Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

27/08/2009

Hello. dah ready ke belum?

Sepanjang menyambut Ramadhan ini, saya berpuasa di rumah kakak di Gombak. Setiap pagi saya berulang alik dari Gombak ke Putrajaya. Penat, usah cerita. Tiap hari juga saya migrain dibuatnya, traffic conggested are EVERYWHERE! Sepanjang jalan yang saya lalui, tak kiralah sama ada dari MEX Hi-way ataupun Mahameru Hi-way, semuanya sama sahaja. MRR2 tu tak payah cakaplah.

Mengapa saya perlu berulang alik sejauh ini?
Saya tiada Bibik! sob sob sob. Bibik saya dijangka sampai awal Ogos lalu, namun atas alasan-alasan yang diberitahu, kemungkinan saya hanya dapat seorang pembantu di ambang Aidilfitri. Aiyo! Serious, saya sangat 'capek', saya keletihan sepanjang hari memandu, keletihan minda seharian bekerja di pejabat dan keletihan badan berpuasa dan 'didera' anak-anak kesayangan yang ingin meraih perhatian, kasih sayang dan belaian dari ibu mereka (saya rela didera). Terima kasih Abang Awish dan Kakyan kerana menumpangkan kami anak-beranak. Jasamu dikenang~

Ahad lalu juga, saya bersantai-santai enak bersama KakYan dan anak-anaknya Irfan, Irwan dan Kaka. Disamping saya, Idris dan Sophia juga turut sama. Kami berbual-bual kosong dengan Cik, almaklumlah, puasa. Aktiviti makan-makan tidak dijalankan ;) Tiba-tiba Irfan bertanya pada mamanya.

"Ma, kenapa Idris belum berjalan? Kaka dah lama jalan" Kami semua terdiam. Aku sendiri kehilangan kata-kata. Kakyan dan Cik juga seperti terpaku. Beberapa saat kemudian, setelah berjaya mencari hujah yang mudah dan senang difahami, Kakyan menjawab pertanyaan sang anak yang berusia 7 tahun itu.

Irfan

"Sebab sendi-sendi dan urat saraf Idris belum ready. Macam Abang, Kaka semua, urat-urat saraf dah ready.." terang Kakyan sambil memegang betis dan menunjuk-nunjukkan lutut Idris. Kami semua seperti menanti respon si Irfan. Buat seketika, dia seperti berfikir, menimbang semula kata-kata mamanya. Mungkin mencari kebenaran kata-kata itu, mungkin kurang logik di pendengaran telinganya.

"Oh.." hanya itu jawabnya sepatah. Kami tersenyum, lega pun ada. Tiba-tiba, Irfan pun sama memegang lutut Idris, seraya berkata "Hello, dah ready ke belum?" aksi spontan Irfan mengundang gelak kami semua. Tapi, dalam hati ada gerimis mengundang.

Sayu rasa hati bila saya diaju persoalan 'bila Idris nak jalan?' atau 'eh, tak boleh jalan lagi' dari mulut-mulut orang yang kurang mengenali kami. Soalan dari anak senaif Irfan penuh dengan keikhlasan dalam hati, niatnya suci. Mungkin dia selama ini kehairanan, Idris lebih besar, lebih tinggi dan lebih tua dari Kaka, tapi masih belum boleh menapak, merangkak juga jauh sekali. Aduh, duhai hati. Tabah. Tabah. Tabah. Teruskan berusaha. Saya tahu, tidak selamanya saya mampu melindungi Idris. Tidak selamanya saya mampu untuk 'menyembunyikan' Idris dari kebenaran.

He is the reason why I wake up smiling everyday

Telinga saya terasa nipis apabila mendengar orang menyebut perkataan 'c****'. Saya takut, gerun, fobia dengan perkataan itu. Seboleh mungkin saya tidak mahu melabelkan dia sebagai kategori itu (lihat, saya tidak mampu walau hanya untuk menulisnya). Sama seperti apabila saya disarankan untuk mendaftarkan Idris dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai kanak-kanak OKU, dengan lantang saya menyuarakan 'Anak saya tak c****!' Tetapi apabila saya pulang, saya istikharah, saya fikir sedalam mungkin, saya tetap jua mendaftar Idris, segalanya demi kebaikan dan masa depannya.

Habis cerita sedih-sedih, keluhan manusia sentiasa tak akan henti, saya nak cakap ini kat ini orang

*
*
*
*
*
*
*

*
*
*
*
*
*

Saya tahu, dia sure hangin tahap gaban bila saya letak pic ni sebab dia rasa dia tak cantik.. heheheh. Dia kakak saya, namanya Puteri Azlian, saya panggil dia Kakyan sejak saya kecil, tapi gelaran itu seakan ditambah lagi dengan nama Wanteh/Teh selepas anak saudara sulong saya lahir ke dunia.

Kakak saya sangat kecik orangnya. Ramai orang kata, kalau saya 'memilih untuk menipiskan badan saya' [sekarang saya pilih nak tebal taw..huhuhu] saya akan kelihatan secantik dia [see, dalam erti kata lain saya juga memuji saya cantik, ok?]. Saya tahu kalau Kakyan baca entri saya kali ini, saya pasti dia akan tersenyum [dan, senyum lagi sambil kata 'perasan', kan?] hahahaha.

Gambar official FB page dia - yer, Sue tahu muka Kakyan ala-ala Sofea Jane (bukan Mariam Sophia yer)

... dan, tak lupa juga, kepada 'dayang' kanan Idris, si Kaka..

*
*
*
*
*


*
*
*
*
*

Dia gemar datang dan bertanya khabar mengenai 'Lope Idris'. Dan, tiap kali dia datang, Idris akan memberikan respon yang negatif, namun Kaka masih tetap setia dan kekal dengan baik hatinya. Hari ini, anak ini sudah mampu berjalan dan hari ini juga, bukan setakat Lope Idris yang dijagainya, tetapi Phia juga. Tiap kali Kaka melintas di hadapan Phia, dia akan menegur, tergelak, senyum dan ketawa.

*
*
*
*
*


Happy Birthday

untuk mereka berdua! Moga dilimpahkan rahmat, keberkatan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

p/s: gambar kat bawah ni saje nak interframe, gaya terbaru Phia senyum :)

p/s: Semasa sahur tadi pun Kakyan ada bagitau, kata Irfan 'Abang teringin la nak dengar Idris panggil 'Abang' kat Abang' *sighs* Insya Allah Irfan, moga Allah perkenankan.

25/08/2009

Gedangsa, Lawatan Kedua

Sabtu lepas menyaksikan sekali lagi saya membawa Idris ke Felda Gedangsa. Kali ini, lebih meriah ditemani Ian + mama dan ayahnya. Tok juga turut sama menemani Idris. Kami bersahur jam 4 pagi sebelum berangkat turun dan jam 5.30 pagi saya ketemu Jiey di R&R Sg. Buloh. Jiey memendam niat dan azam untuk membawa Ian ke sana sejak sekian lama akhirnya terlaksana juga. Kami tiba di rumah Kak Raw jam 6.30 petang dan giliran Idris #12 dan Ian #13. Saya dimaklumkan, orang yang mendapat #1 itu datangnya pada jam 4.oo pagi. Waduh~ demimu anak.


Kami lesaikan tanggungjawab kami kepada Pencipta terlebih dahulu di masjid berdekatan dengan rumah Kak Raw. Idris terjaga dari tidur, dan mula tersenyum-senyum. Saya menapak menghampiri Ian, dia masih tidur. Sebentar kemudian, apabila ayah Ian usai solat, kami mengambil peluang. Di pertemuan kedua dengan Jiey ini, barulah saya mampu melihatnya dengan jelas. Mama Ian, kamu cantik ;) tak heranlah, Ian sangat kacak, ok. Selepas solat, kami menyertai Ian dan Idris serta ayah-ayahnya yang sedang berbual dengan seorang pakcik, yang juga jemaah di masjid itu.



Saya menganggarkan kami dapat bertemu Kak Raw pada jam 10 pagi, masa di antaranya kami siapkan anak-anak. Sungguh selera Ian dengan ‘big breakfast’nya. Sayang seribu kali, Idris yang terkenal cerewet dengan pemakanannya menolak untuk disuapkan. Kalau tidak kerana berpuasa, harus Mama Idris yang habiskan :P Sempat saya berpesan pada Jiey “Kak Raw tak berapa gemar kalau dia tahu budak dibawa Fisio” Jiey tampak kehairanan. “Kenapa?” Aku juga gagal menerangkan kenapa. Itu sebetulnya yang dipesan oleh Ina minggu lepas. Giliran Idris sampai tepat jam 10 pagi.


Sebelum rawatan


Saya telah bersiap secara mental dan air matanya untuk ‘menghadapi’ Idris, raungan dan air matanya. Ibu yang mana rela melihat kesayangannya ditekan, ditarik dan disentak? Jika pada keadaan biasa, sudah harus saya akan melindunginya, tapi tidak disini. Saya merelakan dalam keterpaksaan demi kebaikannya. Dan, seperti yang dijangkakan, air mata Idris berhamburan, tangisan Idris dimana-mana. Aduh, sabar duhai hati. Keraskan hatimu. Semuanya demi Idris. Kata Kak Raw, badan Idris makin berisi. Iya, saya sangat setuju. Sangat arif dengan perubahan badannya. Selera makan Idris bertambah sejak akhir-akhir ini, tetapi hanya kepada satu jenis makanan sahaja. Idris juga masih makan bubur nasi yang diblend halus, sama untuk makanan Sophia. Dan, apa yang menyedihkan saya, Idris lebih cenderung makan nestum Nestle berbanding bubur yang dimasak oleh saya. Sob sob Sob **

Semasa rawatan

Selepas rawatan

Usai Idris, saya agak tidak berkesempatan untuk melihat Ian 'disentuh' oleh Kak Raw, tapi the whole story boleh baca kat sini Pertembungan Yang Mengusutkan ~ cuma ini yang Mama Put sempat ambil. Sungguh comel Ian bila terdiam tangisnya terpaku seketika tatkala flash kamera menyinggah anak matanya, dan lagi comel apabila saya diberi kesempatan untuk mendengar Mama Ian menyanyi ~lalalalala. Mana dia Rayyan Ariff? :) [sama dengan lagu untuk Idris]

Saya berpisah dengan Jiey hampir jam 11.00 pagi. Saya mengambil giliran untuk memandu, suami kepenatan kerana sehari sebelumnya dia seharian memandu dari KB ke KL. Tok teringin untuk makan paw Yik Mun di Tanjung Malim. Abahnya di belakang tido dengan Idris, siap baring lagi kat sebelah Idris.


Yang ini plak Idris anak yang baik, menunggu 4 jam dibungkus.


Insya Allah, next week kami datang lagi.


p/s: Ina, Ita & Jiey -- amacam next week?

21/08/2009

Mereka, berjasa pada anak-anakku

Dua minggu Idris lahir ke dunia, pembantu saya yang biasa saya panggil Zumro tiba. Pada hemah saya, perempuan pertengahan 30-an ini agak 'keras' orangnya tapi saya menerima dia seadanya. Dia bersama-sama saya apabila Idris disahkan sebagai anak istimewa. Sepanjang dua tahun dia bersama saya, memang ada masanya saya 'bergesel' dengannya, tapi apabila dia pulang ke kampung halamannya, ada rasa lara bertandang di hati.

Dia pulang ke tanah kelahirannya April lalu, dan posisinya diganti dengan Imah. Nama sebenarnya Waginem, tapi Arwah Aboh menukarnya kepada Imah. Imah juga sudah lama dengan kami, sebetulnya dia adalah pembantu untuk Cik. Pada mulanya sebagai calon sementara, namun pejam celik pejam celik empat bulan jua dia bersama sekeluarga.

Andai silap dan salah orang yang kita ingin cari pada setiap pembantu, maka sudah pastilah salah dan silapnya ada dimana-mana, namun saya memilih untuk menerima segala kekurangan dan ketidakpuasan hati saya terhadap pembantu-pembantu saya. Saya menerima dan menganggap mereka sebagai keluarga.

Kini, mereka berdua telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Terima kasih Zumro, terima kasih Imah kerana telah menumpahkan kasih kepada anak-anak saya, wang ringgit boleh dicari, namun kasih sayang ikhlas kalian untuk mereka, sungguh saya terhutang dengan budi. Walau segala keringat dan kasih sayang itu berlandaskan apa yang saya beri pada setiap hujang bulan, namun saya yakin, mata yang berkaca sewaktu mengucup pipi juga pelukan untuk Idris dan Sophia sewaktu kalian ingin melangkah pulang adalah datangnya dari hati.

Saya juga masih ingat bagaimana Imah menangis tersedu sedan di malam terakhir dia bersama saya dan anak-anak. Saya lihat dia memeluk Idris. Erat dan membisikkan kata-kata memujuk agar anak itu sentiasa kuat dan tabah menghadapi hari mendatang. Pada Sophia juga saya lihat pelukan erat yang diberi ibarat tidak ingin lepas mentafsir rasa hati tidak rela dengan perpisahan yang terjadi.

Terima kasih kerana menjaga keperluan kami sekeluarga, menjaga Idris dan Sophia bila tiba waktunya saya perlu keluar bekerja dan menyayangi anak saya sebagaimana anak sendiri.

Hanya ini mampu saya katakan : Terima Kasih.

20/08/2009

Beautiful Baby Search Contest

Tadi singgah blog Jue. Terpanggil plak nak join contest yang dianjur oleh Gugu Gaga Mea Zara, Beautiful Baby Search. Since Idris dan Sophia layak menyertai contest ini, mokcik dengan rasa ingin memeriahkan ruangan penyertaan ingin menyertai kedua-duanya (wah, mokcik giler contest ni)

Syarat-syaratnya adalah:

1. jd follower Mommy_Zara [dah jadi]

2. sila add banner di atas pada sidebar.. [dah add]

3. buat special entry utk contest ini dan sertakn sekali satu picture baby uols yg comey! dan satu picture baby bersama mommy atau daddy! kedua2 gambar akan diambil markah..

4. sile nyatakan skali nama baby dan umur baby. tips: gambar baby comey dgn aksi bersahaja tp masih mengekalkan kecomelannya mungkin menjadi pilihan juri

5 sila nyatakan bila gambar diambil.

6. link kn blog Mommy_Zara . sila tinggalkn comment bila dh siapkn entry k...

*****

Megat Idris Naquiyuddin bin Megat Iskandar

Tarikh Lahir: 12 April 2007
(2 tahun 6 bulan 8 hari)

Diambil semasa 1 Ogos lalu, Idris didalam stroller sedang menanti Mama yang tengah busy dok berrehearsal semasa reception Auntie Long kawin di POGH. Idris seperti selalunya, behave dan menanti dengan penuh sabar.

Sayang Abah! Mungkin itu yang ingin Idris ungkapkan didalam senyuman ini tatkala dipeluk oleh Abah. Gambar ini diambil pada 8 Ogos di Janda Baik sewaktu kami sekeluarga meluangkan masa bersama di kawasan air terjun disana.

*****

Puteri Mariam Sophia bt Megat Iskandar
Tarikh Lahir: 11 Februari 2009
(6 bulan 9 hari)

Sewaktu gambar ini diambil, Phia sedang mengantuk tapi dia sedaya upaya menahan matanya. Gambar ini diambil di Hotel Putera sewaktu kami ramai-ramai menanti abang sepupunya. Phia memang seorang yang sporting, aksi mulutnya yang muncung itu adalah cubaan pertama kali dia ingin mengikut gaya Mamanya yang tengah blabbing. Gambar ini dirakam sewaktu Phia berusia 5 bulan.

Gambar ini diambil secara candid pada 8 Ogos 2009 yang lalu di Janda Baik., suka dengan aksi Phia tatkala saya menyebut 'kamera' matanya yang bulat dan mulutnya yang muncung seperti berkata-kata, memandang tepat ke arah kamera. Tak banyak gambar berdua dengan Phia memandangkan gambar candid semua kena ambil sendiri, so muka Mama nya nampak separuh-paruh aje :P

So, itu sahaja. Menang kalah adat contest. Tapi, sekarang ni demam nak masuk contest aje.. :P Heheheh.


19/08/2009

Gedangsa

Akhirnya, sampai juga saya ke Felda Gedangsa. Pada mulanya tertanya, dimanakah Gedangsa, bila dah sampai, baru ku tahu Gedangsa ni 22km dari Tanjung Malim. Terima kasih Ina dan suami yang sudi menunggu Idris dekat-dekat sejam di R&R Rawang, kalau tak kerana Ina, sah-sah Put tak sampai ke sini. Nabila sangatlah chumil, nasib dia tak meragam masa tunggu Auntie Put eks..

Kami tiba hampir jam 9 pagi. Jalannya berliku-liku. Dari Putrajaya ke R&R Rawang, hubby yang drive, tapi selepas itu saya yang pegang stereng. Idris dan Abahnya berehat-rehat dibelakang, sebentar selepas itu terdengar dengkuran hubby. Hubby penat, baru semalam pulang dari outstation, tapi demi Idris, kami berdua berkorban masa dan tenaga.

Sampai kat sana, saya dapat #29. Pergh! Mula-mula Idris masih boleh bersabar, tapi lama-lama mana tahan. Dengan cuaca yang agak panas, dengan orang ramainya, maka saya memilih untuk 'mengurung' Idris di dalam kereta. Sedaya mungkin saya dodoikan dia tapi tak berjaya la beb. Akhirnya, kami keliling Felda Gedangsa. Idris pula naik syok jalan-jalan. Mungkin dalam hati dia rasa puas, boleh conquer Mama dan Abah tanpa gangguan the Godmother Phia :)

Dalam pukul 12+ (lupa eh) saya ketemu Ita, Sarra dan ayahnya. Wah, comel sungguh bakal-bakal menantuku :P Nabila dan Sarra memang macam twins. Putih melepak! Tapi sayang, tak sempat dan terlupa nak capture gambar Idris the don juan dengan aweks cun nih.. next time ye ;) Turn kami tiba hampir jam 3 petang (itupun selepas insiden orang tak gheti sabar potong line kami la). Patutnya turn Idris dulu, tapi sebab Sarra nak kena tolak tulang, dia didahulukan. Ummi Sarra jangan susah hati, kami tak marah :) Lagipun, Idris tu baru kali pertama.

Nabila sedang berperang ;) - surelah nangis, kan?

Turn Sarra plak, ramai yang dok pegang ni. Pun, surelah menangis, kan?

Idris plak, kali pertama dipegang Kak Raw, see.. steady anak lelaki Mama :) Tapi...

Hohoho~ Caiyok Idris!!

Bila kena turn Idris, banyak benda yang kami sandarkan pada Idris saya sampaikan kepada Kak Raw. Banyak yang Kak Raw pesan, tegur dan nasihat untuk Idris, saya simpan dalam hati. Insya Allah, dengan usaha dan tawakal pada Allah, kalau ikutkan Kak Raw Idris boleh berjalan. Bila mendengar sepatah ayat itu bagai ada satu semangat meniup dalam jiwa kami suami isteri. Insya Allah Idris, kita sama-sama berusaha.

Bila Idris kena wrap macam ni, aku takut. Nampak seperti Idris dikapankan (Nauzubilllah, tidak seawal ini Sang Pencipta) Tapi, cepat-cepat aku usirkan rasa tidak enak itu. Malam sebelum saya melangkah ke mari, satu malam saya tidak dapat lena. Saya bangun bersolat hajat, mohon Allah kurangkan kesakitan Idris semasa rawatan dijalankan. Dan, saya percaya pada keberkatan permintaan seorang ibu yang tulus menyayangi anaknya tanpa mengharapkan sebarang balasan, lihatlah Idris selepas dibungkus penuh dalam uniform ala mumia nya ini..

Senyuman lebar Idris menenangkan saya, walau saya akui hampir semua anak-anak yang selesai menjalani rawatan dengan Kak Raw akan berhamburan air mata dan tangisannya dalam masa yang agak lama, tapi anak ini selepas 20 minit, dia kembali ceria. Syukur Ya Allah. Bukankah itu doa sang ibu barakah namanya.

Insya Allah, jika diizinkan, diberi kesihatan yang baik, minggu ini kami sekali lagi ke Gedangsa. Mungkin tanpa Ina dan Ita. Saya semakin bersemangat bila ada perubahan positif pada Idris. Saya bersyukur. Saya berterima kasih, kini Idris saya mulutnya makin 'lebat' dan penuh dengan intonasi. Ibarat anak kecil ini menyanyi gembira sambil memanggil nama saya.

'Oh Mama eyyy..' itu antara ungkapan faveret Idris semenjak seminggu yang lalu, dia akan menyebutnya tiap kali saya melintas dihadapannya. Kemudian, dia akan menghadiahkan saya dengan sebuah senyuman naifnya yang mampu buat saya rasa segala jerih payah saya membesarkan dia terbayar. Terima kasih Idris, kerana meminjamkan Mama erti kesabaran, semangat istiqamah ini dan kasih sayang yang agung untuk Mama sandarkan dalam hati. Moga ianya buat Mama lebih kental untuk menempuh hari mendatang.

p/s: Mama Ian, macam mana?

10/08/2009

MomBloggersPlanet Cutest Baby With TOYS Contest

Sebagai ibu kepada dua anak, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan anak-anak berada di dalam keadaan yang baik, dan anak kedua saya, Puteri Mariam Sophia bt. Megat Iskandar yang dilahirkan pada 11 Februari 2009, dia juga punya tanggungjawab tersendiri yang perlu dilunaskan, memenuhi tuntutannya sebagai bayi seusianya.

Tahu tak apa dia tanggungjawab anak kecil yang berusia 6 bulan ini?
Tidak lain dan tidak bukan, tanggungjawabnya adalah untuk BERMAIN! :P Yeay!!!

Anak saya yang mesra dengan panggilan Phia ini mempunyai 2 objek soft toys yang menjadi kegemarannya. Jom saya kenalkan soft toys kegemarannya:

Kenalkan Giraffe Rattle yang berbadan kuning, berkaki dua bersponge dan berkepala merah ini. Dari hari pertama Phia memegangnya, terus dia jatuh hati. Rattle ini mengeluarkan bunyi apabila digoncangkan. Permukaan yang pelbagai sesuai dengan usianya, yang mana Phia gemar menerokai setiap objek yang dilihat, didengar dan disentuhnya. Sudah menjadi kewajipan, setiap benda yang dipegang akan diakhiri dengan 'ujian merasa' :P Semua benda berada di tangannya akan dibawa ke mulut dan dihisap/digigit (tapi dia takde gigi lagi) :P Phia akan melakukannya berulang kali, dan dia mampu untuk ditinggalkan secara bersendirian bersama Giraffenya ini.

Soft toys kedua kegemaran Phia adalah Ulat Kiut Miut. Ulat Kiut Miut merupakan soft toys yang sangat sesuai untuk Phia buat masa ini memandangkan dia sudah mampu untuk meniarap. Apabila Phia meniarap, dia sedaya mungkin menjelajah ke seluruh badan ulat ini yang mempunya pelbagai tekstur dan bunyi, yang mana ianya banyak membantu daya sentuhan tangan. Phia sukakan muka ulat yang tersenyum manis dengan sedikit terjelir lidahnya. Tiap kali kepala ulat ini dimasukkan ke mulutnya, muzik Beethoven akan kedengaran. Tiap kali itu juga, Phia merenung tajam ke arah mata ulat. Ianya dapat membantu daya fokus si kecil.

Kesimpulannya, saya suka menggalakkan anak-anak saya bermain dengan toys kerana ianya membantu anak-anak perkembangan otak dengan meneroka pelbagai tekstur, bunyi, bentuk, warna serta meningkatkan kemahiran motor kasar dan motor halus mereka. Sebelum saya chow, terima kasih kepada sponsor hadiah yang begitu bermurah hati sponsor hadiah untuk peraduan ni --> MomBloggerPlanet , Alice Wonders dan PhotoBookMalaysia.

Terima kasih.

06/08/2009

Hari Pertama di PDK Putrajaya

Al-hamdulillah, hari ini terlangsai sudah kewajipan saya kepada Idris. Janji yang ditanam sejak enam bulan lalu akhirnya terlaksana sudah. Sejak dari semalam, sengaja saya tidak memberitahu Idris bahawa dia akan ke 'sekolah' esoknya. Cuma, apabila jam mencecah ke angka 8 pagi dan Idris melihat saya masih ke hulu ke hilir menyiapkan begnya, saya tahu dalam hati si kecil ini mula mengesyaki sesuatu 'sure Mama bawa aku pergi hospital lagi' [mungkin itu telahan Idris] dan aksi-aksi protes secara kecil-kecilan ditunjukkan seperti menggeleng kepala apabila diajak mandi dan tatkala dipakaikan pampers, aksi ini semakin nyata dengan menolak-nolak tangan saya.

Pada Idris, saya titipkan kata-kata ini 'Idris, hari ni Mama nak bawa Idris ke sekolah. Kat sana, ada cikgu, ada kawan-kawan, ada banyak mainan. Mama nak Idris behave. Tak nak menangis. Idris kan good boy," dan laungan ibarat kata 'noooooooo' berkumandang. Saya minta Bibik suapkan Idris makan terlebih dahulu, si adik mula terkedek-kedek. Kadang kala menjeling si abang yang sedang santap sambil mata dan sepenuh kosentrasi dihalakan ke dada TV menonton Baby Einstein kegemarannya.

Tiba di PDK, saya mendukung Idris. Idris seperti tertanya-tanya, mungkin juga kurang mengerti lagi istilah 'sekolah' yang saya guna pakai kepadanya. Selalunya kalau saya sebut sahaja Fisio, OCCT atau Speech, cepat saja anak ini menggeleng, tapi bila key word 'sekolah' dia masih rileks sedangkan dia ibarat akan diletakkan dalam 'bilik seksaan' bila tiap kali dibawa ke sesi terapi.

Tak banyak yang boleh saya komen. Jauh disudut hati, masih bersisa rasa kurang enak yang datang ke hati. Saya tak mahu memberi sebarang komen. Ingin sekali saya ulang katakan disini, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti bukanlah nursery untuk kita tinggalkan anak untuk dijaga sepanjang kita di pejabat. PDK adalah pusat pemulihan yang mana anak-anak istimewa dipulihkan. Penyertaan ibubapa bersama-sama anak amatlah digalakkan. Saya memilih untuk bersama-sama Idris, hajat di hati mahu Idris hadir ke sini sekurang-kurangnya 4 kali sebulan (seminggu sekali) seperti saranan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Berbalik kepada cerita Idris, mula-mula sampai, Idris sangatlah sopan. Cikgu-cikgu kat situ pun memujilah 'kebaikan' Idris ini (lakonan anak Mama berjaya) tapi bila dah lama-lama dok tahan, mana boleh, kan? Hehehe.

View dari atas, tengok kaki Idris berdiri tegak.

Idris berjalan dengan bantuan walker :)

Walker di atas, memang sungguh praktikal. Apa yang saya suka, walker ini boleh dilaraskan mengikut ketinggian. Idris yang punyai 109 cm ketinggian ini nyata amat susah nak cari walker yang dijual dikedai-kedai biasa. Saya tahu, walker macam ini tidak disarankan oleh terapi, tapi dalam kes Idris ianya dikecualikan. Idris memerlukan walker seperti ini untuk menyokong tulang belakangnya yang lemah. Next time datang, akanku usha dari mana datangnya walker yang superb ini. Rasanya berbaloi saya beli, kerana Doktor Idris meletakkan sasaran 3 tahun lagi barulah Idris boleh berjalan dengan sempurna seperti anak-anak lain. [justifikasi untuk menghabiskan duit Encik Suami ;) ]

Idris yang sedaya mungkin menahan air mata melimpahi matanya..

akhirnya!

Idris mula menangis dan merengek-rengek. Kala ini, beberapa orang rakan mula berani menjengah Idris. Idris pun, tatkala teman-teman datang mengerling, dia diam sebentar dari tangisnya.

Teman-teman yang prihatin. Idris pula tertunduk. Malu ke? :P Nangis lagi..

Kat PDK juga, buat pertama kalinya Idris boleh duduk dengan sendirinya. Tanpa bantuanku. Memanglah kerusi ini sangat berguna. Rasa macam nak cari juga dimana harus ku beli kerusi itu. Rasa nak bawa balik pun ada juga :P

Model yang comel ini namanya Farid. Sangatlah ramah. Saiz dan ketinggian lebih kurang Idris. Maybe dia seronok tengok Idris, kawan baru asyik nak usha je.

Tanpa sokongan tangan Mama pun Idria mampu duduk :)

Sarah :)

Time table. Mama kena hafal ni.

Cikgu ajak Idris buat aktiviti yang melibatkan motor halus. Seperti yang dijangkakan anak ini menolak. Tangannya amat sensitif untuk dipegang. Riak air muka mula kelihatan, tidak senang.

Makin ketara riak ingin menangis. Sebelum tangisnya meledak, Cikgu bawa Idris join aktiviti mendengar lagu kanak-kanak bersama dengan kawan-kawan yang lain. Idris seperti yang saya kenali, tidak dapat dipisahkan dengan muzik. Tambahan pula, Cikgu bawa dia betul-betul didepan kipas. Fuh, terus diam anak Mama. Siap bangun berjoget lagi, habislah bila dia dah naik syok.

Behave bila dengar lagu

Selepas aktiviti dengar lagu tu, saya mohon undur diri. Bukan apa, Idris dah mengantuk. Mood pun dah swing. Minggu hadapan, akan saya bawa Bibik dan Sophia bersama, juga dengan kelengkapan Idris. Tatkala melihat anak-anak istimewa ini dan beberapa kekurangan yang ada pada PDK ini, terlintas di hati untuk menyumbang serba sedikit peralatan. Insya Allah, jika Allah murahkan rezeki saya, tidak ralat rasanya untuk menyumbang ke sini.

Setiba dirumah, Anim telefon. Terima kasih dear sebab sudi bertanyakan khabar. Tersentuh saya dibuatnya. Prihatin yang diberi, amatlah saya hargai. Juga buat Zura, mama Habib yang sudi bertanya khabar. Lain kali kita jumpa di PDK takpun di Hospital ye ;)


Muka happy boleh balik rumah. YEAY!

p/s: Bila ada masa yang lapang dan panjang, akan saya upload beberapa video Idris di PDK. Tunggu ye.. kat rumah masih belum ada streamyx!

05/08/2009

Esok Idris pergi PDK :)


Esok, dengan nekad dan azam yang tinggi, pertama kalinya akan saya bawa Idris ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Presint 14. Esok juga, demi anak ini, saya akan masuk kerja separuh hari. Esok juga, saya harap Allah permudahkan segala kerja menguruskan Idris. Esok juga, saya harap Idris akan dapat satu lagi ilmu dan pengalaman baru.

Idris, jangan bimbang. Mama akan menemani disetiap langkahmu. Janji pada Mama, Idris tak akan gentar dengan segala cabaran dan janji pada Mama, Idris juga tak akan sesekali mengaku kalah sebelum berjuang.