Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

12/09/2009

Rindu datang menyapa lagi

Pejam celik pejam celik, tak kurang dari 8 hari Ramadhan akan melabuhkan tirainya. Aidilfitri kali ini amat saya rasakan. Saya betul-betul rindukan kampung halaman. Hampir 2 tahun saya tak pulang, sudah dua kali Aidilfitri saya terlepas. Tahun lalu, kami sekeluarga beraya di Dubai, dan tahun sebelumnya beraya di Gombak, it was my last raya with Aboh.

Pulang ke Bukit Marak membawa sama kenangan sejuta rindu saya pada arwah Aboh. Aboh kembali kepadaNya tanggal 26 Disember 2007, hampir 2 tahun sudah. Rindu dalam hati ini tidak pernah surut, tidak pernah bertepi. Rumah yang Aboh tinggalkan di Bukit Marak menyaksikan segala suka duka kehidupan kami sekeluarga. Banyak kenangan indah yang terpatri di rumah itu, melihat kepada halamannya yang menghijau sahaja sudah cukup membuatkan hati saya terubat. Arwah selepas sah bergelar pesara gemar menanam pokok-pokok buah-buahan di sekitar halaman rumah, dan kesemua pokok-pokok buahannya diberikan nama untuk cucu-cucunya. Sebagai satu ingatan yang tak padam untuk kami semua. Untuk Idris, jika tak silap saya di belakang bilik kami, disebelah tangki air.

Seekor kucing juga punya memori untuknya

Rumah di Bukit Marak itu menyimpan banyak nilai sentimental kepada saya sekeluarga. Segenap ruang di rumah itu mempunyai kenangan bersamanya. Terpandang kepada kucing peliharaan kami juga mempunyai memori disebaliknya. Saya namakannya Owen. Lalu Arwah bertanya, kenapa Owen? Tahun 1998, saya tiba-tiba meminati bola! Kebetulan, dimasa itu demam World Cup. Jika tidak salah saya, Michael Owen yang pada masa itu bermain untuk pasukan England memang menarik minat saya [saya budak form 4, ok?], lalu saya namakan kucing itu Owen. Arwah tergelak, namun merestui pemberian nama itu. Arwah juga menyaksikan bagaimana 'gila' anak daranya ini mengunci jam dan bangkit pada jam 3-4 pagi demi menyaksikan Owen di kaca TV. Tatkala itu, Arwah bangkit untuk bertadarus dan menunaikan solat di sepertiga malam dan seterusnya menyambung menunaikan solat subuh di masjid. Masjid favourite Arwah adalah Pondok Terusan, Pasir Tumboh, selang 15 minit memandu dari rumah kami.

Sepulangnya Aboh dari solat subuh, akan dibawa pulang dengan sarapan pagi. Lazim orang kelantan, bersarapan dengan makanan berat. Aboh akan membawa pulang pelbagai juadah. Nasi kerabu, nasi dagang, nasi berlauk dan kuih muih. Tak lupa juga, nasi berlauk tanpa timun dan sambal istimewa untuk Owen! Comel bukan? Arwah memang seorang yang penyayang. Owen juga seperti mengerti, nasi untuknya juga ada. Tiap kali selepas subuh, dia akan menunggu Arwah dihalaman rumah kami, didepan pagar. Bila Arwah tiba, dia akan datang dan menggesel-gesel kepalanya pada Arwah.

Tiap kali melintas dihadapan biliknya juga menggetarkan jiwa saya. Masih ternampak-nampak Arwah Aboh terbaring sambil menggoyangkan kedua-dua kakinya membaca Strait Times. Masih terngia-ngia lagu dendangnya sewaktu Arwah menuruni tangga ~ 'kukan pergi, membawa diri.. lalala' Aduh, sungguh saya rindukan nyanyian itu.

Gambar di atas dirakam pada tahun 2004. Aidilfitri pertama saya sebagai seorang isteri.

Aidilfitri kali ini, semua rutin biasa Aidilfitri akan tetap kami sekeluaga teruskan. Selepas solat kami adik-beradik akan mengunjungi nenda, ibu kepada Arwah. Cik selalunya akan membawa juadah di pagi Aidilfitri buat mertuanya. Bezanya kali ini, kali pertama saya beraya di Bukit Marak tanpa kehadiran Arwah. Tiada lagi kedengaran takbir dirumah itu seawal jam 6 pagi yang dilaungkan sendirian oleh Arwah selepas menunaikan subuh. [Bilik kami sebelah menyebelah sahaja].

I'll always be a daddy's girl. Taken on September 2006 at Cameron Highland.

Menulis coretan ini membuatkan mata saya bergenang. Saya pasti, abang-abang dan kakak-kakak saya juga merasai getar yang sama dengan saya tatkala membaca coretan ini. Mungkin Cik lebih lagi merasainya berbanding kami, 43 tahun berkongsi hidup, manakan bisa dipadam luput ingatan itu. Saya redha dengan segala apa yang terjadi. Allah lebih sayangkan arwah, dan begitu juga kami. Selama 25 tahun menjadi anakanda bongsu kepada arwah, saya bersyukur saya mendapat kasih sayang ini darinya, walau saya akui saya masih belum puas mengecap kasih sayang itu. Hari ini, menjadi ibu kepada Idris dan Sophia, membuat saya benar-benar mengerti bagaimana rasa kasih itu melingkar didalam hati untuk anak-anak. Kini, saya faham kenapa dua kali Arwah menolak peluang untuk berjauhan dari keluarga. Semuanya demi kami, anak-anaknya.

Ciuman sang anak untuk seorang ayah di Aidilfitri. Dan, itulah ciuman terakhir yang dapat saya berikan kepadanya di Aidilfitri.

Rasanya saya tidak mampu untuk menulis lagi, down into memory lane. Banyak benda yang saya terkenangkan bersama Arwah, tapi saya tidak kuat untuk menulisnya disini. Pesan Arwah, setiap hari Jumaat jangan lupa membaca surah Al-Mulk, dan di pagi 21 Ramadhan, hari Jumaat tatkala saya bertadarus memilih surah Al-Mulk untuk dibaca, saya teresak-esak membacanya. Kerana itulah saya menulis coretan ini. Demi sebuah kenangan. Rasa rindu ini, akan sentiasa mekar dalam hati saya. Sampai bila-bila.

Moga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang dikasihi Allah. Al-Fatihah.

** entry ini asalnya ditulis pada jam 4.25 pagi, 21 Ramadhan selepas sesi tadarus selesai, di saat mata saya sarat dengan air mata, tetapi hanya berjaya disiapkan entri ini keesokkan harinya.


p/s: sengaja saya disablekan ruangan komen untuk entry ini.