Followers

disclaimer

Read at your own risk.

If you like what you read, keep on reading and do drop by again. If anything offends you, just let it be and you may leave any time you wish.

27/07/2009

Menjadi ibu

Lama tidak bercerita panjang lebar mengenai anak-anak. Sejujurnya, masa terlalu menghadkan segala aktiviti. Kalau saya katakan ibu kepada dua anak ini asyik sibuk memanjang, mungkin akan ada yang tergelak. Iyalah, anak baru dua, sedangkan ibu saya punya anak lapan steady je :P Tapi percayalah, fungsi saya bukan sekadar ibu semata, malah lebih dari itu. Insya Allah, segalanya akan saya urusi sebaik mungkin, tanggungjawab saya sebagai seorang isteri, seorang anak dan menantu, seorang ibu juga sebagai seorang adik kepada kakak dan abangnya.

Hujung minggu yang lalu, rumahku menjadi port kami adik beradik berhimpun, walau bukan semua abang dan kakak datang, tapi saya rasa puas dapat berkumpul. Adik-beradikku mengambil peluang ini kerna Cik ada disini. Seronok bila Wanteh dan seluruh bala tenteranya membanjiri rumah kecilku, dan sangat terhibur tatkala Alang dan sang kecilnya Qaisah juga turut bersama-sama kami. Wanyong usah diceritakan, kakakku yang seorang ini memang teman setia anda selalu :P Seronok bila berhimpun adik beradik, mengembalikan nostalgia kami zaman anak-anak dahulu, tapi hari ini lagi happening kerana kami hadir bukan sebagai kami sahaja, tapi telah 'membiak' dengan jayanya :) Paling kurang bertiga, paling ramai mencecah hingga lima.

Diam-diam, saya mengimpikan perkara yang sama seperti Cik apabila usia semakin memanjatkan ke ranting halus nanti. Punya anak-anak yang menyayangi diri ini, menghormati saya sebagai seorang ibu, apabila mereka punya keluarga masing-masing juga, mereka dapat membahagiakan saya. Saya tahu, hidup Cik tidak sesenang yang saya lihat seperti hari ini. Saya dengar penceritaan arwah Aboh, kakak-kakak dan abang-abang malah Cik sendiri bagaimana susahnya membesarkan anak-anak. Dan kini, saya didalam peringkat yang sama. Peringkat membesarkan anak-anak. Satu persamaan yang nyata antara Cik dan saya.

Saya ingin kecap detik ini, sehingga ke hujung usia Arwah Aboh dikelilingi cucu-cucu, meniti usia emas bersama si kecil yang menyayangi diri tuanya.

Kami berdua sama-sama membesarkan anak istimewa.

Saya lihat ketabahan Cik membesarkan Uda. Dia abang saya yang lahir sempurna, bijak dan kacak. Tiada cacat celanya pada diri Uda sehinggalah pada usia 15 tahun, Uda tiba-tiba menjadi lumpuh. Bukan kerana kemalangan, tapi kerana Allah ingin menguji kami. Waktu itu, umur saya 4 tahun cuma. Saya ditinggalkan dalam jagaan ibu saudara Cik Mah sementara Cik setia selama enam bulan pertama menjadi penghuni Hospital menemani Uda. Waktu itu, saya telah membuat pengorbanan kecil dengan mengizinkan diri ini ditinggalkan. Mungkin kalian mengerti, bagaimana rasa hati anak kecil berusia 4 tahun, ingin sekali bersama ibu, sementelah pula, Cik tidak bekerja dan sepanjang usia saya, saya cuma berdampingan dengan Cik boleh dikatakan setiap detik.

Hari ini, rasa itu saya betul-betul fahami. Dua minggu lepas, Idris diserang demam. Bukan sekadar demam semata, malah batuk dan juga selsema. Petang Ahad, 19 Jun lalu, saya bawa Idris ke klinik. Idris juga diserang asma. Sesak nafas. Tercungap-cungap, saya lihat dadanya berombak turun naik. Saya panik, cemas. Dalam hati cuma satu yang terlintas, minta Allah panjangkan usianya. Jangan diambil lagi pinjaman terindah ini, izinkan saya bersamanya. Beri peluang untuk saya membesarkan anak ini.

Abahnya pula tiada, baru sahaja berpergian ke Kelantan, outstation. Tika itu cuma ada saya, anak-anak dan bibik di rumah. Nasib baik tatkala saya membuka pintu untuk keluar ke klinik, Min Min tiba. Padanya saya kerah ke klinik, dan pernafasan Idris hanya reda sedikit bila dia diberikan nebulizer. Sepanjang sepuluh minit nebulizer diberikan, tangisan, teriakan dan 'amukan' kecil Idris kedengaran didalam bilik rawatan. Saya peluk anak ini, cuba sedaya upaya menenangkan dia. Dan, apabila mask ditarik dari mulut dan hidungnya barulah tangisannya reda. Air mata membasahi tubir matanya, dan dalam tangisan, dia memanggil 'mmma.. mama' Aduh, sedih hati ibu ini.


Dan malam itu, saya masih ingat, sms ini saya hantarkan kepada Abahnya.

Sue takut. Idris demam. Tadi bawa ke klinik. Nafasnya pendek-pendek. Dia sesak nafas. Kena sedut nebulizer. Bila balik rumah, badan panas. Merengek menangis. Sue tilik badan dia. Kurus sangat, yang ada cuma kerangka. Sue takut Allah ambil Idris.

Tak sampai seminit, Abahnya menelefonku. Maka berhamburanlah air mata. Terima kasih Abang kerana tatkala itu, Abang bijak bermain dengan emosi isteri ini. Terima kasih Abang kerana sama-sama memahami apa yang Sue rasa dan berkongsi rasa itu. Terima kasih Abang kerana menjadi mendengar yang setia apabila hati ini diserang gundah gulana.

Malam itu, sepanjang malam saya tidak tidur. Saya berusaha untuk mencelikkan mata, bercawan-cawan kopi saya hirup, semuanya kerana saya ingin memastikan Idris tidak menghadapi kesukaran bernafas. Idris saya tidurkan di atas badan saya, kadang kala ada masanya dia meracau, menangis teresak-esak. Nafasnya berombak, turun naik. Tiap kali ini terjadi, saya disapa kebimbangan yang tidak bertepi. Ada dua tiga kali Cik terjaga dari tidur dan menyuruh aku melelapkan mata, kata Cik biar dia pula mengambil giliran menunggu Idris tidur. Tapi aku menolak, alasannya tak ingin menyusahkan Cik. Cik bukannya orang muda dan bertenaga lagi. Tapi, sebenarnya saya takut andai saya terlelap seketika, dan tatkala itulah Idris menghadapi kesukaran bernafas, dan saat itulah Idris akan terlena selamanya. Nauzubillah.

Esoknya, demam Idris semakin menurun, barulah saya boleh melelapkan mata. Saat itu, baru saya tersedar, sepasang mata bulat memandang tepat wajah saya. Baru saya tersedar, saya hampir terlupa membelai anak kecil ini kerana terlalu bimbangkan Idris satu malam. Tatkala saya mengambil anak itu dari tangan bibik, dia menghadiahkan saya satu senyuman yang cukup manis. Rasa bersalah bersarang dalam hati, rasa tidak adil kerana mengabaikan dia untuk satu malam. Tapi apakan daya, saya terpaksa. Idris saya sayang, Sophia saya kasih. Sayang dan kasih kepada mereka berdua sama tara, tiada kurang dan tiada lebihnya. Cuma kadang-kadang, saya terpaksa melebihkan banyak masa untuk Idris.

Sayu mata anak ini memandang saya, mungkin kehairanan mengapa Mama mengabaikannya sepanjang malam. Saya tahu, suatu hari anak ini akan faham apa itu erti sayang dan sebuah pengorbanan. Mariam Sophia, membesar dan jadilah anak Mama seorang yang baik, bertolak ansur dan berperikemanusiaan.

Doa ibu itu berkat, maka ini doa saya tiap kali usai sujud menyembahNya agar anak-anak saya yang dua ini mampu membesar menjadi anak yang soleh dan solehah, anak yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua orang tuanya, dan saya mendoakan agar anak berdua ini sentiasa dilimpahi rahmat, kesihatan dan kesejahteraan sepanjang hayat mereka berdua.

Amin.

11 comments:

ME said...

Puteri,
membaca posting puteri kali ini mengingatkan saya kpd kisahkami yg baru2 ini terpaksa meninggalkan anak2 kami & my mum yg baru lepas operation kat rumah di bawah jagaan our maid & my sis, sbb our Luqman disahkan demam denggi. Alhamdulillah anak istimewa cepat sembuh - cuma 3 mlm kat hospital.
Saya yakin Idris akan sembuh dan Sofia akan faham apa yg terjadi.

~Puteri-Nuur~ said...

[ME]
Kadang kala saya terlupa untuk mengimbangkan tanggungjawab saya. Entry ini lebih banyak berpesan pada diri sendiri, Sophia juga menuntut perhatian yang sama seperti Idris. Insya Allah, dimasa akan datang, mereka berdua akan mendapat perhatian yang sama tara. :)

Hugs and kisses to Luqman.

Noina said...

Aduhai Put..menangis ina baca entry ni..dan memandang wajah sophia..lagi sebak rasa hati.

Ina belum lagi merasa apa yang Put rasa tatkala terpaksa memberi perhatian lebih pada yang memerlukan..ina pun takboleh nak komen banyak..sebab belum mengalaminya lagi. Sabarlah Put..Ina pasti sophia akan faham jugak nanti..

sya said...

salam,
menitik air mata saya baca entry ni..
sedangkan saya sendiri kalau anak demam sikit pun dah rasa sedih yang amat.. ini pula puteri..

insyaAllah, satu hari nanti sophia akan faham... :)

siti nurbaiya said...

sure phia will be a good daughter, having a good mum who always pray for her, insyaAllah..

my daughter name maryam qistina :)

stay kat precint9--> u ask me in my shoutbox :P

Sutera Batik said...

Sebak

Baby Tiger said...

doakan yang baik2 untuk Kak Put dan keluarga..

~Puteri-Nuur~ said...

[Noina][Sya]
Insya Allah, Sophia akan faham. Sekarang ni pun, dia banyak berkorban untuk Idris. Bila minum susu, dia terpaksa minum sendirian sedangkan Idris Mama masih pegang botolnya.

~Puteri-Nuur~ said...

[Siti Nurbaiya]
Salam kenal :) I've visited your blog, Maryam Qistina is SoOo adorable. Hugs and kisses for her.

~Puteri-Nuur~ said...

[Sutera Batik]
Yanie, bukan niat nak raih simpati dari entry ni taw :) Segala apa intipati blog ni adalah my personal journal about being a mother, which is priceless!

izzahazfar said...

aduh kak...
saya agak emosi..
tak terluah dgn kata2..

semoga Allah permudahkan ye..

p/s:anak kita sebaya..cuma phia lahir awal 13 hari dari akmal..