya ditegah oleh doktor. Jika benar saya berbadan dua, tiga, empat dan lima, saya benar-benar gusar. Doakan tiada apa 'didalam perut ini' melainkan lapisan-lapisan lemak tepu sahaja :P

27/10/2009

Rindu untuk menulis

Lama sungguh tidak menulis, banyak sungguh perkara yang ingin dikongsikan. Sangat teruja untuk bercerita mengenai Idris dan Sophia. Sekarang ni, memulakan entry ini dengan harapan dapat dipublishkan tanpa sebarang masalah melanda.

Pertama-tamanya
Sewaktu blog ini diwujudkan seawal tahun 2007, ianya berkisarkan mengenai saya dan kehidupan. Setelah seketika, saya rasakan 'bosan' bercerita mengenai diri, kemudian blog ini yang waktu ketika itu diberi nama 'ceritera cinta' dihentikan tanpa sebarang sebab :P apabila saya dikurniakan Idris, saya sangat teruja. Jua di ketika itu, ::my.little.secret:: masih belum diwujudkan lagi. Sehinggalah usia Idris menginjak ke 8 bulan, selepas Idris disahkan mengalami masalah, barulah blog ini diaktifkan semula.


Mahu tahu kenapa ianya diberi nama ::my.little.secret:: ?
Kerana, disinilah rahsia-rahsia saya luahkan, perjalanan saya menjadi seorang ibu, satu jurnal terindah untuk saya kongsi, sewaktu itu tak jauh niat di hati, cukup sekadar jika suatu hari nanti Idris mampu membaca, dia akan mengabadikan hasil tulisan mamanya ini. Namun, apa yang lebih menggembirakan saya apabila, saya dapat membantu ibubapa lain berkongsi ilmu mengenai penjagaan anak istimewa seistimewa Idris ini, juga saya mampu membina tali persahabatan dengan mommy blogger yang lain, menambah senarai teman dan saya akui ::my.little.secret:: adalah wadah dimana saya 'bercakap' apa yang tersurat di hati yang kadangkala tidak mampu saya ucapkan.

Kedua-duanya
Saya tahu, tak ramai yang tahu dan kadang kala, tak semua perasan Megat Idris Naquiyuddin itu anak istimewa saya. Sewaktu Idris didalam kandungan, semuanya nampak sempurna. Mengandungkan Idris selepas dua tahun setengah mendirikan rumahtangga memang suatu mimpi indah dalam hidup saya. Malah, mengandungkan Idris juga lebih senang tak banyak songeh, tak seperti sewaktu membawa Sophia.


Idris dilahirkan secara caesarian selepas 5 kali gagal induce, di waktu 38 minggu usia kandungan. Idris lahir dengan tiada sebarang komplikasi (mengikut doktor). Anak kecil saya lahir sempurna dari segi fizikalnya, hati berbunga girang bila terpandang wajahnya, tangisnya yang gemersik serta 'bau' baby yang amat saya rindukan.


Seawal usia Idris mencecah 3 bulan, saya terkesan akan kelainan pada Idris. Melalui pengamatan pembacaan saya mengenai milestone bayi, seawal usia 3 bulan, dia sudah mampu memberi respon kepada bunyi, rattle, cahaya dan sudah punyai eksperesi gembira dan sedih. Namun, ianya tiada pada Idris. Pada Cik, saya bertanya, kata Cik setiap perkembangan bayi itu berbeza. Saya sangkakan itu suatu perkembangan biasa, kerana pada teman-teman yang bergelar ibu jua telah saya tanyakan, dan jawapannya juga hampir sama.


Apabila Idris berusia 8 bulan, sepupuku seorang nurse di HKL datang melawat, dia jua terkesankan sesuatu pada Idris. Jasa baiknya, Kak Ning mengaturkan temujanji bertemu pakar, dan pakar perubatan mengesahkan Idris mengalam Global Developmental Delay dan Autism berdasarkan perlakuan yang dilakukan tatkala itu. Demi Allah, sewaktu mendengar keputusan itu, hati saya hancur. Sedih. Saya terpaksa mengambil masa menerima kenyataan ini. Bukan saya malu atau kecewa dengan pemberian Allah ini, namun saya harus menukarkan semula mind setting dan harapan yang saya sandarkan kepada Idris agar lebih realistik. Anak sulong, banyak yang saya sandarkan. Dari saat itu juga, saya kentalkan hati. Janji saya pada anak ini, selagi ada daya, saya tak akan sesekali mengalah.


Ujian demi ujian dilakukan ke atas Idris, alhamdulillah, inilah hasilnya Idris pada hari ini. Saya masih terus menjalani terapi, rawatan dan segala usaha masih saya teruskan. Ada kalanya saya melatah, ada kalanya saya tersinggung, tapi saya harus faham, itulah dunia. Itulah hidup. Hari ini saya tersinggung, esok hari saya bangkit dengan perisai menahan rasa. Hari ini saya gembira, esok hari masih belum pasti. Untuk itu, saya berterima kasih kepada keluarga yang begitu memahi saya, teman-teman yang sentiasa mendorong saya, serta memahami akan keperluan saya membesarkan Idris bukanlah semudah membesarkan anak-anak yang lain.

Ketiga-tiganya


Lahirnya Sophia kedunia mewarnai hidup saya sekeluarga, malah bukan saya sahaja, Sophia beruntung kerana banyak mata dan perhatian dari keluarga dan teman-teman sekeliling yang menyayanginya. Saya akui, Sophia senang mendapat perhatian, mungkin keletahnya yang sentiasa happy-go-lucky, menambat hati kita. Gelak tawanya begitu menghiburkan. Allah menganugerahkan saya Sophia untuk merasai detik menimang anak seperti juga orang-orang lain.

Picture: Credit to Fahiya ;)

Saya sungguh teruja tatkala Sophia bangkit berdiri sendirian, ketika dia memanggil saya mama seawal usia 6 bulan, saya teruja apabila setiap kali Sophia teringin untuk makan bersama, saya teruja apabila Sophia melambai mesra saya tatkala saya ingin bergerak ke pejabat. Perkataan 'babai' yang keluar dari mulut Sophia seperti satu perkataan hikmah membuatkan saya rindu seharian ingin pulang ke rumah.

Membaca..

CAUGHT IN THE ACT : Mendera Lope!


Keempat-empat
Masa seakan mencemburuiku :P

Apabila di rumah, semangat untuk menulis seakan hilang. Saya lebih gemar meluangkan masa bersama Idris dan Sophia. Akhir-akhir ini saya begitu gemar melihat senyuman manis menghias wajah Idris dan Sophia. Mereka saya lihat seperti sang pelangi, mewarnai hidup saya. Tambahan pula, Idris kini kerap 'buat perangai', mempamerkan perangai-perangai indahnya terutamanya tatkala saya bersama Sophia, dia menjeling cemburu dan mulalah menangis. Makin dilayan, makin menjadi. Saya tahu, dia ingin meraih perhatian saya, dan dia memang berjaya.

Bersama pelangi hidup saya, sila abaikan kecomotan sang ibu itu xX

Rupanya, hati ini tidak betah tatkala melihat anak-anak menangis. Terasa seperti tidak kena, kasihan pun ada. Saya begitu hairan, bagaimana ada di dunia ini seorang perempuan bergelar ibu membiarkan lelaki asing sesenang hati memperlakukan anak seperti binatang? Atau, mereka memang binatang. Wallahuaklam.

Tengok wajah ini... aduh, cair hati saya...

Kelima-lima dan terakhir-akhirnya
Saya agak gusar untuk berkongsi cerita andai ianya salah ditafsirkan. Berpegang hakikat kepada prinsip 'saya tak mampu memuaskan hati orang lain' dan 'sila abaikan mulut-mulut longkang' orang yang ingin bercakap, saya akhirnya akan sungguh-sungguh mengupdate ::my.little.secret:: ini sekerap mungkin. Ini adalah jurnal saya, sebagai seorang ibu kepada mereka berdua yang sangat bernilai untuk saya lepaskan tanpa sebarang kenangan.

p/s: blog ini tidak private lagi, mengambil semangat Jiey, mama Ian yang juga mendapat tempias hampir sama seperti saya.






22/10/2009

Sweethearts!

I love 'em!

21/10/2009

Memo untuk Kasroha

Sabtu lepas, dengan rasminya maid baru telah sampai. Namanya Kasroha, berumur 34 tahun. Mengikut profile, sudah berkahwin dan punya 2 orang anak, yang sulung sudah berusia 11 tahun. Pengalaman bekerja katanya sudah 3 tahun jadi maid di Jakarta, kepada pasangan suami isteri.

Hari pertama sampai, saya tidak memberikan dia sebarang task. Atas nama peri kemanusiaan lah katakan, saya cuma minta dia kemaskan biliknya sahaja. Alhamdulillah, tanpa disuruh juga dia sapukan lantai ruang tamu, ruang makan dan mop. Hari pertama lagi saya sudah meminta dia mematuhi 2 kehendak saya dan Encik Suami antaranya:

- Mestilah menutup aurat kerana Encik Suami tak ingin menambah dosa kering setiap hari. Katanya, dia tidak mempunyai seluar panjang, dan saya dengan pantas telah membelikan beberapa helai seluar untuk kegunaannya.

- Tidak boleh mempunyai handphone. Malas nak handle kes-kes telefon sana sini, dan al-hamdulillah, dia juga katanya tidak mahu.

Dari segi housekeeping, saya boleh puji. Tapi, ada rasa tidak enak didalam hati ini bila melihat dia menguruskan anak-anak terutamanya Idris.

Mahu tahu kenapa?

Sungguh kasar dia memperlakukan Idris! Sungguh tidak enak terasa dalam hati ini. Sungguh-sungguh buat saya mengeluh! Sungguh-sungguh buat saya was-was ingin meninggalkan dia sendirian bersama anak-anak! Kerana khuatir, saya minta pertolongan Cik datang menjadi trainer kepadanya.

Malam seterusnya, membuat hati saya mendidih. Lantai dapur tidak dimopkan, kelengkapan susu Idris dan Sophia juga tidak disediakan. Kain pakaian saya dilipat seperti Encik Suami yang melipat pakaian, berbagai-bagai bentuk, tiada susunan. Pakaian anak-anak dicampur adukkan, habis almari pakaian Idris dan Sophia tunggang langgang. Sudahnya, semua pakaian yang dilipat saya keluarkan semula. Begitu juga dengan pakaian di almari anak-anak. Apa gunanya saya mempunyai pembantu rumah andai semua kerja rumah tunggang terbalik. Rumah saya, peraturan saya. Apabila dia memilih menjadi pembantu rumah, dia perlu memenuhi kehendak saya, bukan mencuba sedaya upaya untuk membuatkan saya mengikut apa sahaja yang ingin dibuat oleh dia.

Jam 2 pagi, saya menulis memo untuk Kasroha. Cuma waktu malam saya berpeluang untuk memeriksa tugasan yang dibuat. Ingin mengejutkan dia, saya tidak sampai hati.

Saya juga kurang berkenan dengan caranya meninggikan suara tatkala bercakap dengan saya. Sentap hati bila saya bertanya dengan elok, dijawab dengan pitching yang tinggi. Tiap kali meninggi suara, saya pasti akan bertanya 'kenapa tengking saya? bukan saya cakap elok-elok ke?' dan dia malu tersengih-sengih serba salah dan berkata 'sorry'. Tapi, selepas itu dia buat lagi. Susah ingin meluntur buluh!

Kawan-kawan, ada idea macam mana nak handle? Tolong komen, mana yang sudi, mana yang ada pengalaman. Maid yang dulu, takde pun macam ni.


14/10/2009

Baby

Kenalkan, ini merupakan ahli terbaru rumah saya. Namanya Baby. Baby ialah 'anak angkat' kepada Puteri Mariam Sophia. Sengaja Mama dia membelikan dia anak angkat ini memandangkan Cik Phia saya itu sangatlah caring orangnya. Baby yang sepanjang 24cm ini sungguh comel dan menemani Cik Phia ke mana sahaja dia pergi :)

Sedikit update pasal Cik Phia, dia semakin nakal. NAKAL yang amat sangat, dan dia juga sudah mampu dipanggil Professional Combat! Menyusur dengan kedua tangannya ke hulu dan ke hilir, sambil mulut tak henti-henti membebel lalalalalala~*

Mulutnya juga tak henti makan. Pantang melihat Mama atau Abah atau sesiapa sahaja di meja makan, dia sudah mula gelisah, minta didukung, disuap sama. Semuanya hasil kerja cemerlang WanCor yang sentiasa menyuapkannya dengan biskut raya sepanjang pulang bercuti.

Cik Phia juga sudah pandai menyanyi sendirian. Bila si Abah mengikut rentak nyanyiannya, dia akan tersenyum malu. Aduh.. comel [tak malu puji anak sendiri!]

Cik Phia yang gigih sedang mengkaji beg Mama :P

Terapi Pertuturan dan Bahasa

Semalam, saya bekerja separuh hari. Sebelah paginya, saya membawa Idris menghadiri sesi Pertuturan dan Bahasa sesi ketiga di Hospital Putrajaya. Saya agak keberatan sebenarnya membawa Idris, memandangkan saya masih 'berhutang' alat bantuan mengajar Idris yang perlu saya buat untuk sesi ini. Tambahan pula, saya kini tinggal di Gombak. Berulang alik dari Gombak ke Putrajaya bukanlah sesuatu yang menyeronokkan :P

Namun, demi Idris saya tiba juga di Hospital Putrajaya jam 9.15 pagi, namun hanya jam 9.45 pagi baru bertemu dengan Puan Haniza. Parking sangat tidak mesra, malah parking OKU juga penuh, saya juga tidak pasti sama ada pemilik kereta itu benar-benar OKU ataupun tidak, yang pasti saya hanya mendapat parking selepas sessi 'beramah-mesra' dengan guard di kawasan hospital terjadi. Saya cukup tidak berpuas hati, dan saya yakin satu surat susulan akan saya sisipkan buat Pengarah Hospital Putrajaya nanti.

Kali ini, Puan Haniza tampak agak kagum dengan 'bunyi-bunyian' yang keluar dari mulut Idris, berbanding dengan dua sesi terdahulu. Pada saya dia bertanya, apa yang telah saya lakukan merangsang Idris supaya berkata-kata. Saya katakan, seperti selalu saya bercerita dengannya. Saya anggap dia memahami setiap apa yang saya ceritakan. Dan, dengan izin Allah, saya yakin ianya juga bantuan dariNya selepas saya membawa Idris ke Gedangsa. Padanya, saya bercerita mengenai pengalaman peribadi saya mendapat rawatan tradisional dari Kak Raw dan nyata, dia kagum.

Aktiviti bersama Idris berjalan lancar seperti biasa diselang seli dengan pekik tangisnya :P Mungkin Idris 'rimas' tatkala tangan-tangannya disentuh, dipaksa melakukan aktiviti bersama. Namun, anak baik saya masih mampu menghasilkan karya seni ini untuk mengubat hati Mamanya :)

Oh, saya terharu melihat hasil seni ini. Sah-sah akan saya frame dan akan saya tunjukkan padanya suatu hari nanti.

Sesuatu harus saya lakukan. Saya tahu koordinasi diantara tangan dan mata Idris sangat lemah. Tiada dalam kamus hidup Idris untuk menggunakan kedua belah tangannya untuk bermain, memegang malah mungkin juga Idris tak sedar pun sebenarnya dia mempunyai dua belah tangan. Menurut Puan Haniza, lumrah seorang kanak-kanak dilahirkan untuk mempunyai kemahiran bermain. Idris harus dikejutkan dari zon selesanya. Keadaan Idris yang tidak gemar menggunakan tangan harus dihapuskan. Saya juga mengakui, saya kurang meransang kedua tapak tangannya berbanding tapak kaki. Hasilnya, kedua kaki Idris mampu digerakkan seperti menolak/menendang Sophia yang selalu 'membuli' Lopenya seperti gambar ini.

Sophia, Mama ada bukti, OK? Dah berapa kali Mama cakap, Lope tu bukannya bumper. Dah la langgar Lope, siap pasang senyum notti lagik. Haiyark...

Namun, Idris boleh menggunakan keupayaan kedua belah kakinya bagi melawan Sophia di dalam aksi ini..
Gambar sebelum Idris 'menyapa' mesra Sophia dengan kakinya :P Gambar seterusnya tak sempat dirakam sebab Sophia dah waaaaaaaaaaa :P

Oleh itu, saya perlu membuat banyak homework bersama Idris selepas ini. Mungkin selepas maid saya sampai, saya punya banyak masa bersama anak-anak berbanding sekarang masa saya banyak dihabiskan driving semata. Antaranya:

(1) Membuat flash card sendiri dengan mengambil gambar-gambar barangan Idris. Saya juga perlu mencuri masa dia dan saya untuk belajar bersama-sama bagi menambahkan vocab Idris. Masalahnya: Flash card pun tak buat lagiks. Aiyo!

(2) Merangsang kedua tapak tangan dan kakinya dengan lebih kerap lagi. Sponge, berus cat dan kapas akan sekali lagi menjadi mangsa :P Saya juga berkira-kira membeli Play Dooh untuk Idris genggam, serta membawa Idris ke pantai adalah satu idea yang sangat disokong oleh Encik Suami :) bagi mendedahkan Idris kepada pasir pantai dan mendedahkan Encik Suami untuk menjadi dugong separuh masa ;)

(3) Meng-edit lagu-lagu Faizal Tahir seperti Sampai Syurga dan Cuba ke dalam versi instrumental sahaja, disini bantuan Encik Suami diperlukan. Saya memerlukan muzik-muzik ini untuk sesi pembelajaran bersama Idris. Kalau tiada muzik, jawabnya takleh belajar. Belajar berteraskan muzik.

(4) Sudah tiba masanya Idris perlu dilasakkan dengan Sophia. Keupayaan Idris meniru Sophia sangatlah tinggi, pada Idris Sophia ibarat seorang icon (wah!) Apa yang adiknya buat, saya perhatikan dia akan meniru. Pendedahan main bersama-sama Sophia selalunya berakhir dengan Sophia main sorang-sorang sahaja kerana si adik sangat pandai mendominasikan tangan, kaki dan badannya ke atas si abang :P

Atau, ada idea tambahan? Sila komen ye.

p/s: Semalam juga merupakan hari sangat letih untuk saya, sudahlah perlu berulang alik dari Gombak-Putrajaya-Gombak-Putrajaya-Gombak :P saya juga pulang jam 7 petang! Namun, malamnya SMS dari Fahi 'Beli buku Nona baru. Ada Kak Put dan Abg Is dalam buku.' begitu mengujakan saya :P [sila tengok page 168 je, Nona keluaran November] Hahahah~* promote x hengat!!


12/10/2009

Selamat datang, teman!

Terima kasih kerana masih sudi bersama saya.
Banyak benda yang ingin dikongsi, nanti akan diposkan dari masa ke semasa.

Salam sayang,
Puteri Nuur :)

07/10/2009

Cerita di Aidilfitri

Ada cerita di Aidilfitri lalu yang menyentap tangkai hati saya yang mendorong saya menutup ::my.little.secret:: semalam. Maaf teman-teman, andai terasa diri tidak dijemput. Jangan salah sangka, saya tidak menjemput sesiapa pun ke laman ini. Hanya saya sahaja yang ada.

(Entry ini ditulis pada 2 Syawal sebenarnya, namun tiada kesempatan untuk saya menyiarkannya disini.)

*****
Semalaman saya menyelusuri catatan saya buat anak-anak. Pengalaman berharga saya bergelar ibu kepada Idris dan Sophia. Mereka melengkapkan hidup saya dan Encik Suami. Hati saya sungguh terusik tatkala pulang berhari raya lalu, ada mulut-mulut yang langsung tidak tahu hujung pangkal mengenai Idris melabelkan Idris sebagai seorang anak 'tidak membawa untung kepada ibubapanya'.

Kejam!

Seharian saya moody. Saya pendam didalam hati. Saya simpan seorang diri. Rasa itu akhirnya berhaburan keluar tatkala saya ditegur oleh abang saya yang meminta saya mengemas sedikit tempat perbaringan Idris di ruang tamu di rumah Cik. Kebetulannya, anak-anak saudara saya yang lain bermain sama dikawasan itu membuatkan rumah agak selerak dengan toys mereka.

"Ini bukan kerja anak Sue yang tak ada tangan dan tak ada otak untuk sepahkan ruang!," hampir semua toys di atas lantai saya kutip dan saya buang ke dalam bakul sampah. Encik suami terpinga-pinga memandang saya yang sedang naik angin. Kehairanan. Cik juga memandang. Pelik. Mungkin pada orang, tiada angin, tiada ribut, saya meletup sendirian. Apakah?

Bila disusul tanya oleh Encik Suami, barulah saya bercerita. Bertemu dengan sanak-saudara yang kadang kala bersua, mungkin membuatkan saya terguris. Mereka kadang kala mungkin lupa, mungkin tidak mengetahui dan mungkin juga buat-buat lupa apabila berkata. Seolah-olah, anak saya anak yang dungu. Pelik sangatkah pada pandangan kalian anak berusia 2 tahun masih tidak boleh berjalan? Bukanlah saya tidak memerlukan perkataan 'sabar' dari kalian, tetapi ucapan 'sabar' atau 'redha' jika ditutur tanpa keikhlasan tidak akan sampai di hati. Kata itu akan melemahkan saya. Bukan saya kata saya seorang yang kental, namun apa yang saya alami selama 2 tahun setengah ini saya tahu saya mampu menjaga dan mendidik Idris dengan cara saya tersendiri.

Andai tidak tahu apa-apa mengenai anak istimewa, usah diberi pandangan tidak profesional kalian kerana kata itu setajam sembilu menghiris hati saya. 1 Syawal banyak memberikan saya kesabaran kerana saya tidak melenting tatkala 'mendengar komen-komen kurang cerdik' kalian mengenai Idris. Seperti kata Cik, saya perlu kuat dan sabar. Insya Allah, tapi andai kalian keterlaluan, maafkan saya. Mulut saya juga tahu bagaimana untuk menjadi celupar.


Usah memberi pandangan, jika kalian tidak tahu siapa Megat Idris Naquiyuddin. Simpan kata-kata kalian. Bersyukur pada Allah, memberikan kalian anak-anak yang sihat tubuh badan, akal fikiran, sempurna anggota badannya.

Saya tidak pernah menganggap Idris sebagai sesuatu yang dimalukan untuk dimiliki. Malah, dengan penuh kesyukuran, saya menganggap dia sebagai ikatan kasih terindah saya dan Encik Suami. Saya bawa ke mana sahaja saya pergi, walau dengan penuh kesukaran kata orang. Tapi kata saya, alah bisa tegal biasa. Saya bangga bila ada orang menyapa anak saya, walau dipengakhirnya mereka akan tampak kehairanan kerana Idris buat deek dan dunno aje akan mereka. Tapi, saya tidak malu dengan anak ini. Dia adalah nyawa saya. Harta saya yang tak ternilai dengan wang ringgit.

Walau seberapa pelik dan hairannya kalian pada Megat Idris Naquiyuddin, dialah pengarang jantung hati saya. Dialah mengajar saya erti kehidupan sebenar mengenai kasih seorang ibu yang tiada penghujung, mengajar saya erti sebuah kesabaran, membentuk saya menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dari saya sebelum saya hari ini, dan insya Allah, anak saya ini yang akan memberi banyak kredit pahala kepada saya disana nanti.

Cinta hati saya

Pada Jiey saya berkongsi rasa, dan SMS dari Jiey sedikit sebanyak membuang rasa gundah gulana itu. Hanya kami ditempat yang sama sahaja mengerti akan rasa itu.

Hari ini saya membuka semula coretan ini, untuk sesuatu saya abadikan buat Idris kelak. Saya ingin, apabila dia bisa membaca suatu masa nanti, dan mungkin andai ketika itu saya tiada lagi dimuka bumi ini, saya ingin dia tahu, dia adalah kesayangan saya sampai bila-bila.

*
*
*

p/s: Berhajat ingin menderma darah di PPUM tadi, tapi tidak kesampaian. Cuma doa mengiringi Encik Haryadi Rusli yang akan menjalani pembedahan esok. Doakan semoga dia selamat.

p/s: Insya Allah akan ke Gedangsa minggu ini.

05/10/2009

Eat - Sleep - Eat - Sleep

Hati sarat terasa, tiba-tiba saya rindukan keletah gelak tawa Megat Idris Naquiyuddin memenuhi ruang hati. Entah dimana lucunya, apabila saya menyebut 'eat sleep, eat sleep' dia akan mengekeh ketawa. Tawanya membahagiakan saya. Toknya juga tertawa, senang hati melihat tawa Idris kembali memenuhi ruang rumah kami yang comel itu. Bila Tok bertanya 'what's so funny?' Idris akan menjawab dalam bahasa yang hanya dia sahaja yang memahaminya. Itu sudah cukup untuk saya, anak saya memberi respon. Dan dalam bebelnya terselit 'mama' ;)

Al-kisahnya, saya memberikan tagline 'eat-sleep-eat-sleep' itu kepada Sophia, kerana dia gemar 'makan', pantang nampak orang makan di meja makan, mulalah dia kepoh bercombat ke meja makan. Bila di meja makan, tak henti minta di suapkan. Aduhai anak.. dan pada si Idris, saya adukan 'tengokla Phia ni Lope, asyik makan tido je kan.. eat-sleep-eat-sleep' dan Idris ketawa girang. Seronok mendengar gelak tawanya, alhamdulillah.

Dua hari lepas, Idris cirit birit, disertai dengan demam. Rindu pada Abang Aus di Bukit Marak agaknya. 2 Kali berjumpa doktor di klinik tidak mampu mengembalikan Idris saya, bila di bawa ke Ampang Puteri, barulah dia OK. Ujian saringan H1N1 juga saya jalani untuknya, alhamdulillah, semuanya negatif.

Welcome back, honey!

Lagak anak dara saya pula, aduhai. Makin panjang akalnya, nama gelarannya juga berderet panjang. Ada yang memanggilnya 'combat' sesuai dengan kepantasannya menyelinap membawa badan di atas lantai :P Abahnya memanggilnya 'sebok' sebab nampak sangat si kecil bakal berusia 8 bulan ini busybody orangnya dan Min Min memanggilnya 'giraffe' kerana tiap kali kelibat Mama hilang dari pandangan, memanjang la lehernya mencari Mama sambil mulut tak henti menyebut 'mmemey'.

My darling Sophia

Life is just perfect. I love my kids ~*

01/10/2009

Terima kasih, Tuhan!



Akhirnya Idris bertutur!


Semalam saya pulang agak lewat, jam 10.30 malam, baru saya tiba di Greenwood. 'Laporan prestasi' Sophia yang meragam sudah saya terima melalui telefon dari Kak Yan, saya tahu, mungkin anak kecil itu tidak betah tinggal dengan Bibik Ijah setelah 2 minggu bersama saya sepanjang tempoh bercuti Aidilfitri yang lalu. Tatkala Sophia terpandang sahaja wajah saya, senyuman manis terukir. Terbang segala penat lelah dan rasa mengantuk yang bergayutan di mata dan badan. Tika itu, dia sedang menyusu dengan Bibik Ijah.

Tiba-tiba, Idris merengek. Minta perhatian. Rupanya dia cirit birit lagi. Kesian Idris. Telinga saya tiba-tiba tertangkap bunyi dia menyebut " Mmaama, eyak, dah," saya pandang Idris, betulkah apa yang ku dengar? Sekali lagi aku bertanya "Idris cakap apa tadi?" dalam nada rengekan yang panjang, Idris terus menyebut "dah.dah.dah"

Rupanya, Idris dah selesai kerja dengan 'nature call' dia tuh, ya allah. Idris berkomunikasi dengan saya! Sekurang-kurangnya, Idris mampu menyatakan maksud hatinya. Idris saya bersihkan, badannya agak panas. Idris demam lagi. Dalam saya memakaikannya baju, Idris berkata-kata lagi.

"Mmama, anas. anas. anas." Ya Allah! Idris bercakap. Gembira bukan kepalang rasanya. Saya cuba menyakini hati saya, dia benar-benar bercakap. "Idris demam?" tanya saya sepatah.

"Anas.anas. anas. Bah, anas," sebutnya lagi sambil mata memandang Encik Suami yang leka dengan laptopnya. Saya tepuk bahu, Encik Suami pandang saya seperti bertanya 'apa?' "Idris panggil," ujurku. "Bah, anas. anas." Saya nampak riak muka gembira Encik Suami. Suka sangat.

Secara peribadinya, saya tersangat gembira. Mungkin pada orang lain, tak ada apa-apa yang istimewa bila anak pelat bertutur, tapi untuk ibu kepada anak istimewa, besar sungguh kegembiraan ini. Sebenarnya, Idris mula 'bercakap' bermula pada bulan Ramadhan yang lalu. Idris semakin 'mengeluarkan bunyi' bila bersama saya. Saya tidak pernah jemu bercerita, menyanyi bersama-sama Idris. Idris seorang anak yang 'belajar bersama muzik'. Pernah suatu ketika dahulu, saya ceritakan Idris memberi respon yang baik ketika saya memainkan lagu-lagu Faizal Tahir, ya memang betul. Mungkin minat saya kepada penyanyi ini turut sama mempengaruhi minat Idris. Tiap kali lagu Sampai Syurga didengarnya, Idris pasti akan tersenyum manis.

Setiap hari, saya tidak pernah putus bercerita kepadanya. Saya bercerita mengenai apa-apa sahaja yang saya tempuhi, kadang kala dengan auntie-auntie kesayangan Idris dan Phia di pejabat juga menjadi topik perbualan saya dan Idris. Dahulu, saya seperti bercakap dengan diri sendiri. Saya yang bercerita, saya yang tergelak sendiri sedang Idris cuma memandang dan mengetuk lantai semasa saya bercerita. Kemudian, Idris bertambah baik mutu 'pendengar setia' dengan dia sama meniru ekspresi saya semasa bercerita. Jika saya tersenyum, dia juga tersenyum. Jika saya ketawa, dia juga ketawa. Itu sudah cukup memadai untuk saya. Sekurang-kurangnya saya terhibur melihat senyuman dan ketawa manja Idris.

Dan hari ini, saya sangat gembira bila Idris mula 'bercakap'. Sesuatu yang saya dambakan sekian lama. Saya ingin sekali melayan karenah dia bertutur. Bertanya itu ini mengenai kehidupan di sekelilingnya. Walaupun hanya sedikit, saya puas. Hasil saya bersabar, berkorban masa dan tenaga seperti terbayar.

Idris, ini baru satu permulaan. Jangan henti dan toleh ke belakang. Mama sentiasa ada untuk Idris. Andai tak mampu untuk berlari pun, Mama tak kisah. Janji kita sama-sama mengensot, perlahan-lahan tanpa putus, insya Allah akhirnya sampai jua.

p/s: banyak terhutang entry. ada cerita suka duka di aidilfitri. akan dipost nanti bila ada masa.